Saturday, 31 May 2014

Cerpen : Si Amor Me Si Amor 2



Bik Hus dan Mak Cik Fauziah rancak berbual di dapur sambil memasak. Puas Darwisya memujuk ibu tiri Rifqi agar bermalam di sini sahaja. Nasib baiklah Mak Cik Fauziah bersetuju. Kalau tidak, pasti Darwisya tidak senang duduk. Rifqi pula sehingga ke malam tidak menunjukkan muka.
Pelik juga Darwisya. Selalunya, Rifqi akan pulang. Jarang lelaki itu bermalam di luar melainkan dia outstation. Ingin menelefon, Darwisya tiada nombor telefon lelaki itu. Malah, Bik Hus ada juga menghubungi Rifqi. Namun, panggilan itu tidak berjawab.
Darwisya yang menemani Athirah di ruang tamu kedua mencapai telefon bimbitnya di meja kopi. Dia mendail nombor telefon Datuk Adnan. Mungkin papanya tahu sesuatu.
Hello, pa. Papa busy ke?”
“Tak adalah. Papa ada kat rumah ni. Kenapa Awisy call papa?”
“Emmm, macam ni, papa. Dari semalam lagi, Rifqi tak balik. Papa tahu tak dia pergi mana? I mean, ada kerja luar ke?”
Sekarang ini, Rifqi memang sibuk dengan urusan kerjasama dengan syarikat Datuk Adnan. Jadi, Darwisya sekadar mencuba nasib. Mungkin, Datuk Adnan ada menghantar Rifqi kerja di luar kawasan.
“Eh, tak ada pulak papa hantar dia pergi urusan luar. Awisy dah call dia?” tanya Datuk Adnan.
“Bik Hus dah call banyak kali. Tapi, tak dijawab. Awisy ingat papa tahu,” Darwisya mula tidak sedap hati.
“Tak apa. Nanti papa call Awisy balik. Biar papa minta tolong pembantu papa. Awisy jangan risau sangat. Jangan bagitahu sesiapa dulu pasal ni,” Lega sedikit hati Darwisya dengan ujaran papanya.
“Baiklah, pa. Terima kasih, papa. Sampaikan salam Awisy pada mama,” Talian dimatikan.
Darwisya mengeluh kecil. Tidak sangka, dia akan risaukan Rifqi. Suami yang baginya hanya sekadar di atas kertas. Tambahan pula, lelaki itu tidak pernah melayannya dengan baik. Balik sahaja dari kerja, ada sahaja benda yang hendak diherdiknya.
Rumah bersepahlah. Tak masaklah. Macamlah Darwisya tak tahu. Semua itu sekadar mahu menyakiti hatinya sahaja. Jika Darwisya tidak tahan, pasti dia akan meminta cerai. Mudahlah kerja Rifqi ingin berhadapan dengan Datuk Adnan. Walaupun Datuk Adnan banyak membantunya dalam perniagaan, dia tidak akan menyerah sewenang-wenangnya.
Telefon rumah yang berdering mengganggu lamunannya. Pandangan Athirah turut menghala ke arah almari sederhana tinggi yang terletaknya telefon. Darwisya melangkah laju. Takut pula, orang yang menelefon menunggu lama.
Hello, assalamualaikum. Boleh bercakap dengan Puan Amni?”
“Saya bercakap. Ada apa, encik?”
Athirah tersentak tatkala melihat tubuh langsing kakak iparnya sudah terbaring di sisi almari. Dia berlari memangku kepala Darwisya sambil menjerit memanggil Mak Cik Fauziah. Tangan kecil menepuk-nepuk lembut pipi mulus Darwisya.
*****
Darwisya terduduk di tepi tebing yang curam, ditambah pula dengan kegelapan malam. Suasana agak bising ketika ini. Air mata yang mengalir tiada tanda-tanda akan berhenti. Hatinya walang. Terasa kosong jiwanya saat menerima berita mengenai Rifqi.
“Saya harap puan bertenang. Kami temui kereta suami puan di bawah gaung. Kami percaya kereta terbabas dan terjatuh ke dalam gaung…”
Mak Cik Fauziah mengusap belakang menantunya. Dia sendiri sudah tersedu sedan. Niat ingin bertemu dengan Rifqi tidak kesampaian. Berita yang diterimanya terlalu sukar untuk dimamah. Kebenaran yang harus diberitahu kepada anak tirinya kini terkubur.
“Sabar, Amni. Banyakkan beristighfar,” Mak Cik Fauziah menenangkan Darwisya yang tenggelam dalam tangisannya.
“Mak, bukan ni yang Amni nak,” rintih Darwisya sambil tersedu.
“Iya, nak. Semua orang tak nak benda ni jadi. Kita kena redha,” Athirah di sisi Mak Cik Fauziah turut menangis.
Datin Emma menerpa ke arah anak perempuannya. Dipeluk Darwisya erat. Datuk Adnan pula menghampiri seorang polis yang berdiri tidak jauh dari tebing. Dia perlukan penjelasan lanjut dari pihak yang terlibat. Bukan main terkejut lagi tatkala menerima panggilan daripada pembantunya sebentar tadi.
*****
“Minum air ni, Awisy,” Datin Emma menghulurkan sebotol air mineral kepada Darwisya.
Wajah Darwisya lesu dan lemah. Berita sahih tentang Rifqi dan Yusra masih belum diketahui mereka.
“Dah lama akak sampai sini?” Dalam keadaan lesu, Darwisya masih mampu memperkenalkan Mak Cik Fauziah kepada kedua ibu bapanya.
“Tengah hari semalam. Niat akak naklah bertemu dengan Rifqi. Tapi…”
Mak Cik Fauziah menyapu air mata yang jatuh ke pipi. Walaupun dulu dia bencikan Rifqi, namun kini, kasih sayangnya pada Rifqi sama seperti kasihnya kepada Athirah. Kemalangan yang berlaku kepada Rifqi memberikan kesan hebat kepadanya.
“Kita banyaklah bersabar, kak. Insha Allah, Rifqi tak apa-apa. Kita sama-sama doakan kesejahteraan mereka,” Datin Emma berkata tenang.
Jauh di sudut hatinya memang tidak menyukai Rifqi. Tetapi, Rifqi masih menantunya yang sah. Suami kepada anak perempuan kesayangannya. Darwisya sendiri mampu menerima kehadiran Rifqi, apatah lagi dia.
“Awisy, papa nak Awisy tenang. Polis dah cuba sebaik mungkin, tapi mayat Rifqi dan kekasih dia masih tak dapat dijumpai. Hari pun dah jauh malam. Esok pagi, pencarian akan diteruskan lagi. Awisy dan lain-lain bolehlah balik dulu. Kita tunggu berita dari pihak polis,” Sedaya mungkin dia menyampaikan berita itu kepada Darwisya dan Mak Cik Fauziah.
Mak Cik Fauziah tertunduk. Berat sungguh berita itu untuknya.
“Awisy nak tunggu sini,” kata Darwisya sayu.
Datuk Adnan dan Datin Emma saling berpandangan. Sakit hati mereka melihat keadaan satu-satunya anak perempuan mereka ketika ini. Wajah itu sangat pucat, tidak bermaya. Timbul kepelikan di hati mereka. Setahu mereka, Darwisya dan Rifqi bukanlah pasangan yang bahagia.
Kenapa Darwisya terlalu emosi tentang berita buruk ini? Atau, ianya semata-mata kerana Rifqi adalah suaminya. Jadi, perasaan itu hadir secara automatik. Tuan punya badan sendiri sangsi akan kesedihannya. Darwisya sendiri tidak mengerti mengapa dia perlu bersedih begini.
*****
Setelah sebulan proses pencarian Rifqi dan Yusra, polis menyatakan jasad keduanya ‘missing in action’; MIA. Lokasi pencarian yang luas juga tidak membawa mereka kepada penemuan mangsa-mangsa yang hilang. Macam-macam spekulasi yang hadir dek kemalangan itu.
Tiada siapa yang mengetahui di manakah Rifqi dan Yusra. Hanya kereta Naza Italia sahaja yang ditinggalkan. Datuk Adnan sendiri mengerahkan orang-orangnya untuk mencari, namun keputusannya masih sama. Tidak jumpa!
“Amni, mak ingat mak nak balik kampung,” Darwisya memandang Mak Cik Fauziah yang duduk bersimpuh di tepi kolam renang di sayap kiri banglo milik Rifqi.
“Mak dah putus asa?”
“Mak tak pernah putus asa, Amni. Mak masih berharap Rifqi kembali. Cuma, mak tak mahu menyusahkan Amni. Lagipun, dah lama mak tinggalkan kampung,” jelas Mak Cik Fauziah.
“Tapi, Amni nak mak ada dengan Amni kat sini. Sekurang-kurangnya, mak dengan Athirah ada temankan Amni. Amni tak sanggup nak tinggalkan rumah ni,” tutur Darwisya penuh pengharapan.
Dia nekad untuk menanti kepulangan Rifqi walauapapun yang berlaku. Sama ada, kepulangan itu adalah jasad yang masih dengan rohnya. Atau, sebaliknya. Sudah acap kali, Datuk Adnan dan Datin Emma memintanya agar pulang ke rumah mereka. Namun, dia menolak baik. Selagi Rifqi masih belum ditemui, dia tetap akan berada di banglo ini.
“Dah seminggu Athirah tak pergi sekolah. Tadi, cikgu sekolah dia ada telefon mak. Mak dah janji minggu depan Athirah dah boleh masuk sekolah balik,” Darwisya melepaskan keluhan kecil.
Jika Mak Cik Fauziah dan Athirah pulang ke kampung, keseoranganlah dia di sini. Bik Hus hanya akan datang pada hujung minggu sahaja. Otaknya diperah memikirkan jalan keluar. Pasti ada jalan agar Mak Cik Fauziah dan Athirah terus menetap di sini. Paling tidak pun, sehingga Rifqi ditemui.
“Apa kata Amni tukarkan sekolah Athirah? Kebetulan, kat hujung taman sana ada sekolah rendah. Senanglah Athirah nak ke sekolah. Ada bas yang akan ambil. Tak pun, Amni sendiri yang pergi hantar,” Bersungguh-sungguh Darwisya memujuk ibu mertuanya.
“Mak, orang nak duduk sinilah. Rumah abang best. Ada kolam, boleh main. Orang nak tunggu abang,” sampuk Athirah sambil mengelap badannya dengan tuala.
Darwisya menghampiri Athirah. Dia membantu Athirah mengelap tubuh kecilnya basah dek berenang di kolam renang. Mak Cik Fauziah tak terkata apa-apa. Dia berfikir sejenak. Pasti orang-orang kampung tertanya-tanya akannya yang sudah lama berada di Kuala Lumpur. Rumahnya juga pasti sudah serabut. Tidak pula dia menitipkan pesan kepada jiran-jirannya untuk menjaga rumahnya.
“Hujung minggu ni, Amni bawa mak balik kampung. Boleh mak kemaskan rumah mak. Boleh ambil baju lebih sikit. Baju sekolah Athirah?”
“Baiklah. Mak harap mak dan Athirah tak susahkan Amni…”
“Mak jangan risaulah. Mak Rifqi, mak saya jugak,” Mak Cik Fauziah tersenyum.
Untung dia mendapat menantu seperti Darwisya. Namun, tidak pula dia tahu bagaimana Rifqi boleh mengahwini Darwisya. Tak pernah terlintas di benaknya ingin bertanyakan hal itu kepada Darwisya. Dia tidak mahu digelar penyibuk.
*****
Datuk Adnan memarkirkan kereta di sebuah premis sepuluh tingkat. Langkah di bawa ke tingkat empat. Sekali sekala, dia akan membuat lawatan ke syarikat milik Rifqi. Sekadar ingin membantu mengendalikan syarikat itu sepanjang ketiadaan usahawan muda.
“Selamat pagi, Datuk,” ucap setiausaha Rifqi.
“Selamat pagi. Kila, saya nak jumpa dengan pengurus operasi. Tolong panggilkan untuk saya,” suruh Datuk Adnan sebelum berlalu ke dalam bilik pejabat.
“Baiklah, Datuk,” Pantas dia menekan nombor yang disambung ke bilik pengurus operasi syarikat.
Beberapa minit kemudian, Ruslan, pengurus operasi tiba di pejabat yang Datuk Adnan berada.
“Ada apa Datuk nak jumpa saya?” tanya Ruslan.
“Saya dah baca laporan yang awak hantar. Overall, saya puas hati. Cuma, satu benda yang saya musykil. Kenapa bos awak tak masukkan nama-nama syarikat yang terlibat sama dalam projek pembinaan taman tu?”
“Kalau tentang tu, saya sendiri tak tahu. Tuan Rifqi langsung tak sentuh pasal tu. Ada jugak pelabur yang tanya, tapi itulah. Hanya Tuan Rifqi yang tahu kenapa dia buat macam tu,” Ruslan membalas sambil matanya memandang tepat Datuk Adnan.
Adakalanya, dia musykil dengan sikap ambil berat bapa mertuanya bosnya itu. Setahunya, Datuk Adnan dan Rifqi seteru. Sejak mereka ada projek bersama, kerap kali Rifqi bengang dengan cara kerja mereka yang berlainan. Datuk Adnan lebih menumpukan kepada projek-projek perumahan. Sedangkan, Rifqi pula banyak mengambil projek landskap taman, pusat rekreasi dan juga rumah-rumah kebajikan.
“Emmm, tak apalah. Tujuan sebenar saya panggil awak sebab saya nak serahkan fail ni. Awak boleh teliti dulu isinya dengan para pekerja lain. Projek besar yang memakan billion ringgit. Bukan senang nak dapat projek ni. Jadi, awak dan yang lain fikirlah sebaiknya,” ujar Datuk Adnan.
“Tapi, setiap projek kan memerlukan persetujuan pemilik syarikat, Datuk?”
“Itu awak jangan risau. Awak boleh minta persetujuan dari orang kanan Rifqi. Lebih tepat lagi, pemangku pengarah yang dilantik. Projek kali ni bukan projek perumahan yang selalu saya syorkan…”
“Maksud, Datuk?”
“Hotel Trendy. Tawaran daripada salah seorang ahli perniagaan terkenal di Brunei. Konsep hotel islamik yang Rifqi idamkan,” Ruslan tersentak.
Datuk Adnan tersenyum. Dia faham riak wajah Ruslan yang nyata terkejut itu. Secara kebetulan, dia ternampak model kayu yang dihasilkan oleh Rifqi. Hotel yang berkonsepkan islamik. Model kayu itu menarik perhatiannya untuk melihat sendiri pembangunan hotel itu secara realiti. Dia kagum dengan daya kreativiti menantunya itu.
*****
Hujan lebat yang turun sedikit banyak memberi peluang kepada Darwisya untuk meluahkan segala kesedihan hatinya. Segala kenangan bersama Rifqi terlayar dia mindanya. Bukanlah kenangan yang indah, namun cukup untuk Darwisya tahu bahawa hatinya mula terpaut pada perwatakan garang Rifqi.
“Ambil makanan ni. Hidangkan kejap lagi. Aku lapar,” Plastik berisi bungkusan makanan dihulurkan kepada Darwisya di ruang tamu.
“Dah lapar, makan sekaranglah. Kejap aje nak hidangkan ni,” balas Darwisya tanpa memandang Rifqi.
“Kau nak aku makan dengan badan aku yang melekit ni? Bukan setakat aku tak lalu nak makan, sekali dengan kau tak ada selera,” Tajam mata Rifqi merenung wajah lembut isterinya.
Darwisya buat muka bosan. Asyik-asyik, kena marah. Dia tak buat salah pun kena marah. Badan saja kurus kering, tapi mulut lancang. Ada saja yang tak kena. Waktu Bik Hus ada, tak pula Rifqi naik angin. Hanya jelling tajam gitu saja.
“Apa-apalah. Pergilah naik mandi, kang sejuk pulak makanan ni…”
“Macamlah tak ada dapur nak panaskan. Aku beli dapur tu bukan suruh buat perhiasan. Nak bakar muka orang pun boleh,” bebel Rifqi sambil menapak anak tangga.
“Tak padan dengan kurus kering, makan banyak. Tapi, tak naik jugak badan tu. Bukannya reti nak pergi gym ke. Biar tough sikit. Tak adalah melayang kalau angin sepak,” Kini, Darwisya pula yang membebel sambil berlalu ke dapur.
Rifqi menjengulkan kepala. Gym? Dia nak aku bina badan ke? Argh, lantaklah. Nak ikut cakap dia buat apa. Sekurus aku ni, tak pernah lagilah kena sepak angin. Ngok ngek punya bini.
Lima belas minit kemudian, Rifqi muncul di meja makan. Nasib baik dah terhidang makanan dan minuman. Kalau tak, dipiatnya telinga si Darwisya tu. Darwisya muncul dengan bekas nasi. Dia menyendukkan nasi ke dalam ke pinggan Rifqi. Tak pasal kena herdik pula jika lelaki itu sendiri yang mencedok nasi.
“Macam ni baru isteri solehah,” Rifqi siap duduk di kerusi. Dia mencuci tangan sebelum menadah tangan, membaca doa.
Darwisya melabuhkan punggung di sebelah kanan Rifqi. Tiada niat untuk makan bersama. Sekadar ingin menemani suaminya sahaja.
“Belum cukup solehah lagi. Sebelum terlupa, esok saya nak pergi pasaraya. Barang dapur dah habis,” maklum Darwisya.
“Ikut suka kaulah. Asalkan kau tak keluar dengan jantan-jantan, bekas kau dulu,” Darwisya sentap.
Dihela nafas lembut.
“Perkara lepas, tak payahlah ungkit. Saya tahu apa yang pernah saya buat. Esok saya pergi dengan Bik Hus. Saya naik dulu. Dah habis makan, tinggal aje. Nanti saya kemaskan,” Rifqi hanya mengangkat kening.
Sakit hati Darwisya, kisah lalu diungkit tanpa rasa bersalah. Dia sangat faham maksud sebenar kata-kata Rifqi. Jika ikutkan hatinya yang panas, ingin sahaja dia mengungkit hubungan suaminya dengan Yusra. Sosial dia pun tak pernah pula membawa lelaki masuk bilik.
Guruh berdentum menyedarkan Darwisya dari lamunannya. Air mata yang mengalir disekanya. Bingkai gambar Rifqi di meja sisi diambil. Rifqi segak dengan pakaian formal. Gambar itu dicurinya ketika mengemas bilik bacaan. Ketika itu, muka itu tak adalah serabut sangat. Namun, Darwisya tetap tidak boleh meneka jika wajah itu tiada jambang dan juga misai.
“Ya Allah, aku sangat merinduinya. Kau temukanlah suamiku. Aku masih belum puas hidup bersamanya. Aku gagal menjadi seorang isteri yang baik untuknya. Jika dia masih hidup, Kau bawalah dia ke jalan-Mu dan kembalikanlah dia kepada kami. Dan, jika sebaliknya, Kau ampunilah dia, Ya Allah,” Doa Darwisya, tulus.
*****
“Minum sikit, nak,” Gelas air putih disuakan ke mulut seorang gadis yang terlantar di katil.
Rakus sekali gadis itu meneguk. Sehingga kosong gelas itu. Tersenyum Puan Bariah dengan perubahan gadis yang dibawa pulang oleh suaminya, Encik Johar sebulan yang lalu. Hampir sahaja mereka suami isteri berputus asa kerana tiada tanda-tanda gadis itu akan sedar. Sehinggalah beberapa jam yang lepas, gadis itu mula mencelikkan mata.
“Saya kat… ma… mana?”
“Auni jangan risau. Ibu ada ni,” kata Puan Bariah sambil mengusap lembut kepala gadis itu.
“Tapi…”
“Syhhh, Auni tak sihat lagi ni. Rehat dulu. Nanti ibu ceritakan,” Gadis itu akur. Sekejap sahaja, dia sudah lena.
“Macam mana, Yah?” soal Encik Johar di pintu bilik.
“Alhamdulillah, bang. Dah boleh bercakap. Saya suruh dia rehat dulu. Naqib mana?”
“Naqib ada dengan along kat bawah,” beritahu Encik Johar.
“Jomlah kita. Biarlah dia rehat dulu. Yah nak masakkan bubur untuk dia sekejap…”
“Iyalah,” Encik Johar dan Puan Bariah beriringan ke dapur.
*****
Kasyfi membantu Naqib duduk di pangkin. Luka di kaki lelaki itu masih belum sembuh sepenuhnya. Jika tak dijaga dengan baik, boleh bernanah. Mahunya lambat Naqib boleh berjalan dengan sempurna.
“Along nak tanya Qib sikit boleh?”
“Tanyalah, along. No harm,” Kasyfi senyum sedikit.
“Qib dengan Auni, suami isteri ke?”
Naqib terkejut dengan soalan Kasyfi. Namun, cepat-cepat dia sembunyikan riak terkejutnya.
“Bukan. Kami kawan baik. Qib pernah cerita pasal kami kan? Itulah yang berlaku,” Kasyfi mengangguk sedikit.
“Along risau Auni tak boleh terima bila dia dapat tahu keadaan diri dia. Orang perempuan ni amat pentingkan penampilan diri dan wajah mereka. Qib dah sedia nak hadapi penerimaan Auni?”
“Insha Allah, along. Lambat laun, dia akan tahu jugak. Buat sementara ni, biarlah Auni betul-betul stabil dulu,” balas Naqib.
Bukan sesuatu yang mudah untuk menjelaskan perkara buruk. Namun, lebih baik bersikap jujur daripada terus menipu. Pasti segalanya akan menjadi mudah. Merahsiakan sesuatu perkara boleh menghilangkan kepercayaan seseorang. Naqib tidak mahu Auni salah faham akannnya.
*****
Datin Emma mengukir senyuman paling manis kepada Darwisya. Bagaikan baru semalam dia melahirkan puterinya ini. Kini, puterinya itu sudah besar panjang. Sepanjang dua puluh lima tahun membesarkan Darwisya, saat inilah yang paling membahagiakannya.
Melihat wajah ceria itu, mampu menghiburkan dirinya. Walaupun tanpa suami di sisi, anak perempuannya masih tersenyum manis saat menerima berita gembira mengenai dirinya yang sedang mengandungkan anak Rifqi. Sangkanya, Darwisya hanya demam biasa sahaja. Rupanya, demam nak dapat baby.
“Tengoklah menantu akak ni. Asyik senyum aje dari tadi,” kata Datin Emma.
“Orang tengah bahagia, Emma. Harapnya bayi ni boleh bawa tuah dalam keluarga kita ni. Allah jauhkan bapa, tapi Dia hadirkan anak untuk kita. Indah sungguh percaturan-Nya,” balas Mak Cik Fauziah.
Dia turut tumpang bahagia. Begitulah perasaannya ketika dia diberitahu tentang kehamilannya setelah berbelas tahun menunggu. Hadir Athirah sebagai peneman. Syukur pada Allah.
“Syukur, Alhamdulillah. Awisy kena dengar cakap mak, Bik Hus, mama dan papa. Kandungan Awisy masih baru,” Darwisya mengulas senyuman nipis.
Sebenarnya, jauh di sudut hatinya, dia mengharapkan kehadiran Rifqi. Tetapi, siapalah dia untuk melawan takdir Allah. Dia kena redha akan apa yang berlaku. Pasti ada hikmah disebalik kepahitan yang ditelannya. Walau apapun yang berlaku, dia akan membesarkan anak mereka sebaik mungkin.
“Terima kasih, mama, mak. Insha Allah,” Dipeluk keduanya erat.
Setiap kali selesai solat, dia tidak pernah bosan untuk berdoa kesejahteraan Rifqi dan juga Yusra. Semoga Allah memberi petunjuk kepadanya. Dia cuba mengawal rindunya dengan berdoa. Harapnya, hatinya akan sentiasa tenang dan bersabar. Insha Allah.
*****
Dua tahun kemudian
Kila mengetuk pintu bilik bosnya sebelum masuk ke dalam bilik sederhana besar itu. Senyuman manis diberikan.
“Puan, ni report kewangan. Puan Latifah dah siapkan sekali dengan bulan ni,” maklum Kila.
“Terima kasih, Kila,” Darwisya meneliti fail di tangannya.
“Lagi satu, puan. Bulan depan, annual dinner syarikat. Jadi, saya nak dapatkan persetujuan puan dan juga kehadiran puan. Ni, usul annual dinner,” Fail berwarna biru diberikan kepada Darwisya.
“Cepatnya. Komited sungguh kamu semua ni. Lagi dua hari saya confirmkan kehadiran saya. Jangan lupa inform saya balik. Takut terlupa,” Kila tergelak.
“Iyalah. Saya keluar dulu, puan,” Darwisya hanya mengangguk. Kila membawa langkah ke mejanya.
Darwisya membaca kertas kerja makan malam tahunan syarikat. Laporan kewangan tadi diletak ke tepi.
Annual dinner? Nice,” Dia tersenyum sendiri.
Matanya jatuh pada bingkai gambar yang tergantung elok di dinding. Seperti Rifqi memandangnya sambil tersenyum. Alangkah indahnya jika dia masih berpeluang melihat senyuman itu secara nyata. Seketika kemudian, Darwisya beristighfar panjang.
*****
“Awak, saya laparlah. Jom pergi makan,” Naqib mengangkat wajahnya.
Sepasang mata yang bersinar itu memandangnya. Hatinya berdetak laju. Oh, hati. Berapa kali kau nak jatuh? Untung sahaja bukan pada perempuan lain.
“Okey. Sekejap. Awak masuklah dulu,” Auni melangkah ke dalam bilik Naqib. Dilabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Naqib.
“Kena hantar bila ni?”
“Esok. Tapi, dah hampir siap. Nak touch up sikit aje lagi. Awak dah lapar sangat ke?” Naqib bersoal kembali sambil tangannya laju menekan keyboard.
“Taklah lapar sangat. Cuma, saja nak bermanja dengan awak,” Naqib ketawa kecil.
Auni tersenyum. Kacak sungguh apabila Naqib ketawa. Wajah putih itu bersih daripada noda. Pernah sekali, kanak-kanak di sebuah rumah kebajikan memanggil lelaki itu, ustaz. Tapi, Naqib cepat sahaja menghalang agar dirinya tidak digelar ustaz. Masih banyak kekurangan yang perlu dia betulkan.
“Kat pejabat pun nak bermanja?”
“Alah, awak ni. Bukannya orang tak tahu kita suami isteri. Tak kena tangkap basah punya,” seloroh Auni.
“Iyalah. Ikut suka awaklah. Asalkan awak bahagia,” Naqib mengalah. Orang nak berkasih sayang, bukannya boleh dihalang.
“Tadi ibu call. Dia tanya bila nak balik sana? Ayah pun dah rindu,” beritahu Auni.
Sejak mereka mendirikan rumah tangga setahun lepas, Naqib lebih selesa tinggal berasingan dengan keluarga angkat mereka. Tambahan pula, kini mereka sedang bekerja di sebuah syarikat milik sahabat baik Encik Johar di bandar. Agak jauh juga jika mereka masih menetap di rumah Encik Johar dan Puan Bariah.
“Insha Allah, hujung minggu ni saya free. Awak bagitahu ibu nanti kita balik. Masak banyak-banyak sikit,” Auni mencebik.
Demand nampak. Awak tak suruh pun, ibu mesti masak banyak punyalah. Anak kesayangan dia nak balik kan. Along lagilah, mahunya penuh satu peti ais tu dia isi,” Mereka ketawa serentak.
Kasyfi memang sangat baik. Terlalu baik. Sehinggakan Naqib dan Auni merasakan seperti mereka ditatang bagaikan minyak yang penuh. Adakalanya, Kasyfi akan bertandang ke rumah mereka. Alasannya, dia rindukan adik-adiknya. Dia yang merupakan anak tunggal sudah pasti seronok tatkala hadir dua orang adik tersayangnya. Boleh juga dia menumpang kasih.
“Awak cakap pasal along, rindu pulak kat dia…”
Auni mengangguk mengiakan. Dia turut merindui abangnya yang baik itu.
*****
Datuk Adnan dan Datin Emma bersantai di halaman banglo Rifqi. Selalunya, petang begini, mereka akan singgah di banglo itu. Walaupun Darwisya tidak keseorangan di situ, namun ada jiwa yang membawa mereka ke situ. Muhammad Adib Rafki!
“Adib, meh sini kat atuk,” Datuk Adnan menggamit cucu lelakinya.
Lambat-lambat anak kecil itu berjalan. Bersimpang siur langkahnya. Sesekali dia ketawa sendiri. Seronok agaknya diagah atuk dan tok manya.
“Lambat jugak dia nak bercakap ya, bang. Dah setahun tiga bulan pun. Cepat sungguh masa berlalu,” kata Datin Emma bersahaja.
“Itulah. Masa sekarang ni memang cepat. Pejam celik, pejam celik… dah dua tahun tak ada berita pasal Rifqi. Entahkan hidup lagi ke tidak,” keluh Datuk Adnan sambil mengangkat tubuh kecil Adib.
“Kita doakan yang baik-baik sahaja…”
Darwisya menatang dulang, minum petang. Diletakkan dulang di atas meja batu.
“Mak dengan Athirah mana, Awisy?”
“Mak ada kat atas, solat asar. Athirah, tengok tv. Cerita favourite dia ada, apa lagi. Tercongok ajelah depan tv,” balas Darwisya sambil menuangkan air ke dalam cawan.
“Tahun ni dia ada UPSR kan? Slumber aje dia,” celah Datuk Adnan. Adib masih di dalam dukungannya.
“Ha’ah, papa. Tapi, mak kata Athirah ni turun perangai Rifqi. Dia cepat tangkap apa yang cikgu ajar. Even, tak study banyak, still boleh jawab…”
“Baguslah macam tu. Tapi, Awisy kena pantau jugak. Takut dia terlepas pandang. Lepas habis UPSR, dia nak sambung mana pulak?”
“Athirah ada tanya pendapat Awisy, papa, mama. Dia ingat nak masuk sekolah Tahfiz. Teringin nak menghafal al-Quran,” Darwisya berkata dengan senyuman manis.
Dia amat sokong permintaan Athirah. Syukur kerana adik iparnya berminat nak mendalami agama Islam. Mak Cik Fauziah lagilah bersetuju. Asalkan Athirah bersungguh-sungguh, dia tidak akan menghalang. Arwah suaminya pernah mengusulkan perkara itu ketika Athirah masih kecil. Cuma, dia sahaja yang tidak mengendahkan.
“Alhamdulillah, untung Fauziah ada anak yang bercita-cita tinggi seperti Athirah…”
Darwisya mengerling mamanya.
“Oh, mama tak untunglah sebab Awisy tak masuk sekolah tahfiz?” Darwisya serkap jarang.
“Tengok anak abang ni. Boleh dia pusing cakap kita,” adu Datin Emma manja. Datuk Adnan ketawa kecil. Adib yang tidak tahu apa-apa itu juga gelak. Comel!
“Adib pun gelakkan mama. Kan sayang, kan?”
Pantas sahaja Adib menghulurkan tangan untuk didukung uminya itu. Anak manjalah katakan.
Annual dinner tu macam mana, Awisy? Papa dan mama confirm pergi. Alang-alang boleh papa jumpa kenalan baru…”
“Insha Allah, Awisy pergi. Tapi, Awisy kena bawa Adib sekalilah. Mak dengan Athirah nak balik kampung kejap hari tu, ada kenduri kahwin anak kawan mak,” Darwisya duduk di kerusi batu yang kosong.
“Balik naik apa?”
“Awisy mintak Pak Long Nan hantar. Lagipun, malam tu nanti Arif dengan Nasya jemput. Tapi kan, papa, mama… macam nervouslah pulak,” Datuk Adnan dan Datin Emma ketawa.
Buang tebiat si Darwisya ni. Sejak bila reti gementar bagai ni entah. Sebelum ini, main rempuh saja segala jenis majlis keramaian atau majlis formal. Dia kisah hapa.
“Dah kenapa nervous pulak?”
“Iyalah. Awisy kan attend dinner sebab wakilkan Rifqi. So, Awisy tak naklah dia orang rasa lain sebab sebelum ni kan Rifqi yang handle semua tu,” jelas Darwisya. Tangannya menyuap biskut cicah ke mulut comel anak lelakinya.
“Insha Allah, Allah permudahkan urusan. Papa dengar dia orang nak rasmikan sekali rumah anak yatim Nadim kan?”
“Ha’ah, sekalilah tu…”
Darwisya pandang Adib di ribanya. Menurut Mak Cik Fauziah, Adib agak mirip Rifqi ketika kecil dulu. Kenapa dia berdebar-debar ya untuk menghadiri majlis makan malam syarikat Rifqi itu?

to be continued...

9 comments:

  1. Kak suspensnyaaa cpt sambung

    ReplyDelete
  2. Aduhh suspen sungguh....sian darwisya....huhuhu....xsabar nk tggu next episode...cepatla update....plzzzzz....:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. :D. haha. malam ni minum white coffee, nak sambung SAMSA. hehehe

      Delete
  3. Haruss....mmg xsabar nk tggu next episode...teruja...best writer sebb selalu update n ada story baru....:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. heeee. biasa jalah. ada story kita kongsi. kan, kan, kan? :D

      Delete
  4. kak qaseh, crite ni da tmbh booomm!! sy rase ni laen dr yg laen..hehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih, afiqah. keep waiting for it. :D.

      Delete