Sunday 20 June 2021

Mini Novella: Legasi Episod 4





MAMA Chik mengerling Tok Aki di sofa berangkai tiga itu. Orang tua itu asyik tersenyum dari tadi. Digelengkan kepalanya perlahan. Bahagia betul dia melihat ayahnya itu. Sesekali matanya melirik ke tangga. Menanti tuan rumah menampakkan diri. Sudah tiga puluh minit dia dan Tok Aki di sini, di rumah Uqail dan Aimina.

“Marilah kita pulang dulu, ayah. Nanti kita datang lagi,” Tok Aki menggeleng. Tongkat ditangannya dipusing-pusing perlahan.

“Ayah nak tunggu mereka. Sekejap lagi turunlah tu,” Senyuman masih terukir di bibir tua itu. Ingin diungkap rasa bahagia itu, rasanya tak tercapai dek akal.

“Ayah ni. Entah pukul berapalah mereka nak bangun. Kita balik aje dulu,” pujuk Mama Chik lagi.

Tok Aki pantas menggeleng.

“Tak mahu. Kamu ni, aku ni bukannya muda lagi. Kamu tak nampak tadi?” Kening Tok Aki terjongket.

Mama Chik buat muka.

“Ayah… Budak berdua tu dah berkahwin…”

“Sebab dah berkahwinlah ayah seronok. Kamu tengok dulu, anak kamu tu. Bukan main lagi dia buat perangai. Alasan macam-macam, tak mahu Miyn tu jadi isteri dia. Tak cukup itu, dia merajuk, lari sampai ke Los Angeles. Alih-alih, apa yang kita nampak tadi? Anak menantu kamu tu tidur sekatil. Siap berpelukan lagi tu,” potong Tok Aki bersama hujah panjang.

Mama Chik tertunduk. Malu. Boleh pula Tok Aki mengajak dia pagi-pagi buta semata-mata mahu spot-check anak menantunya. Anak-anak bertuah itu pun, bukannya reti nak lock pintu bilik. Sengaja mahu Tok Aki melihat mereka bahagia agaknya.

“Malaslah bercakap dengan ayah ni,” Mama Chik berlalu ke dapur. Lebih baik dia mencari sarapan yang boleh dia siapkan di dapur itu.

“Aku tak suruh kamu bercakap dengan aku pun,” gumam Tok Aki perlahan. Dia menyambung senyumnya.

Angan-angan untuk bercicit dalam masa terdekat ini mula bermain dimindanya. Alangkah bagusnya andai itu benar-benar berlaku. Umur dia juga bukannya muda lagi, tua sangat dah.

*****

LANGKAH demi langkah, Miyn mula pelik. Bau wangi kian menusuk ke hidungnya. Setahunya dia dan Qail tidak mengupah orang gaji. Siapa pula yang sedang memasak di rumah mereka ketika ini?

“Awak masak ke?” aju Qail sambil memasukkan tangan ke dalam kocek seluar pendeknya.

Miyn geleng.

“Saya pernah masak ke?”

Qail geleng.

Mereka saling bertatapan seketika. Kaki tetap melangkah ke tingkat bawah. Keluhan berat Qail luah saat terpandang susuk tubuh Tok Aki yang elok bersantai di ruang tamu, manakala Mama Chik sibuk menyusun pinggan di meja makan. Miyn tergelak. Terasa kelakar akan situasi diapartment dua tingkat mereka itu.

Mujur dia tidak buka hikayat alam bunian. Mahu tergolek Qail mendengarnya.

Morning, mama!” sapa Miyn mesra. Dia merapati Mama Chik di meja makan.

Morning, sayang,” Kedua pipi menantunya itu dia cium. Tanpa disuruh Miyn membantu Mama Chik menyiapkan sarapan. Untung dia pagi ini, ada yang sudi menyediakan sarapan untuk mereka suami isteri.

“Hah, baru bangun Qail?” Qail sengih akan soalan Tok Aki. Dia melarikan tangan kanan ke belakang kepala, jemari meramas rambutnya.

Dilabuhkan punggung di sisi atuknya itu.

Iya. Terlewat bangun, Tok Aki. Cuti hari ni,” Jawapan itu menggalakkan lagi senyuman Tok Aki.

“Kamu nak keluar ke ni?”

“Tak jadilah. Mama dah tolong buatkan sarapan tu. Ingat tadi nak keluar pergi kedai mamak kat hujung sana, beli sarapan.”

Tok Aki mengerling Miyn di meja makan. Bertambah mekar dia apabila melihat rambut isteri Qail itu basah. Allah, melampau betul fantasi Tok Aki ini. Padahal Miyn memang suka membasahkan rambut setiap kali dia mandi.

“Tok Aki, awak, jom makan,” panggil Miyn sambil menuangkan air kopi ke dalam cawan atuk-cucu itu.

Qail dan Tok Aki pantas ke meja makan. Meja makan di apartment Qail dan Miyn tidaklah sebesar meja makan di banglo Tok Aki. Ia hanya boleh memuatkan enam orang. Cukuplah. Bukannya ada ramai orang di rumah itu.

“Miyn panggil Qail apa tadi?”

“Awak.”

Ternaik sedikit kening Tok Aki. Mama Chik hanya beriak biasa. Apa yang peliknya? Okeylah tu. Elok sikit dari ‘aku’.

“Tak mesra langsung,” komen Tok Aki. Terhenti kunyahan Qail dan Miyn serentak. Terkejut mereka mendengar komen Tok Aki itu. “Cubalah Miyn panggil Qail, abang ke. Tak pun, sayang. Nak manis lagi, darling,” sambung Tok Aki.

Mendengarkan itu, tersedak Miyn dibuatnya. Perit jugalah tekaknya itu. Tanpa dipinta, Qail mengurut belakang isterinya. Kasihan. Dia juga hampir tersedak tadi. Tok Aki ini, selalu sangat sembur orang tak pakai helmet.

“Ayah ni. Biarlah mereka nak panggil apa-apa pun, sama aje,” sampuk Mama Chik. Kasihan pula dia pada anak menantunya, tak habis-habis dikongkong oleh ayahnya.

“Ish, kamu ni. Pagi tadi lagi kamu asyik bangkang ayah. Ayah tahu kamu pun seronok jugak tengok budak berdua ni mesra. Mesti tak sabar nak terima cucu kan?”

Mama Chik menepuk dahinya.

Qail dan Miyn hanya pandang pergaduhan antara dua beranak itu. Malas mereka mahu masuk campur.

“Qail, Miyn… Tok Aki ni bukanlah nak mengongkong hidup kamu berdua. Cuma, kamu tahu kan? Tok Aki ni bila-bila masa aje Allah nak jemput. Kamu tak mahu ke bahagiakan Tok Aki sebelum Tok Aki tutup mata?”

Dia buat drama pula.

Qail menyisip kopi perlahan sebelum matanya tertumpu pada Tok Aki.

“Tok Aki tak bahagia ke sekarang?”

Mindanya rancak berfikir. Bukankah permintaan Tok Aki untuk dia memperisterikan Aimina sudah ditunaikan? Tok Aki mahu apa lagi? Tidak cukup lagikah pengorbanannya itu. Meluap pula dadanya mendengar butir bicara atuknya itu. Celah mana lagi Tok Aki mahu dia bahagiakan hati tua itu?

Tok Aki berdehem.

“Bukanlah Tok Aki tak bahagia. Cuma…”

“Tok Aki tak puas lagi nak tentukan hidup Qail, ya? Kali ni Tok Aki nak Qail buat apa? Lahirkan cicit yang ramai untuk Tok Aki?”

Walaupun bicara itu agak lembut, namun ia seolah melempiaskan nada marah pada kata-kata itu.

Miyn kerling di sisi kanannya. Mama Chik yang duduk bertentangan dengan Qail turut memandang anak sulungnya itu. Tok Aki terdiam.

“Tok Aki…”

“Qail cuma berharap Tok Aki faham situasi Qail. Sekali ni aje Qail minta, biarlah Qail bernafas dengan tenang. Qail okey dengan hidup Qail sekarang, walaupun masih dibawah pengawasan Tok Aki,” luah Qail, lirih sahaja suara itu bertutur.

Dia benar-benar mahu Tok Aki memahami keadaannya.

Tok Aki bangun. “Marilah, Chik. Kita balik dulu,” Tongkat yang bersandar di kerusi ditarik. Dia melangkah meninggalkan ruang makan.

“Mama balik dulu. Nanti senang-senang kami datang lagi.”

Miyn turut berdiri, namun Mama Chik menghalang. Bibir dijuihkan pada Qail. Miyn mengangguk faham.

“Hati-hati, mama,” pesan Miyn sebelum tubuh Mama Chik dan Tok Aki hilang dari pandangannya.

Perhatiannya kini pada sang suami yang hanya diam itu. Langsung tidak bergerak selepas meluahkan rasa hatinya. Miyn duduk. Dituangkan air kosong ke dalam gelas lalu dihulurkan pada Qail.

“Minum. Biar sejuk sikit hati tu,” Huluran itu disambut Qail. Rakus sekali dia minum air kosong itu.

“Salah ke apa saya cakap tadi?”

Miyn menggeleng. “Apa yang awak kata tadi ada benarnya. Cuma, awak perlu tahu. Apa yang Tok Aki atur untuk awak, semuanya dia fikir demi awak. Tadi mama beritahu saya, Tok Aki bahagia. Dari awal sampai sini, senyum dia tak pernah hilang,” Miyn menarik nafas panjang dan dilepaskan perlahan.

“Tok Aki dan mama ternampak kita kat dalam bilik awak tadi. Tok Aki rasa bangga, dia berjaya bahagiakan cucu dia ni. Semua yang Tok Aki lakukan, dia dah fikir baik buruknya. Selepas papa awak pergi, Tok Aki rasa sudah menjadi tanggungjawab dia untuk bahagiakan awak, mama dan Yaya. Cara dia aje seperti mendesak, tapi hakikatnya mama, awak dan Yaya tak pernah rasa tersisih pun kan,” hujah Miyn panjang.

Qail hela nafas.

“Tapi… Tok Aki tak pernah fikir perasaan saya. Selepas papa pergi, semua keputusan saya ditentukan Tok Aki. Sampaikan saya rasa tak ada satu pun dalam hidup saya yang boleh buat saya sendiri bangga. Mama sendiri dikongkong,” Qail masih mahu mempertahankan dirinya.

Kesabarannya kian menipis. Seolah dia tidak berhak untuk menentukan kehidupan dia sendiri.

“Maksud awak, awak tak bahagia dengan hidup awak sekarang? Kerja awak, saya?”

Qail membisu. Sekarang ini, hidup dia baik-baik sahaja dengan Miyn. Cuma, Miyn bukanlah teman hidup pilihannya. Semua ahli keluarganya dan juga Miyn sendiri sedia maklum tentang itu.

“Qail, dalam hidup ni tak semua apa yang kita nak kita akan dapat. Awak kena bersyukur ada seorang atuk yang pedulikan awak. Cuba awak fikir, sepanjang awak hidup ni, ada ke yang terkurang? Awak tak pernah rasa susah sikit pun. Tok Aki bagi awak, mama dan Yaya segalanya. Sebab… Tok Aki lebih pentingkan keluarga dia. Cukup awak bahagiakan hati tua tu dengan kebahagiaan awak.”

Miyn tarik tangan kiri Qail yang kejap memegang gelas kaca di atas meja. Tangannya menarik gelas itu dari genggaman Qail lalu diletakkan di atas meja.

“Awak nak tahu, kenapa saya terima awak?” Soalan itu membuatkan tumpuan Qail beralih. Matanya merenung anak mata Miyn yang turut merenungnya. “Arwah papa awak buat perjanjian bersurat yang bercop peguam. Dan perjanjian tu sah di sisi undang-undang. Andai segala isi perjanjian itu tak dituruti, legasi yang dibina Tok Aki berpuluh tahun ni akan lenyap. Cuma satu syarat yang perlu keluarga awak tunaikan sekiranya nak selamatkan legasi Tok Aki,” Miyn berjeda.

“Apa syaratnya?”

Digenggam jemari Qail erat.

“Syaratnya salah seorang ahli keluarga Tok Aki perlu berkahwin dengan waris Haji Naim,” jawab Miyn satu persatu.

Qail menolak genggaman Miyn. Dia mula faham akan isi perjanjian itu. Padanya, Tok Aki yang bertanggungjawab dan penyebab dia dan Miyn disatukan. Sedari umurnya dua puluh tahun, Tok Aki dan Mama Chik sudah mendedahkan perjanjian yang dilakukan oleh arwah papanya itu.

Miyn mula risau.

Risau Qail akan berpaling darinya.

“Siapa yang mulakan perjanjian bodoh tu?” tegas sekali suara Qail. Dia bangkit. Kakinya melangkah ke ruang tamu. Dia tidak mahu berada dekat dengan Miyn.

Miyn mengeluh. Tidak sangka rahsia yang dipegang rapat bakal terungkai. Demi membaiki hubungan dingin Uqail dan Tok Aki, dia sanggup. Dia lebih rasa bersalah andai Qail berterusan menyalahkan Tok Aki.

“Haji Naim, atuk saya. Atuk pernah berhajat nak bermenantukan mama tapi abah tolak. Dia hanya inginkan arwah umi sebagai isteri. Atuk risau legasi dia hancur sebab abah tak pandai berniaga. Selain abah, atuk tak ada anak lain. Selepas sepuluh tahun, atuk dapat tahu mama dah berkahwin. Dan, arwah papa yang uruskan legasi Tok Aki. Masa tu jugak arwah papa tengah buntu, bisnes Tok Aki semakin teruk. Masa tu jugalah atuk ambil peluang untuk buat perjanjian tu. Atuk yakin legasi Tok Aki mampu mengekalkan legasi atuk yang biasa-biasa tu,” jelas Miyn.

Miyn pandang Qail, lega kerana suaminya setia mendengar.

“Arwah papa terpaksa ikut permintaan atuk. Itu satu-satunya jalan keluar untuk selamatkan legasi Tok Aki. Selepas arwah papa meninggal dunia, Tok Aki serahkan legasi pada Pakngah Ran walaupun dia tak berminat langsung dalam dunia business. Alhamdulillah, sampai sekarang bisnes Tok Aki berjaya. Awak, Tok Aki terpaksa ikut perjanjian bodoh atuk saya. Demi kebahagiaan keluarga awak,” cerita Miyn lagi.

“Tapi, saya pelik. Kenapa abah dan awak tak halang atuk dari teruskan perjanjian bodoh tu? Jadi mangsanya, kita,” Renungan tajam Qail hadiahkan kepada cucu Haji Naim.

“Saya juga setuju berkahwin dengan awak bersyarat.”

“Syarat apa lagi?”

“Syaratnya Haji Naim tak akan ganggu lagi keluarga Tok Aki selepas saya menjadi sebahagian dari hidup awak. Dan Haji Naim takkan paksa abah terima mama sebagai isteri. Dan, selepas aje saya dan awak sah sebagai suami isteri… atuk hilang. Abah sendiri tak dapat jejak atuk,” jelas Miyn lagi dan lagi.

Biarlah lelaki itu mengerti mengapa dia langsung tidak menolak permintaan Tok Aki untuk menyatukan mereka.

Qail kaku.

“Ini satu-satunya cara saya tebus kembali apa yang atuk rampas dari keluarga awak. Saya lebih rela dikahwinkan dengan waris Tok Aki. Asalkan bukan abah dan mama. Awak lebih tahu, mama takkan pernah lupakan arwah papa. Begitu juga abah, arwah umilah isteri abah… sampai bila-bila. Saya dah jelaskan segalanya pada awak. Awak nilailah. Tok Aki nak selamatkan legasi yang arwah papa bangunkan dari jatuh ke tangan atuk. Untuk itu, saya yakin Tok Aki juga dah berfikir panjang sebelum berniat menyatukan saya dan awak.”

Qail bersandar di sofa. Matanya terarah ke syiling. Fikirannya berkecamuk. Dihadam cerita Miyn sedalam-dalamnya.

Aimina… Miyn bersetuju untuk mengahwininya demi menyelamatkan legasi Tok Aki dan juga mematikan niat Haji Naim yang ingin bermenantukan Mama Chik. Matanya kini tertancap pada susuk tubuh Miyn. Gadis itu sedang mengemas meja makan. Kenapa Miyn sanggup berkorban demi keluarganya?

Dia?

Langsung tiada sekelumit rasa untuk redha akan perkahwinannya itu. Dia lebih rela memberontak dan menegakkan keputusannya untuk hidup sendiri tanpa kongkongan Tok Aki.

“Miyn,” Miyn paling. Ketika itu, dia baru selesai mengelap meja. Sabar dia menanti Qail membuka mulut.

Bibir itu bagai mahu meluahkan sesuatu.

“Em… macam mana awak tahu semua ni?”

“Abah tak pernah rahsiakan apa-apa dari saya. Abah minta saya tolong selesaikan dengan atuk. Saya tahu abah tak sanggup kecewakan atuk dan dalam masa yang sama, dia tak mampu nak tunaikan permintaan atuk. Mama pun, dia tak rela berkahwin lagi. Cuma saya dan awak pilihan terakhir mereka.”

“Atuk baik,” puji Qail, ikhlas. Dia sendiri senang berborak itu ini dengan Haji Naim. Dan Haji Naim bukanlah kejam seperti itu.

Miyn angguk.

“Perjanjian yang atuk dan arwah papa ada time limit. Kalau perjanjian tu tak ditunaikan dalam masa yang ditetapkan, mahkamah berhak menarik hak Tok Aki sebagai pemilik. Atuk sendiri tak boleh nak buat apa-apa. Dan, perjanjian tu automatik terbatal selepas waris Tok Aki dan Haji Naim bersatu.”

“Maksudnya, perjanjian tu dah terbatal?”

“Hm,” Miyn kembali menyambung kerjanya. Dia ke sinki, tangannya ligat mencuci pinggan dan cawan yang digunakan untuk bersarapan tadi.

Qail menghampiri Miyn. “Awak siaplah. Kita balik rumah Tok Aki,” kata Qail sebelum menghilangkan diri ke bilik kerjanya, bersebelahan dengan tangga untuk ke tingkat atas.

Miyn melirik senyum. Dia tahu Qail bukannya kejam, cuma kebenaran lambat sampai di pengetahuannya. Apa yang lelaki itu tahu, Tok Aki punca dan penyebab mereka disatukan. Kini, dia pula musykil. Adakah Qail langsung tidak ikhlas bersetuju untuk berkahwin dengannya?

*****

KERETA diparkir di garaj. Qail mendahului Miyn masuk ke dalam banglo tiga tingkat milik Tok Aki. Dia perasan kereta yang selalu Tok Aki guna sudah berada di garaj, pasti atuk dan mamanya itu sudah tiba di rumah. Semoga Tok Aki tidak mengambil hati akan keterlanjuran katanya tadi. Miyn pula hanya mengekori langkah Qail, malaslah mahu mencampuri urusan anak beranak itu.

“Mama,” Qail menyapa Mama Chik di ruang tamu. Terkejut wanita itu menerima kedatangan anak menantunya.

Miyn membawa diri ke balkoni di tingkat tiga banglo itu. Dia pasti Tok Aki ada di situ.

“Haih, mimpi apa balik sini tiba-tiba ni?”

“Nak jumpa Tok Aki, ma,” maklum Qail. Dia duduk di sebelah Mama Chik, tangan mamanya itu dicapai. Dikucup lembut belakang tangan itu. “Qail minta maaf sebab terkurang ajar tadi. Qail tak sengaja,” ucap Qail, bersungguh-sungguh.

Mama Chik usap lembut kepala anak lelakinya itu. Dia faham situasi Qail. Siapa yang suka andai dikongkong seperti itu? Hendak bekerja, ditentukan kariernya. Hendak berumahtangga, dipilih teman hidupnya. Namun, dia sedia maklum akan sebab musabab Tok Aki melakukan yang sedemikian. Semuanya adalah kerana dia yang tidak mahu menjadi menantu kepada Haji Naim. Sudahnya, anak lelakinya yang dijadikan sandaran.

“Mama yang sepatutnya minta maaf. Sebab mama, Qail kena terima Miyn sebagai isteri. Sebab mama, Qail terpaksa hidup dengan seseorang yang bukan pilihan Qail. Mama tahu tu. Cuma satu mama minta, redha. Belajar redha akan apa yang berlaku dalam hidup Qail. Mungkin ada hikmahnya semua ni terjadi.” Kedua belah tapak tangan Mama Chik melekap pada pipi Qail.

Qail ulas senyum.

“Mama bangga. Anak mama yang kacak macam arwah papa ni, berjaya walaupun hidup dikongkong. Masih mampu buat mama tersenyum. Mama tak mahu Qail salahkan Tok Aki lagi, okey?” Mama Chik lega apabila anak lelaki tunggalnya itu mengangguk.

“Tok Aki juga bangga dengan Qail,” sampuk Tok Aki. Serentak Mama Chik dan Qail menoleh ke tangga.

Lelaki tua itu dipimpin oleh Miyn menuruni tangga sambil tersenyum.

Pantas Qail mendapatkan Tok Aki. Dipeluk atuknya itu erat. Tok Aki mengusap lembut belakang cucunya itu. Dia berharap tidak berlaku lagi kejadian seperti ini di kemudian hari. Semoga ini yang pertama dan terakhir.

Miyn mendekati Mama Chik disofa. Senyumannya lebar sambil duduk disebelah wanita kesayangannya itu. Selepas arwah umi, Mama Chiklah wanita yang paling dia sayang.

“Buruk betul perangai suami kamu tu, Miyn.”

“Betul tu, ma. Anak mamalah tu,” usik Miyn. Mama Chik gelak. Tangannya mencubit pipi menantu kesayangannya yang manja itu.

“Iyalah. Anak mama, tapi suami kamu,” usik Mama Chik kembali. Mereka ketawa serentak. Geli hati.

Qail memimpin Tok Aki ke sofa. Terkejut sangat barangkali, lemah terus sendi-sendi Tok Aki setelah pulang dari rumah Qail dan Miyn tadi. Sungguh, dia sudah tidak larat mahu berjalan. Terpaksa diakui tubuhnya sudah terlalu tua.

“Apalah yang suka sangat tu?” tegur Tok Aki. Dilabuhkan punggung dikerusi malasnya. Qail mengambil tempat di sofa berangkai dua berhampiran dengan Tok Aki, berhadapan dengan Miyn dan Mama Chik.

“Biasalah, ayah. Kalau dengan Miyn ni, memang asyik kena usik aje lah,” jawab Mama Chik bersama sisa tawa.

“Mana ada. Mama yang usik Miyn,” bantah Miyn. Ceria sungguh nadanya. Seronok dia bergurau senda dengan Mama Chik.

Kepala Tok Aki digelengkan perlahan.

“Macam-macam kamu berdua ni. Miyn, Tok Aki dengar kamu kena tukar jabatan. Betul ke?” tanya Tok Aki, ingin tahu.

Iya, Tok Aki. Ada hamba Allah ni tak suka Miyn kerja dengan dia. Apa nak buat, ikut aje lah. Dia kan ketua,” Selamba sahaja Miyn perli sang suami.

“Untuk kebaikan,” balas Qail, tahu Miyn sedang memerli dia.

Miyn cebik. Iyalah tu untuk kebaikan.

“Tak apalah, Miyn. Ikut ajelah cakap suami kamu tu. Mungkin lebih elok kalau kamu berdua tak bekerja sekali. Tak adalah nanti mengadu bosan. Kat rumah pandang muka tu aje, kat tempat kerja muka yang sama jugak,” ujar Tok Aki, menyokong tindakan cucu lelakinya itu.

Qail senyum lebar.

Bertambah cebiklah Miyn dibuatnya.

“Tak thrill la kerja Miyn sekarang. Tak best,” komen Miyn. Kepalanya dilentokkan ke bahu Mama Chik. Biar si Uqail tu cemburu dia bermanja dengan mama lelaki itu.

“Itu tandanya Qail sayang Miyn. Tak mahu isteri dia ni terlibat dalam kes-kes bahaya tu,” ulas Mama Chik. Dikenyitkan matanya pada Tok Aki.

Miyn buat-buat batuk. Qail pula tersandar di sofa. Ke situ pula mama dia ni. Bukannya mama tak tahu bagaimana hubungan mereka.

“Alah, mama ni…”

“Haip, ikut cakap suami,” potong Qail dengan sengih mengusik. Memang mendapat jelingan Miynlah jawabnya.

Tergelak Tok Aki dan Mama Chik melihat kerenah budak berdua itu. Pantang buka mulut, bergaduh saja kerjanya.

*****

HELA dilepas perlahan, kedua telapak tangan mengibas pasir yang melekat. Setelah beberapa minggu berhempas pulas sibuk menyelesaikan saki baki kehidupan sebagai pelajar universiti, akhirnya berjaya juga dia berehat. Ajakan rakan-rakan seperjuangan untuk bercuti tidak ditolak, malas pantas saja dia setuju.

        Seronok juga sesekali bercuti ke pantai. Tambahan pula, rakan-rakan sudah merencanakan pelbagai aktiviti sepanjang mereka bercuti di sini. Dan dia juga ingin menenangkan perasaan yang bercelaru kebelakangan ini. Tok Aki adalah salah satu puncanya. Hm.

            “Qail, terima kasih,” ucap satu suara di sisi Qail.

Kusyuk pula dia melayan perasaan, hampir terlupa ada insan yang menemani di sebelahnya.

            No hal. Awak okey ke?” tanya Qail.

              Olyn senyum kecil.

              “Okey sangat. Dah lama rasanya tak dapat bercuti macam ni,” balas Olyn.

“Sama lah. So, what’s next? Zayn takda plan apa-apa ke pasal korang?”

Plan apa?”

Qail pandang Olyn seketika. “Awak tahu kan Zayn akan sambung belajar ke luar negara?” soal Qail.

Hairan sungguh jika Zayn yang merupakan sahabat baiknya tidak memaklumkan hal penting itu kepada Olyn. Zayn dan Olyn berkasih bukan baru beberapa hari, malah sudah masuk ke tahun ketiga.

“Saya tahu. Zayn ada ajak saya. Tapi, awak tahu kan? Saya ni bukanlah dari keluarga yang berada. Walaupun ada tajaan, mustahil rasanya saya nak ikut. Tak sanggup saya nak tinggalkan keluarga saya dekat sini,” jelas Olyn.

“Faham,” kata Qail sambil mengangguk perlahan.

Tidak mahu lagi berbicara tentang itu, mereka hanya diam. Mata ralit merenung ke laut. Qail tahu pasti berat untuk Olyn melepaskan Zayn pergi jauh, namun agak mustahil bagi gadis itu untuk menghalang. Jika itu sememangnya keinginan Zayn sendiri, pasti Olyn akan meminta lelaki itu pertimbangkan semula. Permintaan keluarga Zayn yang membuatkan Olyn berdiam diri, melepaskan sahaja Zayn ke luar negara.

“Awak, jom lepak sana. Kau, Qail. Duduk sini, diam-diam,” sampuk satu suara.

Qail dan Olyn berpaling serentak.

Kelihatan Zayn sedang berdiri dengan tiga bekas minuman di tangan. Dihulurkan satu darinya kepada Qail.

“Iya, aku duduk sini,” balas Qail sambil tangannya menyambut huluran Zayn.

Olyn bangkit. Ceria betul wajah itu sebaik ternampak Zayn.

“Ciao.”

Kata Zayn lalu beriringan dengan Olyn ke arah kerusi santai di bawah pokok kelapa berdekatan dengan chalet.

Qail menggeleng kepala.

Bersahabat dengan Zayn sejak dari zaman persekolahan, setiap kelakuan sahabatnya itu ada dalam genggaman tangan dia saja. Qail yakin, Zayn turut berat hati mahu menuruti permintaan keluarganya. Namun, apakan daya. Zayn anak yang baik, mustahil akan melawan kehendak keluarga.

Bibir Qail mengulas senyuman kecil. Hilang sebentar keserabutan di kepalanya ketika ini. Alangkah indahnya jikalau pulang nanti, Tok Aki tidak lagi mengganggu dia dengan permintaan yang sama.

*****

“AWAK!”

Tersentak Qail dibuatnya. Hilang terus bayangan Zayn dan Olyn dek sergahan si isteri. Dia betulkan duduk yang tadinya bersandar santai di kerusi pejabat. Mujur saja kesihatan dia tiptop. Silap hari bulan, janda juga si Nur Aimina ni.

“Miyn…”

Lemah sahaja Qail bersuara.

Miyn garu kepala. “Em, sorry. Saya ingatkan awak sedar saya kat sini,” kata Miyn sambil melabuhkan punggung dikerusi berhadapan dengan Qail.

“Kenapa datang sini?” soal Qail tanpa memandang wajah Miyn. Jemarinya kalut menyambung kembali kerja yang dia tinggalkan sekejap tadi.

“Jom lunch,” ajak Miyn. Teragak-agak juga Miyn mahu mengajak Qail keluar makan tengah hari. Tetapi, cuba nasib sajalah.

“Hm? Tiba-tiba?”

Soal Qail kembali. Masih tidak memandang Miyn.

Yup. Tadi datang sini, nak lunch dengan Adda. Tapi… dia takda. Jadi… saya cuba la nasib datang sini. Manalah tahu, encik suami nak teman puan isteri lunch,” Lambat-lambat Miyn bersuara. Matanya disorotkan ke wajah Qail, mahu melihat reaksi bekas ketuanya itu.

Mendengarkan itu, Qail angkat kepala. Jemari yang tadinya sibuk di keyboard laptop, terhenti.

Miyn tayang senyuman lebar.

Are you serious?”

Qail tayang muka pelik.

Miyn angkat bahu.

Why not?”

Qail gelak. “Okey, jom,” balas Qail sambil sibuk mengemas fail-fail yang agak bersepah di atas meja.

“Oyeah. That’s my boy,” Spontan Miyn berkata. Dia bingkas berdiri, hatinya senang. Namun, dia terfikir juga apa yang difikirkan Qail sehingga lelaki itu mengelamun sebegitu. Tidak sedar langsung dia masuk. Terpaksa pula dia menjerit, memanggil Qail.

Qail menggelengkan kepalanya. ‘That’s my boy?’ Diulang ayat itu di dalam kepalanya.

Sejak Qail mengetahui kebenaran di sebalik perkahwinan mereka, lelaki itu sudah boleh berkompromi dengan Miyn. Walaupun tidaklah semesra pasangan lain, namun suatu hari nanti pasti mereka juga akan sampai ke tahap itu.

Qail dan Miyn beriringan keluar dari bangunan yang berona putih dan biru itu, menuju ke parkir kereta. Sempat juga disapa oleh rakan-rakan setugas yang lain.

“Awak,” panggil Miyn sambil menutup pintu kereta Honda Civic milik Qail.

“Hm?” Tangan Qail laju memakai tali pinggang keledar.

“Awak perasan tak? Lately ni kan, macam ada orang yang follow kita. Saya yang perasan ke atau memang betul ada orang yang dok intip kita?”

Qail pandang Miyn seketika sebelum mula memandu meninggalkan perkarangan ibu pejabat polis.

“Awak jangan fikir sangatlah. Nanti saya minta Umar check CCTV tempat-tempat yang kita pergi,” jawab Qail.

Miyn paling ke kanan. Siku diletakkan di armrest dengan jari telunjuk di bibir. Matanya memandang Qail.

“Uhuh, kenapa Umar? Kenapa tak saya aje yang check?”

Qail kerling ke kiri. “Awak? No no no. Let Umar do it. Enough, full stop,” tegas Qail bersuara.

Miyn betulkan duduk. Bibir mencebik.

“Okey,” Terpaksa dia bersetuju.

Qail senyum nipis.

Senang pula si isteri mendengar kata. Semoga sikap ini bertahan lama. Penat juga dia hendak menghadap perangai degil Miyn itu. Dia bukanlah mahu Miyn akur akan setiap arahannya, cukuplah Miyn boleh memikirkan di pihak dia juga. Dia tidak akan menghalang jika dirasakan hal itu Miyn boleh kawal.

Jika Miyn tidak lontarkan kegusaran tentang itu pun, dia sendiri yang akan siasat. Sejak mereka berkahwin, sering juga dia perasan mereka seakan diekori oleh seseorang. Teringin juga dia mengetahui identiti si pengintip itu.


Notes: After a long break... miss me? 😊 CIA akan cuba habiskan Legasi sampai episod 10. Episod 4 & 5 memang dah lama siap, cuma tak berkesempatan nak upload. Selamat membaca Legasi Epsiod 4.