Friday, 2 May 2014

e-novel : Pearl Episode 4


EPISODE 4

Pesanan sms yang diterima, dibuka Adelin. Siapa pula yang menghantar sms malam-malam macam ni? Jarang sekali, ada yang mencarinya malam-malam melainkan Yani. Itu pun sekadar untuk memberitahu jadualnya keesokan hari. Kalau tak pun, baba dan ibu. Tapi, kedua-duanya berada di hadapan matanya kini. Tika itu, Adelin tergelak kecil.

Adelin, buka pintu. I’m home – Fariz

Encik Thohier dan Puan Aida yang sedang melepak di permaidani mendongak sedikit ke sofa. Dah kenapa si Adelin ni tergelak? Kena sampuk ke? Meremang pula bulu roma.

“Apa pandang Adel macam tu? Fariz dah baliklah,” Adelin turun dari sofa dan melangkah ke pintu.

Saat pintu dibuka, Fariz sudah berdiri tercongok di depan pintu. Memang tak perasanlah lelaki itu balik kerana keretanya diparkir di luar porch. Sejam selepas Fariz keluar pagi tadi, ada staf lelaki itu menghantar keretanya. Dan, sehingga kini Adelin tidak tahu bila masa Fariz mencuri kunci keretanya. Hmmm.

“Ibu dengan baba mana?” bisik Fariz. Takut mertuanya dengar. Malas pula dia hendak bersoal jawab kerana pulang lewat. Siap berganti baju lagi.

“Ada tu, depan tv. Pergi berjimba dulu ke, tuan inspektor?”

“Tak baik menuduh suami. Kau tengok aku macam baru lepas berseronok ke? Papa ajak singgah rumah tadi,” Adelin terangguk sedikit.

Takkan si Fariz bagi MC aku straight kat Tan Sri Lutfi? Sewel ke apa, mamat ni. Tak pasal, lusa dia masuk kerja… kena perli. Nak bertanya, takut dikatakan dia menuduh lagi, omel Adelin sendiri.

“Apa yang dok tercegat depan pintu tu, anak-anak oi? Masuklah. Nak masuk rumah sendiri pun, nak kena berjemput?” Tersentak Fariz dan Adelin yang masih berdiri di depan pintu rumah. Kan dah kena perli.

Adelin mendahului langkah Fariz. Dia tidak kembali ke sofa, sebaliknya terus ke dapur. Isteri mithali, kan. Kenalah serve suami. Ehek! Muntah hijau si Adelin tu nak sediakn air untuk Fariz kalau tiada Encik Thohier dan Puan Aida. Fariz melabuhkan punggung di sofa berangkai tiga.

Encik Thohier dan Puan Aida kusyuk melayan Kaho Na Pyar Hai. Walaupun sudah banyak kali menonton cerita Hindustan itu, namun masih tidak jemu-jemu. Berulang kali menonton pun, masih mempunyai perasaan yang sama. Bukan main romantik lagi pasangan veteran itu. Puan Aida sakan bersandar di bahu kekar suaminya. Itu namanya, cinta sampai ke akhir hayat. Amin.

“Nah, milo susu,” Fariz menyambut huluran Adelin. Pelik dia melihat senyuman Adelin. Tak ikhlas langsung!

“Dari mana, Fariz?” soal Encik Thohier.

“Rumah papa. Makan malam sekali tadi. Ada discussion sikit,” beritahu Fariz jujur. Dah memang betul ada perbincangan tentang hal syarikat. Walaupun hanya sleeping partner, Tan Sri Lutfi masih memerlukan pendapat Fariz.

“Dia orang sihat, Fariz?”

“Alhamdulillah, sihat. Baba nak jumpa papa?”

Adelin tergelak.

“Kalau baba dapat jumpa papa awak, seminggu lepas tu… minta izin ibu nak buka perniagaan sendiri,” Tangan Encik Thohier selamba menampar kaki anak perempuannya yang terjuntai di sofa.

“Ibu pun rasa benda yang sama. Baba kamu ni, Fariz… bukan boleh jumpa dengan orang business. Semangat nak berniaga datang tiba-tiba. Tapi, sekejap ajelah. Lepas tu, bolayan,” Fariz turut tergelak.

“Kalau macam tu, kena jumpa papa hari-harilah. Bab-bab business ni, papa memang addicted,” Adelin mengangguk setuju. Selama dua tahun, dia bertugas di syarikat dan agak rapat dengan Tan Sri Lutfi, jadi dia sudah faham kehendak lelaki separuh umur itu.

“Adel dok jenguk tak keluarga Fariz?”

Hampir tersedak Adelin yang sedang minum hot chocolate. Selamba saja tangan Fariz mengusap belakang Adelin.

“Kahwin pun rahsia, nak jumpa apanya, ibu. Tan Sri Lutfi tu, hari-hari Adel kena pergi jumpa dia. Sekali dia buka mulut, rahsia Fariz pun Adel boleh tahu,” ujar Adelin bersungguh.

“Amboi, rapat ya dengan tan sri. Buatnya dia nak buat menantu, macam mana?”

“Bukan nak buat lagi dah, baba. Dah jadi menantu pun,” Serentak Encik Thohier dan Puan Aida ketawa.

Fariz mengerling Adelin di sebelahnya.

“Adelin ni anak emas papa. Apa-apa pun yang Adelin buat, even salah… papa buat tak tahu aje. Sampaikan mama minta Fariz jadi spy, takut papa pasang lagi satu,” Membulat mata Adelin.

“Lah, ye ke. Bukan calang-calang orang tu, Adel,” usik Encik Thohier.

“Eh, baba ni. Anak tan sri pun okey apa. Taklah tua,” Dilemparkan sengihan pada orang sebelah. Fariz mencebik.

“Oh, patutlah you tak layan papa I. Kalau papa I muda, mesti dah terima kan,” Aik, lain macam saja nada Inche Inspektor.

“Mana ada. Hakikatnya, kita dah kahwin. Buat apalah nak layan orang lain. Lagipun, tan sri treat saya macam anak. Kalau puan sri nak cemburu, buang masa ajelah,” Adelin berkata senada.

Itulah hakikat yang harus mereka terima. Sejauh mana mereka lari, hakikat itu takkan pernah berubah. Mereka sudah berkahwin. Melainkan, mereka berpisah. Hakikat itulah yang mereka sembunyikan dari pandangan mata semua orang. Kerana itulah, mereka digelar seteru.

Hanya kerana perlanggaran kecil yang berlaku di antara mereka di lobi Eclipe’s Holding, mereka bergaduh. Sudahlah berpura-pura tak kenal, boleh pula dok bertikam lidah di lobi. Sehinggakan Tan Sri Lutfi yang perlu leraikan. Sejak itulah, mereka pantang bersua, pasti akan ada  pertikaman lidah.

*****

Mutia mematikan talian. Lega hatinya setelah dihubungi oleh sebuah syarikat yang akan mengambilnya kerja. Senyuman manis terukir di bibir. Alhamdulillah. Rezeki dia setelah pulang ke Malaysia. Dia diterima untuk bekerja di Eclipe’s Holding sebagai peguam penasihat syarikat di mana, setiap transaksi yang berlaku di dalam syarikat perlu dinilainya terlebih dahulu. Tidak kiralah transaksi apa pun. Projek atau kewangan.

“Amboi, lebarnya kau senyum,” Soffi menghulurkan mug berisi nescafe kepada Mutia.

“Mestilah. Aku dapat kot kerja tu. Kau tahu kan impian aku? Biar aku tak diterima oleh company lain, asalkan Eclipe’s Holding terima aku. Alhamdulillah, aku sudah dapat kepercayaan untuk jadi lawyer kat situ,” Soffi senyum nipis.

“Kau betul-betul ke nak bekerja kat situ, Tia? Jangan disebabkan perkara dulu, kau ada niat lain,” Mutia melawan pandangan Soffi.

“Bukanlah, Soffi. Kau ingat aku ni jahat sangat ke? Aku pun ada impian yang aku nak capai. Kau jugak yang cakap kat aku dulu, buang yang keruh dan ambil yang jernih. Sekalipun aku berdendam, hanya pada inspektor senget tu aje. Aku dah maafkan orang lain kecuali dia,” Mutia berkata sambil matanya tajam memandang kaca televisyen.

“Aku tak kisah kau nak berdendam dengan sesiapapun. Itu hak kau, Tia. Tapi, aku nak kau ingat satu benda. Jangan pernah kau lupa sampai bila-bila, Tia. Kalau tak ada inspektor senget tu, kau takkan ada kat sini tau, kat depan aku. Manusia tak pernah lari dari buat kesilapan. Macam kau jugak,” tutur Soffi.

Dia memang tidak menyokong tindakan Mutia untuk membalas dendam pada penyelamatnya. Walaupun perit untuk menerima, namun itulah adatnya. Orang berbudi, kita berbahasa. Benci mana pun kita pada seseorang itu, jauh di sudut hati telah memaafkan. Begitulah nasihat Soffi kepada Mutia agar sahabat baiknya itu tidak melakukan kesilapan yang sama buat kali kedua.

“Kau jangan risaulah, Soffi. Aku tahu apa yang aku buat. Dendam lama dah aku padamkan. Tapi, untuk lepaskan inspektor tu, aku gagal. Dia perlu bertanggungjawab atas apa yang telah dia lakukan. Dan, aku akan tuntut, Soffi,” Soffi mengeluh.

Kali ini, Mutia sudah nekad. Sekuat mana pun Soffi menghalang, Mutia tetap akan bertindak. Namun, Soffi tidak pasti bagaimana Mutia akan bersemuka dengan pihak lawannya itu. Dia takut Mutia akan kecundang sebelum berjuang. Ada nyawa yang masih bergantung harap dan kasih Mutia.

*****

Tan Sri Lutfi mengumpulkan staf tertinggi di bilik mesyuarat. Para pekerja tertanya-tanya, kenapa tiba-tiba ada mesyuarat tergempar. Jarang majikan mereka itu memanggil dalam keadaan tergesa-gesa. Penting sangatkah perjumpaan ini?

“Assalamualaikum. Maafkan saya kerana mengganggu kerja kamu semua. Tapi, ada benda yang nak saya katakan. Dan, ada seseorang yang akan saya kenalkan pada semua. Mutia, sini,” Para pekerja mula bercakap sesama sendiri.

Adelin hanya mendiamkan diri. Lebih baik dia menunggu penjelasan Tan Sri Lutfi.

“Saya kenalkan, Mutia Imani. Dia akan bertugas sebagai peguam penasihat syarikat. Jadi, saya harap semua akan memberi kerjasama. Dia akan mula bertugas esok. Mutia, silakan,” Mutia melangkah perlahan mendekati Tan Sri Lutfi.

Kini, semua mata memandangnya. Ah, segannya. Namun, dia menghadiahkan senyuman manis. Semua yang berada di bilik mesyuarat terpegun. Mana tidaknya, gadis yang cantik lagi cun akan bekerja bersama mereka. Pekerja-pekerja perempuan sudah mencebik melihat keletah pekerja-pekerja lelaki sedang membetulkan penampilan masing-masing. Pantang ada pekerja perempuan baru, mulalah nak menggatal.

Adelin terpaku pada wajah itu. Dalam diam, dia turut memuji kecantikan dan penampilan muslimah yang dibawa Mutia. Mutia manis bertudung. Timbul rasa cemburu. Pasti dia bukan lagi ‘anak emas’ Tan Sri Lutfi. Selalunya, begitulah yang berlaku. Muncul orang baru, orang lama tidak akan dipedulikan.

“Hai, semua. Saya, Mutia Imani. Nak panggil apa pun, saya tak kisah. Saya harap kalian akan memberi tunjuk ajar pada saya, budak yang baru bertatih. Terima kasih,” Mutia berbicara lembut.

“Okeylah, nanti bolehlah berkenalan ya. Adelin, come here,” Tan Sri Lutfi memberikan isyarat agar Adelin ke depan. “Adelin, buat sementara waktu… Mutia akan berkongsi pejabat dengan awak memandangkan bilik Mutia still in progress. Mutia, ni orang kanan saya, Adelin Annisa…”

Adelin dan Mutia berjabat tangan dengan senyuman terukir di bibir masing-masing. Dua karakter berbeza akan bergandingan. Agak-agaknya, hancur lumat tak Eclipe’s Holding?

“Selamat datang ke Eclipe’s Holding, Mutia. Try to comfort yourself in our families. Insha Allah, semuanya akan baik-baik. Staf-staf kat sini pun ramah,” ujar Adelin ramah.

Sebagai senior dan orang kepercayaan Tan Sri Lutfi, dia harus memberikan tanggapan yang baik kepada pekerja baru. Tambahan pula, Mutia memegang salah satu jawatan penting syarikat. Sudah pasti gadis itu berkelayakan tinggi. Tan Sri Lutfi tidak akan mengambil pekerja sewenang-wenangnya.

“Terima kasih. Insha Allah, we’ll be one family,” Tanpa segan silu, Mutia memeluk Adelin. Seperti adik dan kakak. Jadi, takkan adalah taufan Katrina yang akan berlaku. Eheh!

*****

Malam itu, staf-staf Eclipe’s Holding berkumpul bersama. Sebaik sahaja Mutia diperkenalkan, mereka sudah siap menempah restoran untuk meraikan orang baru ke dalam syarikat. Dengan baik hatinya, Tan Sri Lutfi memberi cuti separuh hari untuk membuat persiapan walaupun ahli korporat itu tidak akan menyertai keraian itu.

“Dah lama ke kak Adelin kerja kat Eclipe’s Holding?” soal Mutia.

“Tak adalah lama sangat. Minggu lepas, cukup dua tahun akak kat sini. Tan sri dan keluarga Eclipe’s Holding banyak berjasa pada akak. Sampailah tan sri memberi kepercayaan pada akak untuk handle projek besar,” jelas Adelin sambil matanya melilau mencari kelibat seseorang.

Wakil Tan Sri Lutfi! Puas sudah dia mengingatkan agar Fariz datang tepat pada waktunya. Sudahnya, ke laut. Tak berdisiplin langsung!

“Kiranya akak orang kuat tan srilah. Mesti akak banyak dapatkan projek untuk syarikat. Kalau tak, takkan semua staf hormatkan akak,” Adelin senyum.

“Akak biasa aje, Mutia. Susah jugak akak nak dapatkan position akak sekarang. Bukan senang nak mendapatkan kepercayaan tan sri,” ujar Adelin. Mindanya mengimbas kembali susah senang dia di Eclipe’s Holding.

Ditengking, dimarah, diejek. Semua itu dia telan dan redha. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Dan, berkat kesabaran itu… dia berada di mana dia sekarang.

“Cik Adelin, Inspektor Fariz dah sampai,” maklum Arsyad.

Mata Adelin ditala ke pintu gerbang restoran. Fariz hadir bersama seorang perempuan. Mutia turut memandang ke situ. Pandangan gadis itu sukar untuk ditebak.

“Hai, Adelin,” sapa Fariz. Sofea yang sedang erat memeluk pinggang Fariz senyum sinis. Meluat pula Adelin melihat adegan itu.

“Baru sekarang nampak muka, tuan inspektor. Pergi kerja ke, buat maksiat,” perli Adelin selamba.

Fariz sudah immune dengan sindiran isterinya itu. Alah, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sudah.

“Relakslah, dear. Aku ni perwira negara, mestilah kerja. Kebetulan, terjumpa Sofea. Alang-alang ada gathering, aku bawaklah dia,” Penjelasan Fariz meloyakan tekak dia. Nak saja dia muntahkan segala isi perut di muka gedik Sofea tu.

Whatever. Oh ya. Sebelum terlupa, saya nak kenalkan staf baru syarikat, Mutia Imani. Mutia, ini Fariz atau Inspektor Fariz. Dia ni, anak lelaki Tan Sri Lutfi…”

Fariz dan Mutia saling berpandangan. Tangan kiri Fariz yang berada di bahu Sofea, dijatuhkan. Fariz tergamam melihat mata yang sedang memandangnya itu. Mutia tersenyum. Sofea mula merengek macam budak kecil. Pasti Fariz sudah terpikat pada Mutia yang berwajah cantik itu. Adelin pula memikirkan yang sebaliknya. Pandangan itu bukanlan sesuatu yang biasa.

“Hai… Mutia,” Mutia menunduk sedikit.

Cepat-cepat Fariz sedar.

“Hai, Fariz. Staf kat sini panggil, Inspektor Fariz,” Senyuman penuh kepuraan-pura dia ukirkan.

Tidak mungkin dia melupakan raut wajah itu. Tidak untuk selama-lamanya. Gadis itu pernah mengisi hatinya. Dan, kini Mutia kembali dalam perwatakan dan penampilan yang baru. Fariz bagaikan mimpi. Mimpi yang sukar disedarkan. Untuk itu, dirinya sendiri yang harus berusaha untuk sedar.

*****

Hadi merenung Fariz yang sedang ralit melayan perasaan. Minuman yang tadinya sejuk, mula cair. Jarang Fariz berkelakuan begini. Pasti ada sesuatu yang berlaku. Kalau tidak, tak adalah wajah kacak lelaki itu masam semacam. Macam dah tertelan biji mangga saja lagaknya.

“Hoi, Riz. Kau okey ke tak ni? Tadi beria kau ajak aku jumpa. Tak menyempat. Sekarang ni, diam pulak,” Hadi meluku kepala Fariz yang sedang menunduk itu.

“Aku tak okey, Di. Kalau aku cerita pun, kau takkan percaya. Aku sendiri still bingung,” Semakin pelik Hadi dibuatnya.

Straight to the point ajelah, Fariz. Tak payah nak bersimpang siur sangat explanation kau tu,” Fariz mengeluh kasar. Diraup rambut pacaknya ke belakang.

She’s back, Hadi. Mutia Imani dah balik,” Hadi terkaku. Sungguh, dia terkejut.

“Ap… apa kau cakap? Tak mungkin, Riz. Dia dah janji takkan balik sini,” Tergagap Hadi bersuara. Hakikat ini sukar dia terima.

“Macam tulah reaction aku bila aku tengok dia dengan mata aku sendiri, Di. Perjanjian ada dua jenis, Hadi. Untuk dituruti atau diingkari. Dia ingkar janji tu,” Hadi menenangkan Fariz yang semakin kusut itu.

“Macam mana kau boleh jumpa dia?”

“Aku jumpa masa gathering staf-staf Eclipe’s Holding semalam. Bini aku yang kenalkan dia. Dan, dia bakal bekerja di syarikat papa, Di,” jelas Fariz.

“Maksud kau, Adelin yang kenalkan korang?” Fariz mengangguk. “Astaghfirullahalazim, Fariz. Perkara ni bukan main-main lagi dah. Kau kena buat sesuatu. Sekarang ni pun Adelin dah mula syak sesuatu…”

“Inilah yang aku takutkan, Hadi. Aku pasti, Adelin takkan boleh terima. Even kami bukanlah suka sama suka. Tapi, dia tetap isteri aku. Tak terbayang aku kalau satu hari nanti dia tahu pasal perkara tu. Hancur semuanya. Papa dan mama pun takkan pandang aku,” Berat sungguh nak menanggung dosa lampau dia.

“Kau kena bertenang. Pasti ada jalan keluar. Buat masa ni, kau layan aje Adelin macam biasa. Aku tahu, mesti Mutia pun akan berpura-pura tak kenal kau. Takkanlah dia rosakkan nama dia sendiri,” kata Hadi, cuba menenangkan jiwa serabut Fariz.

“Entahlah, Di. Aku cuma takut dua benda aje kat dunia ni. Hukuman Allah atas perbuatan aku dulu. Satu lagi, kebenaran lampau. Aku tak sanggup kalau keluarga aku buang aku, Hadi. Dosa yang aku buat bukannya ringan. Terlalu berat untuk dia orang terima,” Ingin sahaja Fariz menjerit.

Namun, mengingatkan sekarang ini mereka berada di restoran, hasrat itu dibatalkan. Sudahlah serabut dengan kes-kes di pejabat. Ini pula, bala paling besar yang datang. Dia takut Mutia akan meracun fikiran Adelin. Walaupun hubungan mereka masih dirahsiakan, tidak semestinya semua itu akan terus menjadi rahsia. Ketika hubungan dia dan Adelin semakin baik, muncul pula kenangan lalu yang menganggu. Fariz sangat tertekan kini.

*****

Adelin kusyuk menonton televisyen di tingkat atas sambil menikmati ais krim vanilla kegemarannya. Sengaja dia memasang DVD cerita Korea bersiri Ghost lakonan So Ji Sub. Sejak kecil lagi, Adelin sudah didedahkan dengan dunia keadilan. Pernah juga dia mengikut Encik Thohier ke majlis-majlis rasmi yang diadakan oleh jabatan yang dipegang babanya itu.

“Adelin,” sapa Fariz yang baru tiba di anak tangga terakhir.

“Eh, dah balik? Sinilah,” gamit Adelin supaya lelaki itu menyertainya.

Lambat-lambat Fariz melangkah. Ceria sungguh Adelin ketika ini. Bukannya dia tidak tahu Adelin memang addicted dengan dunia polis. Kebanyakan DVD di rumah gadis itu adalah berkaitan dengan polis. Fariz pula, walaupun dia seorang polis, jarang sekali dia menonton cerita-cerita begitu. Dia lebih meminati cerita romance.

“Tak ada cerita lain ke nak tengok?” tanya Fariz sambil duduk menyandar di sofa.

“Cerita ni best kot. Macam-macam halangan yang dia orang kena redah sebelum tangkap penjenayah sebenar. Elok dah jumpa bukti, hilang pula. Lepas tu, hampir semua police officer jabatan jenayah siber tu pengkhianat. Awak tak rasa thriller story ni mencabar ke?”

“Kalau dah minat, orang cakap apa pun kau dah tak dengar,” Adelin sengih.

“Hah, dari semalam lagi saya nak tanya awak. Malam yang saya kenalkan Mutia tu kan, saya rasa macam semacam aje,” Fariz berdecit perlahan.

“Semacam apa pulak kau ni?”

“Tak adalah. Entahlah kalau ni… instinct as a wife. Saya rasa macam awak dengan Mutia tu dah lama kenal. Do you think you’ve met her before. Maybe, social friend?”

“Tak payah nak merepeklah, Adelin. I haven’t seen her anywhere before this. No need to make any conclusion. Kau tak percaya laki kau ke?” Terangkat kening Adelin.

“Pernah pulak saya percaya awak sebelum ni. Apa yang awak buat kat belakang saya, manalah saya tahu. Berapa banyak mistress awak pun saya tak tahu. At least, I know that you’re my husband and we still in touch even I don’t know anything about your life. Saya hanya kenal awak yang kat depan saya ni. Kita tak pernah bincang atau ungkit kisah hidup masing-masing,” Terpegun Fariz mendengar ujaran Adelin.

“Kau harap relationship kita ni boleh pergi jauh. I mean, we need a romance sometime,” Adelin tersedak. Nasib baik tak tersembur ais krim vanilla tu kat muka kacak Fariz.

“Tak ada benda lain eh dalam kepala awak tu? Asyik-asyik romance. Otak kotor,” Fariz ketawa kecil.

“Otak kau tu yang kotor. Ada ke aku cakap yang romance tu macam yang kau fikir?”

“Apa yang saya fikir?”

Fariz mengangkat kening sebelah kanannya. Aura menggoda dipamerkan untuk mengusik Adelin. Gadis itu buat muka geli.

“Adelin, kau tak ada ke lelaki yang kau sayang? Special boyfriend?”

“Pernah ada. Kenapa?” Seboleh mungkin Adelin menyembunyikan agar tidak cepat melatah. Tidak mahu mengungkap kisah lama. Terlalu peribadi untuk dikongsikan.

“Tak adalah kayu sangat kau ni kan. Ada jugak orang minat kau,” Adelin mencubit pinggang Fariz kuat. Ada sahaja benda yang lelaki itu ingin mengusiknya.

“Ingat awak seorang ada orang minat? Saya pun adalah. Tapi, nak buat macam mana. Saya ni isteri mithali, kononnya. Tak bolehlah nak ada affair belakang suami. Berdosa besar,” balas Adelin sambil mengetuk dahi Fariz dengan sudu ais krim.

“Oh, kalau aku bagi chance… kau nak try la?”

“Boleh jugak. Setidaknya, taklah bosan hidup saya yang keseorangan ni,” Fariz meluku kepada Adelin sampai terjerit gadis itu.

Cepat-cepat Fariz menekup mulut Adelin. Haru kalau Encik Thohier dan Puan Aida di bilik bawah terdengar. Kalau fikir yang positif tak apa jugak. Buatnya fikiran negatif yang keluar? Nauzubillah. Elok-elok dia orang tak ungkit pasal cucu, diungkit pula nanti.

“Apa awak ni? Sakitlah,” omel Adelin sambil mengusap kepalanya.

Sorrylah. Aku main-main aje. Kau tu yang jerit tak ingat dunia. Buatnya ibu dan baba dengar, haru kita. Mana tahu, esok dia orang minta zuriat kita,” Sekali lagi Adelin mencubit pinggang Fariz.

Kali ini Fariz pula yang menjerit. Sabar sajalah perangai tak cukup umur budak berdua ni. Sekarang ini, bolehlah gaduh-gaduh manja. Suatu hari nanti apabila kebenaran sudah terungkap, boleh berperang dunia entah ke berapa pula. Adelin pasti tidak mampu untuk menerima perbuatan Fariz yang lalu. Mustahil untuk seorang isteri setia seperti Adelin Annisa.

Di mulut memanglah boleh menipu. Tapi, soal hati mana boleh main-main. Sekali hati terpaut, susah untuk membuangnya. Isteri mana yang tidak sayangkan suaminya? Jarang ada isteri yang hanya menerima suaminya acuh tak acuh. Cuma, suami saja yang tidak memahami hati isteri.

*****

“Alhamdulillah, bang. Mutia dah balik. Lega hati Zana sebab dia sudi jumpa kita,” kata Puan Sri Zana. Air teh dihidangkan kepada suaminya.

“Syukur. Terkejut jugak abang masa dia datang pejabat minggu lepas. Awak bukan tak tahu macam mana Mutia marahkan kita dulu. Entahkan marah lagi atau tidak,” balas Tan Sri Lutfi.

“Insha Allah, bang. Zana tengok Mutia semakin cantik. Siap bertudung lagi. Sejuk hati Zana. Bukan macam staf seksi abang tu. Memang patut pun Fariz bermusuh dengan dia,” Tan Sri Lutfi yang sedang meneguk air, tersedak.

“Ish, awak ni Zana. Agak-agaklah nak mengata pun. Boleh jadi fitnah tahu. Adelin tu bukannya seksi. Dia cuma tak pakai tudung aje. Pakaian dia tak ada jarang ke terbelah sana sini,” Puan Sri Zana menjeling suaminya.

“Belalah ‘anak emas’ abang tu. Tak naklah bermenantukan dia. Keluarga kita menitip beratkan soal aurat tahu tak, abang. Sedara saya takkan setuju perempuan macam tu jadi menantu kita,” Sinis sekali kata-kata Puan Sri Zana.

“Tak semestinya yang tak tutup aurat tu, tak baik. Dan, yang menutup aurat tu baik. Kita tak boleh nak menilai seseorang sesuka hati, Zana. Bukan hak kita. Doa kita yang boleh menyedarkan mereka…”

“Alah, abang tu. Cuba kalau saya mengata perempuan lain, mesti abang tak bela sampai macam ni. Bukannya saya tak tahu yang abang tu nak sangat Adelin jadi menantu kita. Sebab Adelin pandai berniaga kan,” tebak Puan Sri Zana.

Tan Sri Lutfi menghela nafas kasar. Inilah perempuan, selalu sangat ‘jump in conclusion’.

“Awak tahu tak yang Adelin tu kaum sejenis dengan awak. Awak mengata dia seumpama awak memperlekehkan diri awak sendiri. Awak bercakap sebab awak tak tahu apa yang berlaku kat luar sana tu. Biar abang beritahu awak satu kenyataan ni. Kalau awak nak tahu, anak kesayangan awak tu, Fariz Ian selalu singgah pejabat. Awak tahu kenapa kaki dia yang jarang-jarang jejak lantai office tiba-tiba datang office?”

Laju Puan Sri Zana menggeleng. Manalah dia tahu. Setahunya, Fariz tak berminat langsung dengan dunia perniagaan.

“Dia datang cari Adelin, orang yang awak dok kutuk tu. Bukan Adelin yang cari dia, tapi Fariz, anak awak. Orang-orang abang pulak report pada abang, Fariz selalu bawa Adelin keluar. Awak rasa mereka tu musuh ke?”

Nyata Puan Sri Zana sukar ingin mempercayai kenyataan itu. Tidak mungkin Fariz akan menyukai Adelin sedangkan seringkali soal Adelin dibangkitkan, anak terunanya itu pasti menarik muka meluat. Mustahil!

“Tak mungkin, abang. Fariz sendiri mengaku, dia tak sukakan Adelin dari hari pertama mereka bertembung lagi. Abang sendiri tahu kan, Fariz masih sayangkan Pearl. Tak semudah tu Fariz boleh lupakan semua yang berlaku lima tahun lepas,” Air mata Puan Sri Zana merembes ke pipi.

“Pearl dah lama mati, Zana. Itu hakikat bukan khayalan. Tak mustahil Fariz nak cari pengganti. Umur dia bukan muda lagi. Sepatutnya, dah tiga orang anak dia sekarang ni. Adelin bukanlah seteruk yang awak sangka. Dia datang dari keluarga baik-baik. Ayah dia bekas ketua polis,” Tan Sri Lutfi perlu menyedarkan isterinya. Puan Sri Zana terdiam.

Padanya, Adelin seorang gadis yang baik. Dia hanya kurang kesedaran tentang aurat sahaja. Semoga gadis itu dikurniakan hidayah untuk berubah. Tan Sri Lutfi tahu aurat seseorang wanita itu bukan boleh diambil mudah. Seurat rambut pun tidak boleh diperlihatkan untuk tontonan bukan muhrim. Inikan pula satu kepala.

“Kalau abang nak sangat bermenantu, orang itu adalah Mutia. Jasa keluarga dia terlalu besar untuk kita balas. Dan, tak akan pernah terbalas. Sekurang-kurangnya, dengan membela nasib anak yatim piatu seperti Mutia… dapat melegakan hati kita,” Puan Sri Zana masih tidak mahu mengalah.

“Ikut suka awaklah, Zana. Abang cuma nak ingatkan satu perkara aje. Yang nak kahwin tu, Fariz. Bukannya kita. Tanggungjawab kita adalah memerhatikan saja,” ujar Tan Sri Lutfi sebelum berlalu ke bilik bacaannya.

Puan Sri Zana mengeluh. Dia sememangnya sudah jatuh sayang kepada Mutia. Gadis itu lebih layak jika nak dibandingkan dengan Adelin. Budi baik keluarga Mutia kepada mereka terlalu banyak. Tanpa arwah Fauzi, mereka tidak akan senang macam hari ini. Mungkin, suaminya masih lagi melakukan kerja-kerja haram itu.

*****

Ramai pula pengunjung di restoran mewah yang terletak di hujung bandar malam ini. Sengaja Fariz dan Adelin memilih restoran itu untuk meraikan hari ulang tahun perkahwinan Encik Thohier dan Puan Aida yang ke dua puluh lapan tahun. Fariz punya kerjalah tu. Adelin pula dikerahkan untuk memujuk keduanya.

Fariz terlebih dahulu menempah meja. Dia lebih senang memilih meja yang agak jauh dari suasana sibuk itu. Mereka berempat beriringan ke meja yang ditempah Fariz. Gazebo yang dihias ala-ala romantic night. Dengan cahaya yang suram daripada lilin di sekeliling gazebo. Kelopak bunga ros bertaburan. Kelas juga taste Fariz.

“Mesti keluar banyak duit ni, Fariz,” teka Puan Aida. Rasa teruja masih memenuhi hatinya.

Mana tidaknya, belum pernahlah dia meraikan ulang tahun perkahwinan di tempat mahal begini. Siap ada bunga ros dan lilin lagi. Untung sungguh Adelin mendapat romantik seperti Fariz. Boleh pengsan kalau hari-hari ada kejutan sebegini. Encik Thohier juga tidak berkata apa-apa. Dia sendiri terpesona.

“Tak banyaklah, ibu. Semua ni special untuk baba dan ibu. Sebagai ucapan terima kasih dari Fariz sebab memahami dan menerima Fariz seadanya,” Fariz tersenyum lebar.

So romantic. Kalau saya yang buat, confirm kena bebel,” Puan Aida menjegilkan matanya. Adelin menayangkan sengih.

“Alolo. Kalau Adel yang buat, baba dan ibu terima aje. Tak pasal kami kena bebel balik,” celah Encik Thohier.

“Adelin punya bebel boleh tahan jugak, ba. Boleh berdesing telinga ni,” sokong Fariz.

“Amboi, perli ya. Dah lama tak kena tumbuk kot kan. Itu yang cari pasal. Saya membebel ada sebab tahu,” Encik Thohier dan Puan Aida tergelak. Macam-macam perangai anak dan menantu mereka ni. Ada sahaja benda yang nak dijadikan alat untuk bergaduh.

“Dah lama rasanya. Teringin pulak,” Pantas sahaja Adelin mencubit paha Fariz. Peduli apa dia dengan baba dan ibu.

“Sakitlah,” aduh Fariz.

“Sakit? Padan muka,” Entah macam mana, laju Fariz laju mencubit pipi Adelin selamba.

Dup dap! Dup dap! Dup dap!

Adelin cuba mengawal emosinya. Terlebih mesra pula mereka malam ini. Fariz ni pun. Agak-agaklah nak bermesra bagai. Malulah aku. Baba dan ibu tengok pula tu, omel Adelin sendiri. Fariz pula menyembunyikan debarannya dengan membantu Puan Aida mencobek lobster. Ah, malunya! Entah apalah sangkaan Adelin.

“Awak pergi ambil sudu. Tak cukuplah,” suruh Adelin. Berdegup macam mana kuat pun jantung mereka, highlight surprise untuk malam ini harus diteruskan juga.

“Yalah,” Fariz seperti mengerti maksud suruhan Adelin itu. Berdesup dia menghilang ke dalam restoran.

Encik Thohier dan Puan Aida kusyuk menyantap makanan yang dipesan oleh Fariz. Bukan main banyak lagi hah.

“Cik, kek saya dah ready?” soal Fariz di kaunter.

“Dah. Nak kami hantar sekarang ke?”

“Ya. Ikut pintu belakang ya. Kat depan tu ramai orang,” Pekerja restoran itu mengangguk. Dia mendapatkan kek yang sudah disediakan oleh pelanggan mereka petang tadi.

Fariz siap dengan camera. Saat-saat ini harus dirakam agar boleh dikenang. Pernah dia membayangkan majlis seperti ini diadakan dengan isteri dan anak-anaknya. Tapi, segalanya masih belum tertunai. Hubungannya dengan Adelin tidaklah terlalu rapat untuk mereka mendapatkan anak.


Betapa terharunya Encik Thohier dan Puan Aida ketika Fariz hadir bersama kek. Adelin turut menyertai Fariz menyanyikan lagu hari lahir. Punyalah terharu, Puan Aida menangis sakan. Lucu pula Adelin melihat ibunya. Sebelum ini, ada juga dia buat surprise seperti ini… tidak pula menangis. Tetapi, mungkin kali ini berbeza kerana menantu dia yang merancang segalanya.

to be continued...


Fariz Ian


Adelin Annisa


p/s : yeay, siap sudah part 4. sorrylah CIA lambat. terlalu banyak godaan. hehe. godaan adik-adik plus segala movie and drama yang dibawa pulang. tak tidur malam nak habiskan semua. hehe. terima kasih tau sebab sudi nak tunggu. still panas lagi sebab baru siap. so, macam biasalah. no double check. segala kesilapan harap dimaafkan. :D. SELAMAT MEMBACA!

5 comments: