Sunday 22 June 2014

Cerpen : The Dreaming Princess Last



Dua bulan kemudian…
Qisya terkocoh-kocoh menuruni anak tangga. Mentang-mentang doktor dah isytiharkan dia sudah pulih sepenuhnya, bukan main aktif lagi. Dia menghampiri meja makan. Ditariknya kerusi bersebelahan dengan abahnya, Encik Kamil. Laju sahaja tangannya mencapai beberapa keping roti Gardenia dan diletakkan ke dalam piringnya.
“Pukul berapa appointment tu?” soal Encik Kamil.
“Sepuluh, bah. Tapi, Lia kena pergi awal sikit. Kena confirmkan balik dengan orang tu. Takut dia ada hal lain,” jawab Qisya sambil mengunyah roti.
“Kesian anak mama ni, tak pasal kena jumpa doktor gila,” usik Puan Su. Dituang air susu segar ke dalam gelas dan diletakkan di hadapan Qisya. Anak perempuan dia seorang ini mana boleh dibiarkan makan minum dia, habis diet semua lingkup.
Memanglah doktor kata Qisya sudah sembuh sepenuhnya, tetapi Puan Su tetap risau. Qisya pula jenis yang main hentam saja apa yang dia hendak makan, tiada had. Puan Su bukannya apa, dia tidak mahu disebabkan pemakanan tidak sihat anak daranya itu… lain pula yang jadinya.
“Mama ni, cuba modenkan sikit doktor gila tu. Doktor psikologilah. Alah, kalau tak jumpa doktor tu… trauma Lia tak hilang. Kalau tak hilang, macam mana Lia nak gerak sana sini? Tapi, kalau abah baik hati nak sponsor driver pun okey jugak. Kan, abah?” Tersedak Encik Kamil dibuatnya.
Driver? Mereng dah anak dara aku ni. Hish. Chek Nat yang dekat luar tu bukan pemandu ke.
“Eh, boleh sangat. Tapi, driver halal… nak?” Qisya angkat kening. Driver halal? Puan Su senyum manis, faham maksud suaminya itu.
“Ish, tak pernah pulaklah Lia dengar pasal driver halal ni. Ada ke, mama?” Puan Su usap kepala anak dara kesayangannya itu.
“Ada, sayang. Mama pun ada driver halal mama, special untuk mama dan anak-anak mama. Driver halal mama tu abahlah…”
Erk? Qisya buat muka, kerut hidung. Ceh, bahasa bungalah pula.
“Hmmm… Baik abah dan mama cakap aje suami, kan senang gitu. Berbelit pulak. Emmm, siapa calonnya?”
Faham sangat dah dia dengan perangkaan abah dan mama tersayang dia ni. Memang patut pun dia menjadi penulis, dia pun dari baka yang kemain lagi berbunga ayat-ayat romantika plus dramatik. Wajah selamba Encik Kamil dan Puan Su adakalanya sukar diduga Qisya, semuanya punya makna. Eheh.
“Amboi. Abang tengok anak dara kita ni, tak menyempat. Kita baru nak langkah ke B, dia sampai Z dah,” Encik Kamil gelak.
“Kalau dah itu gayanya, eloklah kita suruh Roslan hantar rombongan. Lagi cepat, lagi bagus,” Qisya melopong.
Sungguhlah ni, dia kena kahwin? Hmmm… Macam tak serius saja.
“Roslan? Erk, tak moden langsung nama bakal suami Lia. Abah, bagilah nama yang grand sikit, baru thrill,” Selamba sahaja Puan Su sekeh kepala Qisya.
Semenjak Qisya sembuh ni, demand kemain. Semua benda nak grand-grand. Otak Qisya bergegar kuat sangat kot masa kemalangan tu, habis semua benda dia nak yang hot feat vogue. Atau, doktor psikologi silap masukkan identiti? Manalah tahu, disuntiknya hormon puteri kayangan dalam diri Qisya. Hek, jauh Puan Su menyimpang ya.
“Roslan tu ayah tiri dialah. Uncle Roslan punya anak, nama dia hot and roll. Confirm Lia suka punya. Abah dan mama dah jumpa dia, handsome dia kalah abah ni,” Qisya gelak besar.
“Masalahnya, abah Lia handsome ke?” Encik Kamil cebik. Antara tiga orang anak dia, Qisya Aulia yang paling aktif. Sudahlah sulung, memang habislah adik-adik dia kena buli.
“Hish, kalau abah tak handsome… takkanlah mama terpikat. Kan, mama?” Puan Su senyum lebar. Dia bergerak menghampiri suaminya, penuh selamba dilabuhkan punggung di riba Encik Kamil.
Bertambah sememehlah raut si Qisya. Sabar sahajalah dengan romantika abah dan mama dia ni. Bolayan.
“Eeee… malaslah layan abah dan mama. Lia keluar dulu, pinjam driver abah eh. Nanti Lia dah ada driver halal, Lia pulang balik Chek Nat abah tu,” Disalami tangan abah dan mamanya. Siap peluk cium lagi. Anak manja sungguh, mengalahkan adik-adik dia.
“Pergi elok-elok, Lia,” pesan Puan Su. Qisya angkat tangan dan berlalu ke kereta.
Sebelum Qisya turun tadi, puas jugalah Puan Su berpesan pada Chek Nat, pemandu peribadi Encik Kamil agar memandu dengan berhemah. Tahulah Qisya tu, naik sikit saja meter… kecut perut terus. Sudah beberapa kali bertemu dengan doktor psikologi pun masih begitu juga trauma Qisya.
*****
Qisya sedut udara perlahan. Err, bau minyak keretalah pula. Rindu pula pada kampung Syira yang indah lagi segar itu. Kan bagus jika dia masih berpeluang menghabiskan masa di situ, boleh juga merawat hati yang semakin bosan ini. Bosan dengan sikap miang doktor psikologi dia yang baru itu. Ugh!
“Qisya?” tegur seseorang yang melalui kaki lima deretan kedai-kedai itu. Qisya menghentikan langkahnya. Diangkat wajahnya.
“Eh, abang Edzril. Buat apa kat sini?” balas Qisya, agak ramah.
“Abang Edzril hantar kereta servis. Qisya pulak, buat apa kat sini?”
“Buat apa lagi, tu…” Qisya memuncungkan bibir ke arah klinik psikologi di sebelah bengkel kereta.
“Oh, macam mana? Dah okey ke trauma Qisya tu?” Qisya senyum nipis. Dipandang Qarif sekilas. Kacak, tapi sudah namanya Qisya ni si anti-lelaki-kacak. Pandang pun sipi-sipi sajalah.
“Bolehlah. Tapi, Qisya nak minta abah stop hantar Qisya datang sini. Doktor tu miang kemain, tak naklah Qisya teruskan. Buang duit aje,” Qarif tergelak.
Qisya sudah selesa dengannya seperti kali pertama mereka bersua dulu. Langsung tiada kejanggalan di antara mereka. Qarif juga berasa senang melayan celoteh Qisya. Qisya dan Syira sama sahaja keletah mereka. Sama-sama ramah dan pandai mengambil hati orang.
“Eh? Kesiannya. Syira bagitahu Qisya dah lama dapatkan treatment ni, takkan baru sekarang doktor tu tunjuk miang…”
“Ini doktor lain, yang lama tu doktor perempuan… dah tukar klinik. Itu yang Qisya sebal ni. Serik dah nak datang sini. Lagipun, Qisya malas dah nak ambil treatment ni… biarlah apa nak jadi pun,” Kemain lagi kau mengadu pada Qarif ya, Qisya. Macam dia tu laki kau pula.
“Hmmm? Alah, lama-lama nanti Qisya okeylah tu. Habis tu, Qisya datang sini dengan apa? Teksi?” Qisya geleng.
Dia perasan perempuan-perempuan yang lalu lalang di kaki lima itu asyik tertoleh pada Qarif. Sekali pandang tak puas, pandang lagi. Kan… dah cakap. Lelaki kacak ni selalu bikin panas. Hujan-hujan pun masih terasa bahangnya. Hmmm… Qisya terkeluh sendiri. Mahunya suami dia nanti tampan macam mamat di sebelah dia ni, haru dia. Hati asyik mengadu cemburu, tidak kira masa. Isk.
“Qisya datang dengan Chek Nat…” Qarif angkat kening. Chek Nat? “Driver abah Qisya, pinjam kejap. Abang Edzril…”
“Hmmm…”
“Qisya dah ingat dah kat mana kita pernah jumpa. Tapi, janji dengan Qisya dulu,” Qarif angkat tiga jari. Kononnya berjanjilah tu. “Janji jangan gelak tau,” Qarif angguk.
“Cakap ajelah Qisya…”
“Dalam mimpi,” Terhambur ketawa Qarif. Qisya tarik muka, geram. Tadi dah janji tak nak gelak. Orang betul-betul, dia main-main pula. Ini yang nak merajuk ni. Erk?
“Jangan buat lawaklah, Qisya Aulia. Abang Edzril ingatkan apalah tadi. Manalah tahu terserempak kat mana-mana sebelum ni. Itu logiklah jugak,” Qisya pukul bahu Qarif dengan beg sandangnya. Hish, menyesal dia bagitahu.
“Qisya serius ni, abang Edzril. Betullah Qisya jumpa abang Edzril dalam mimpi. Qisya selalu catat apa yang Qisya mimpi, kalau ingatlah dalam diari. Nanti boleh jugak buat modal menulis,” ujar Qisya lebih terperinci.
So, what is the story? Qisya mimpi apa pasal abang Edzril?”
Heh, budak berdua ni. Boleh pula berbual di kaki lima. Qarif pun satu, gentlemanlah sikit. Ajak si Qisya ni pergi restoran ke apa. Tetapi, sudah namanya selesa. Di mana-mana pun boleh.
“Hmmm… biarlah rahsia. Malas dah layan abang Edzril. Baik Qisya belah dulu, dah janji dengan Syira nak singgah rumah dia. Lama tak jenguk Auntie Leen…”
“Eh, pergi samalah. Abang Edzril pun nak pergi sana jugak, nak jumpa papa Syira,” Qisya berfikir sejenak.
“Qisya pergi sendirilah. Kesian Chek Nat dah tunggu Qisya lama. Qisya jumpa abang Edzril kat sanalah. Bye,” Dilemparkan senyum manis pada Qarif.
Qarif tergeleng kecil. Happy go lucky rupanya Qisya Aulia ni. Dia sengih sinis. Mindanya mula menerobos ke alam lain di mana cuma ada dia dan insan teristimewanya. Dunia yang hanya mereka berdua sahaja di dalamnya dan mewarnai setiap keindahan dunia mereka itu dengan kebahagian. Pergh, jiwang kau Qarif. Tetiba teringatkan si dialah tu.
*****
“Masuk, Qarif,” jemput Auntie Leen, mama Syira merangkap mak cik saudara Qariflah kiranya.
Wan Ced, tok wan Qarif dan Wan Syed adalah adik beradik. Papa Syira, anak Wan Syed. Arwah ayah Qarif pula anak Wan Ced. Tetapi, setelah ayah Qarif meninggal dunia, ibunya pula menikah dengan anak lelaki Wan Syed, Syed Roslan. Berbelit sungguhlah salasilah keluarga mereka ni. Tetapi, itulah keluarga mereka.
Uncle dan Syira mana, auntie?” Qarif terjenguk-jenguk ke sekitar ruang tamu.
“Syira kat dapur tu, hah. Kembar dia datang, mulalah nak merosakkan dapur auntie. Qarif pergilah dapur. Suruh budak berdua tu layan, auntie nak naik solat kejap. Malam ni uncle baru balik outstation, Qarif makan malam sinilah,” balas Auntie Leen sebelum berlalu ke bilik solat yang terletak di tingkat bawah banglo tiga tingkat itu.
Qarif melangkah ke dapur. Patutlah Auntie Leen panggil kembar, riuh kemain di dapur. Bersepah jugalah disebabkan mereka.
“Assalamualaikum…”
Serentak Syira dan Qisya menoleh ke pintu dapur. Sengihan terukir di bibir masing-masing tatkala mata menyapa gerangan si pemberi salam.
“Waalaikumsalam,” jawab Qisya dan Syira serentak. Kembar sangat!
Auntie mengadu dapur dia dah kotor, kerja koranglah ni. Heh, habislah laki-laki korang nanti. Tak payah susah-susah hired maid dah,” Qisya buat muka tak heran. Syira cebik.
“Alah, abang Ed ni. Kita orang punya impian nak jadi fulltime housewife tahu. So, memang beruntunglah pada sesiapa yang nak jadi laki kami tu. Kan, Qisya?” Qisya mengiyakan sahajalah.
Memanglah dia juga mahu menjadi surirumah tangga sepenuh masa, tetapi komitmen sebagai penulis pun fulltime juga. Lainlah Syira. Papa dia punya kaya sampai tak benarkan Syira bekerja, duduk rumah tolong Auntie Leen. Semuanya sebab Auntie Leen awal-awal lagi tak suka gunakan khidmat pembantu rumah, lebih senang menguruskan sendiri segala kerja rumah.
“Oh, gitu. Bagus jugak tu. Tapi, sekarang ni… I want a cup of instant coffee latte. Anybody, treat me. Auntie Leen minta abang gunakan khidmat korang. So, please,” Qarif duduk di kerusi tinggi meja island di dapur.
Syira menolak bahu Qisya di sisinya.
“Kau ajelah layan abang… Edzril kau tu, Qisya. Dia punya demand bab-bab air ni macam kau jugak even semua jenis makanan kau melantak. Abang Ed, Qisya pandai tau buat air instant ni. Sedap,” Qisya buat muka malas melayan.
Give me three minutes, Sir Edzril. Syira, tak payah nak tabor gula ya. I know the meaning behind that, just throw out,” Berdenting bunyi sudip jatuh ke lantai jubin.
Qisya senyum senget. Faham sangat dengan ayat berbelit lagi rumit itu keluar dari mulut Syira. Adalah tu yang dia mahukan atau sesuatu yang dia lakukan tanpa pengetahuan Qisya. Tangan Qisya cekap menyediakan coffee latte untuk Qarif. Nasib baik instant, buatnya handmade. Huish, berdarah jari dia nak menoreh air kopi tu dengan susu.
“Errr… Actually, abang Ed… Qisya…” Terangkat kening Qarif. Ada juga nama dia dalam list Syira. “… Ayah Lan dah terjatuh suka kat Qisya. Then, Ayah Lan dah janji nak jumpa Uncle Kamil selepas dia balik umrah,” Kali ni, bukan sudip lagi dah. Piring lapik cawan Qisya terjatuhkan dek terlalu terkejut.
Rahang Qarif jatuh. Hampir ternganga dibuatnya. Bila masa pula Ayah Lan bertemu dengan Qisya? Tiada pula Ayah Lan berbincang soal itu dengannya. Jangan-jangan, Ayah Lan hendak menduakan ibu tak. Ish.
“Apa Syira cakap ni?” soal Qarif. Qisya sudah tidak boleh berkata apa, terbongkok dia mengutip kaca di lantai. Sudahlah dia pecahkan piring Auntie Leen. Buatnya Auntie Leen mengamuk, habis dia nanti.
Syira terkaku. Tetapi, dia perlu juga memaklumkan hal itu pada Qarif dan Qisya agar kedua-duanya bersedia. Setidak-tidaknya, tak adalah Qisya terkejut jika ada orang datang mahu meminangnya tiba-tiba.
“Syira cakap benda betullah. Ayah Lan dan Ibu Naj yang bagitahu Syira nak pinangkan Qisya untuk abang Ed. Masa tu Syira dok belek gambar-gambar Qisya, Ayah Lan ternampak then terus berkenan,” Takut juga Syira mahu memandang Qarif yang sudah seperti singa itu.
“Padanlah Qarif dengan Qisya ni auntie tengok. Auntie rasa dua-dua dah serasi. Betul tak, Qarif?” sampuk Auntie Leen. Qarif berdehem.
“Bukan tu masalahnya, auntie. Kami baru aje jumpa, setakat berbual kosong tu biasalah. Ayah Lan tak pernah pun bincang pasal ni dengan Qarif, ibu pun sama…”
“Syira bagitahu Qarif dan Qisya macam pernah berjumpa kan sebelum ni. Tapi, tak tahu kat mana. Betul?”
“Errr, auntie. Memanglah macam jumpa, tapi dalam mimpilah,” celah Qisya setelah selesai membersihkan lantai.
Dalam keadaan genting ini pun, Qisya masih menghulurkan coffee latte pada Qarif. Kempunan pula nanti.
“Betul ke dalam mimpi? Kamu pasti, Qisya?” Qisya jongket bahu. Dia sendiri baru terjumpa tulisan tangannya di dalam diarinya. Segala bayangan lelaki yang dia tulis berpihak pada Qarif.
“Mama macam tahu sesuatu aje…” teka Syira. Auntie Leen labuhkan punggung di kerusi di sebelah Qarif.
“Qarif tak ingat Qisya Aulia? Betul tak ingat? Atau, patient Qarif terlalu ramai sampaikan langsung tak boleh nak cam Qisya. Tengok Qisya betul-betul. Mungkin wajah Qisya pucat dulu, auntie rasa Qarif tak perasan. Auntie tahu pasal ni pun sebab kawan auntie yang bagitahu. Kebetulan auntie kenal Qisya,” Qarif tenung wajah polos Qisya. Berkerut habislah kening Qisya, mengingati sesuatu.
“Qarif tak faham, auntie…”
“Masa Qisya accident dulu, Qarif yang selamatkan dia. Doktor yang incharge terlambat lapor diri, jadi Qarif yang take over kes kemalangan Qisya. Sebab keadaan cemas sangat waktu tu, hospital tak jumpa jenis darah yang sama dengan Qisya. Kebetulan, Qarif punya darah sama dengan jenis darah Qisya…” Auntie Leen angkat bahu, pasti semuanya sudah faham ceritanya.
Ketiga-tiga mereka mengeluh kecil. Jadi, itu kisahnya.
“Jadi, Qisya tak mimpi?” tanya Qisya. Wajah mencerminkan segala, dia memang keliru. Tersepit di antara dunia realiti dan mimpi.
“Kenapa Qarif tak ingat?” soal Qarif pula. Terhambur tawa Auntie Leen dan Syira. Mahu sahaja mereka merakam detik itu. Kedua-duanya penuh dengan tanda tanya.
Patient Qarif tu bukan Qisya seorang. Lagipun, Qarif memang bukan doktor yang incharge Qisya kan. Cuma, take over untuk hari tu aje. Ayah Lan pun dah tahu pasal ni, itu yang nampak aje gambar Qisya terus nak masuk meminang,” balas Auntie Leen.
“Wah, berjodohlah korang ni. Tetiba pulak lapar nasi minyak,” Syira peluk bahu Qisya mesra. Qisya jeling Syira, menahan rasa.
Qarif dan Qisya saling berpandangan, hanya seketika. Namun, tiada rasa yang hadir melainkan perasaan saling mengenali. Adakah kerana perkongsian darah di antara mereka? Mustahil. Bukan selamanya darah Qarif mengalir dalam tubuh Qisya. Ah, sungguh merimaskan tika memikirkan hasrat keluarga masing-masing. Qarif buntu. Dia hanya menganggap Qisya seperti adiknya sendiri, sama seperti Syira.
*****
Beberapa hari selepas itu, Qarif mengajak Qisya untuk bertemu. Dia perlu berterus terang pada gadis itu agar Qisya tidak salah faham. Qisya juga sememangnya mahu menjelaskan sesuatu mengenai niat keluarga masing-masing mahu menjodohkan mereka. Dia sendiri masih belum bersedia untuk masuk ke alam rumah tangga. Masih banyak benda yang dia perlu capai sebelum itu.
“Abang Edzril minta maaf sebab terpaksa jugak ajak Qisya jumpa. Harap Qisya tak salah faham,” Suara Qarif memecah kesunyian mereka setelah sepuluh minit mereka tiba di restoran yang dijanjikan.
“Tak apa, abang Edzril. Qisya pun memang nak jumpa abang Edzril. Tapi, abang Edzrillah yang mula dulu. Nanti turn Qisya pulak,” Riak kedua-duanya tenang sahaja. Seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Sebenarnya, abang Edzril dah ada pilihan hati sendiri. Cuma, tunggu masa aje nak bawa jumpa keluarga. Tapi, rasanya terpaksalah abang Edzril tangguhkan dulu sampai masalah kita ni selesai. Qisya nak ikut ke rancangan keluarga kita?”
Qisya berdehem kecil.
“Qisya pun tak ready lagi nak kahwin. At least, Qisya tahu kita rasa macam kenal pun sebab sebelum ni pernah jumpa tapi tak perasan aje. Yang pasti, Qisya memang ada mimpikan abang Edzrillah,” Qarif tergelak kecil.
Hendak juga Qisya menyentuh soal mimpi itu.
“Iya… iya. Pasal mimpi tu, mungkin betullah. Tak ada yang mustahil. Abang Edzril harap Qisya jangan salah faham pulak pasal kita ni. Tapi, kita masih kawan kan?”
Hope so. Qisya okey aje nak berkawan pun. Tak adalah adik-adik Qisya pertikai Qisya tak ada abang. Bolehlah juga bangga sikit, abang Qisya ni doktor. Dia orang mana ada, selain kakak penulis ni,” seloroh Qisya selamba.
Qarif tergeleng kepala. Sungguhlah, sesiapa yang berkahwin dengan Qisya beruntung. Qisya hidup dengan dunianya sendiri dan sentiasa berfikiran positif. Adakalanya, hairan juga Qarif kerana wajah secantik Qisya tiada yang minatkah. Atau, Qisya sahaja yang jual mahal.
“Jadi, memang Qisya tak ada masalahlah kalau abang Edzril tak jadi suami Qisya?” Qisya mengangguk.
Memang tiada masalah langsung. Hatinya tidak pula terloncat-loncat tatkala memandang Qarif. Itu maknanya hatinya bukan untuk Syed Qarif Edzril. Satu hari nanti, pasti prince charmingnya akan muncul. Dan, saat itu dia akan membuka hatinya seluas-luasnya agar hati puteranya itu mampu menerobos masuk ke dalam hatinya. Ehek.
No biggies deal. Qisya ni kan dreaming princess. So, Qisya tak pandang lelaki-lelaki handsome ni. Sebab Princess Qisya Aulia ni kuat cemburu tahu,” kata Qisya penuh selambanya.
Sekali lagi, Qisya mampu membuatkan Qarif ketawa besar. Mujur sahaja restoran itu agak lengang. Taklah malu sangat gelak kuat-kuat.
“Baiklah, Princess Qisya Aulia. Asalkan princess bahagia, abang princess pun bahagia jugak. Tapi, jangan memilih sangat. Rupa paras tu sekejap aje. Yang kacak bergaya tu, tua nanti berkedut jugak. Sama aje semuanya,” Qisya kerut hidung sambil senyum nipis.
“Taklah. Ish, abang Edzril ni. Biar dia kacak dekat mata Qisya aje, bukan di mata orang lain. Abang Edzril memang handsome, tapi Qisya tak rasa abang handsome,” Erk, merepek dah Qisya ni.
“Haip, jangan bangkang cakap orang tua. Jadi, macam mana rasa ada darah abang Edzril dalam badan Qisya. Seronok tak, ke thrill?”
“Ler, mama Qisya bagi makan banyak sayur dan buah. Tak tahulah ada ke tidak lagi darah abang Edzril tu. Kalau ada pun, hmmm…” Qisya menjegilkan matanya. Tidak mahu bibirnya terlepas kata. Boleh dapat malu.
“Apa? Dah selamat jadi darah kotor?”
“Nampak sangat ke?”
Qarif ketawa lagi. Qisya… Qisya. Perlakuannya terlalu obvious sehinggakan dia mampu meneka tindak tanduk gadis itu.
“Abang Edzril seronok dapat adik macam Qisya. Dreaming princess yang cantik ni abang Edzril punya tahu. Sesiapa yang nak masuk meminang, kena jumpa abang Edzril dulu. Lulus ujian saringan, baru boleh dapat Qisya,” Qisya ketawa lepas.
“Kalau macam tu, abang princess yang super handsome ni Qisya punya tahu. Sila minta lover abang Edzril tu jumpa Qisya dulu. Selepas lulus, barulah abang Edzril bawa jumpa family. Aci gitu?”
Mereka ketawa serentak. Serasi tak semestinya harus bersama. Tidak semua lelaki dan perempuan serasi sebelum berkahwin dan seterusnya ke alam perkahwinan. Boleh juga keserasian itu hilang sebaik sah sebagai suami isteri. Itulah yang dinamakan jodoh. Jika tiada jodoh, serasi pun tiada gunanya.

~SEKIAN~

p/s : habis sudaaa TDP. hihi. inilah ending dia. dah lama sangat terperuk tanpa sambungan. mood hari ni CIA buat ending dia gini. :D. SELAMAT MEMBACA! :D. (kalau jumpa tajuk sambungan TDP kat dalam cerpen di atas sila maklum laju2. hihi)

4 comments:

  1. Tq akak...
    Hope akak dpt smbng e novel yg lama dah ada dlm blog ni, tajuk apa tah.. saya pun lupa dah, Hehehe...

    ReplyDelete
    Replies
    1. :D. yang mana satu idaman kalbu. hihi. InshaAllah. i'm trying. :)

      Delete
  2. Hope akak dpat smbg STNK...

    ReplyDelete
  3. Nak lg...selalu update yer hehehe....:)

    ReplyDelete