Bik Hus dan Mak Cik Fauziah rancak berbual di dapur
sambil memasak. Puas Darwisya memujuk ibu tiri Rifqi agar bermalam di sini
sahaja. Nasib baiklah Mak Cik Fauziah bersetuju. Kalau tidak, pasti Darwisya
tidak senang duduk. Rifqi pula sehingga ke malam tidak menunjukkan muka.
Pelik juga Darwisya. Selalunya, Rifqi akan pulang.
Jarang lelaki itu bermalam di luar melainkan dia outstation. Ingin menelefon, Darwisya tiada nombor telefon lelaki
itu. Malah, Bik Hus ada juga menghubungi Rifqi. Namun, panggilan itu tidak
berjawab.
Darwisya yang menemani Athirah di ruang tamu kedua mencapai
telefon bimbitnya di meja kopi. Dia mendail nombor telefon Datuk Adnan. Mungkin
papanya tahu sesuatu.
“Hello,
pa. Papa busy ke?”
“Tak adalah. Papa ada kat rumah ni. Kenapa Awisy call papa?”
“Emmm, macam ni, papa. Dari semalam lagi, Rifqi tak
balik. Papa tahu tak dia pergi mana? I
mean, ada kerja luar ke?”
Sekarang ini, Rifqi memang sibuk dengan urusan kerjasama
dengan syarikat Datuk Adnan. Jadi, Darwisya sekadar mencuba nasib. Mungkin,
Datuk Adnan ada menghantar Rifqi kerja di luar kawasan.
“Eh, tak ada pulak papa hantar dia pergi urusan
luar. Awisy dah call dia?” tanya
Datuk Adnan.
“Bik Hus dah call banyak kali. Tapi, tak dijawab. Awisy
ingat papa tahu,” Darwisya mula tidak sedap hati.
“Tak apa. Nanti papa call Awisy balik. Biar papa minta tolong pembantu papa. Awisy
jangan risau sangat. Jangan bagitahu sesiapa dulu pasal ni,” Lega sedikit hati
Darwisya dengan ujaran papanya.
“Baiklah, pa. Terima kasih, papa. Sampaikan salam
Awisy pada mama,” Talian dimatikan.
Darwisya mengeluh kecil. Tidak sangka, dia akan
risaukan Rifqi. Suami yang baginya hanya sekadar di atas kertas. Tambahan pula,
lelaki itu tidak pernah melayannya dengan baik. Balik sahaja dari kerja, ada
sahaja benda yang hendak diherdiknya.
Rumah bersepahlah. Tak masaklah. Macamlah Darwisya
tak tahu. Semua itu sekadar mahu menyakiti hatinya sahaja. Jika Darwisya tidak
tahan, pasti dia akan meminta cerai. Mudahlah kerja Rifqi ingin berhadapan
dengan Datuk Adnan. Walaupun Datuk Adnan banyak membantunya dalam perniagaan,
dia tidak akan menyerah sewenang-wenangnya.
Telefon rumah yang berdering mengganggu lamunannya.
Pandangan Athirah turut menghala ke arah almari sederhana tinggi yang
terletaknya telefon. Darwisya melangkah laju. Takut pula, orang yang menelefon
menunggu lama.
“Hello,
assalamualaikum. Boleh bercakap dengan Puan Amni?”
“Saya bercakap. Ada apa, encik?”
Athirah tersentak tatkala melihat tubuh langsing
kakak iparnya sudah terbaring di sisi almari. Dia berlari memangku kepala
Darwisya sambil menjerit memanggil Mak Cik Fauziah. Tangan kecil menepuk-nepuk
lembut pipi mulus Darwisya.
*****
Darwisya terduduk di tepi tebing yang curam,
ditambah pula dengan kegelapan malam. Suasana agak bising ketika ini. Air mata
yang mengalir tiada tanda-tanda akan berhenti. Hatinya walang. Terasa kosong
jiwanya saat menerima berita mengenai Rifqi.
“Saya harap puan bertenang. Kami temui kereta suami
puan di bawah gaung. Kami percaya kereta terbabas dan terjatuh ke dalam gaung…”
Mak Cik Fauziah mengusap belakang menantunya. Dia
sendiri sudah tersedu sedan. Niat ingin bertemu dengan Rifqi tidak kesampaian. Berita
yang diterimanya terlalu sukar untuk dimamah. Kebenaran yang harus diberitahu
kepada anak tirinya kini terkubur.
“Sabar, Amni. Banyakkan beristighfar,” Mak Cik
Fauziah menenangkan Darwisya yang tenggelam dalam tangisannya.
“Mak, bukan ni yang Amni nak,” rintih Darwisya
sambil tersedu.
“Iya, nak. Semua orang tak nak benda ni jadi. Kita
kena redha,” Athirah di sisi Mak Cik Fauziah turut menangis.
Datin Emma menerpa ke arah anak perempuannya. Dipeluk
Darwisya erat. Datuk Adnan pula menghampiri seorang polis yang berdiri tidak
jauh dari tebing. Dia perlukan penjelasan lanjut dari pihak yang terlibat. Bukan
main terkejut lagi tatkala menerima panggilan daripada pembantunya sebentar
tadi.
*****
“Minum air ni, Awisy,” Datin Emma menghulurkan
sebotol air mineral kepada Darwisya.
Wajah Darwisya lesu dan lemah. Berita sahih tentang
Rifqi dan Yusra masih belum diketahui mereka.
“Dah lama akak sampai sini?” Dalam keadaan lesu,
Darwisya masih mampu memperkenalkan Mak Cik Fauziah kepada kedua ibu bapanya.
“Tengah hari semalam. Niat akak naklah bertemu
dengan Rifqi. Tapi…”
Mak Cik Fauziah menyapu air mata yang jatuh ke
pipi. Walaupun dulu dia bencikan Rifqi, namun kini, kasih sayangnya pada Rifqi
sama seperti kasihnya kepada Athirah. Kemalangan yang berlaku kepada Rifqi
memberikan kesan hebat kepadanya.
“Kita banyaklah bersabar, kak. Insha Allah, Rifqi
tak apa-apa. Kita sama-sama doakan kesejahteraan mereka,” Datin Emma berkata
tenang.
Jauh di sudut hatinya memang tidak menyukai Rifqi.
Tetapi, Rifqi masih menantunya yang sah. Suami kepada anak perempuan
kesayangannya. Darwisya sendiri mampu menerima kehadiran Rifqi, apatah lagi
dia.
“Awisy, papa nak Awisy tenang. Polis dah cuba
sebaik mungkin, tapi mayat Rifqi dan kekasih dia masih tak dapat dijumpai. Hari
pun dah jauh malam. Esok pagi, pencarian akan diteruskan lagi. Awisy dan
lain-lain bolehlah balik dulu. Kita tunggu berita dari pihak polis,” Sedaya
mungkin dia menyampaikan berita itu kepada Darwisya dan Mak Cik Fauziah.
Mak Cik Fauziah tertunduk. Berat sungguh berita itu
untuknya.
“Awisy nak tunggu sini,” kata Darwisya sayu.
Datuk Adnan dan Datin Emma saling berpandangan.
Sakit hati mereka melihat keadaan satu-satunya anak perempuan mereka ketika
ini. Wajah itu sangat pucat, tidak bermaya. Timbul kepelikan di hati mereka.
Setahu mereka, Darwisya dan Rifqi bukanlah pasangan yang bahagia.
Kenapa Darwisya terlalu emosi tentang berita buruk
ini? Atau, ianya semata-mata kerana Rifqi adalah suaminya. Jadi, perasaan itu
hadir secara automatik. Tuan punya badan sendiri sangsi akan kesedihannya.
Darwisya sendiri tidak mengerti mengapa dia perlu bersedih begini.
*****
Setelah sebulan proses pencarian Rifqi dan Yusra, polis
menyatakan jasad keduanya ‘missing in
action’; MIA. Lokasi pencarian yang luas juga tidak membawa mereka kepada
penemuan mangsa-mangsa yang hilang. Macam-macam spekulasi yang hadir dek
kemalangan itu.
Tiada siapa yang mengetahui di manakah Rifqi dan
Yusra. Hanya kereta Naza Italia sahaja yang ditinggalkan. Datuk Adnan sendiri
mengerahkan orang-orangnya untuk mencari, namun keputusannya masih sama. Tidak
jumpa!
“Amni, mak ingat mak nak balik kampung,” Darwisya
memandang Mak Cik Fauziah yang duduk bersimpuh di tepi kolam renang di sayap
kiri banglo milik Rifqi.
“Mak dah putus asa?”
“Mak tak pernah putus asa, Amni. Mak masih berharap
Rifqi kembali. Cuma, mak tak mahu menyusahkan Amni. Lagipun, dah lama mak
tinggalkan kampung,” jelas Mak Cik Fauziah.
“Tapi, Amni nak mak ada dengan Amni kat sini.
Sekurang-kurangnya, mak dengan Athirah ada temankan Amni. Amni tak sanggup nak
tinggalkan rumah ni,” tutur Darwisya penuh pengharapan.
Dia nekad untuk menanti kepulangan Rifqi walauapapun
yang berlaku. Sama ada, kepulangan itu adalah jasad yang masih dengan rohnya.
Atau, sebaliknya. Sudah acap kali, Datuk Adnan dan Datin Emma memintanya agar
pulang ke rumah mereka. Namun, dia menolak baik. Selagi Rifqi masih belum
ditemui, dia tetap akan berada di banglo ini.
“Dah seminggu Athirah tak pergi sekolah. Tadi,
cikgu sekolah dia ada telefon mak. Mak dah janji minggu depan Athirah dah boleh
masuk sekolah balik,” Darwisya melepaskan keluhan kecil.
Jika Mak Cik Fauziah dan Athirah pulang ke kampung,
keseoranganlah dia di sini. Bik Hus hanya akan datang pada hujung minggu
sahaja. Otaknya diperah memikirkan jalan keluar. Pasti ada jalan agar Mak Cik
Fauziah dan Athirah terus menetap di sini. Paling tidak pun, sehingga Rifqi
ditemui.
“Apa kata Amni tukarkan sekolah Athirah? Kebetulan,
kat hujung taman sana ada sekolah rendah. Senanglah Athirah nak ke sekolah. Ada
bas yang akan ambil. Tak pun, Amni sendiri yang pergi hantar,”
Bersungguh-sungguh Darwisya memujuk ibu mertuanya.
“Mak, orang nak duduk sinilah. Rumah abang best. Ada kolam, boleh main. Orang nak
tunggu abang,” sampuk Athirah sambil mengelap badannya dengan tuala.
Darwisya menghampiri Athirah. Dia membantu Athirah
mengelap tubuh kecilnya basah dek berenang di kolam renang. Mak Cik Fauziah tak
terkata apa-apa. Dia berfikir sejenak. Pasti orang-orang kampung tertanya-tanya
akannya yang sudah lama berada di Kuala Lumpur. Rumahnya juga pasti sudah
serabut. Tidak pula dia menitipkan pesan kepada jiran-jirannya untuk menjaga
rumahnya.
“Hujung minggu ni, Amni bawa mak balik kampung. Boleh
mak kemaskan rumah mak. Boleh ambil baju lebih sikit. Baju sekolah Athirah?”
“Baiklah. Mak harap mak dan Athirah tak susahkan
Amni…”
“Mak jangan risaulah. Mak Rifqi, mak saya jugak,”
Mak Cik Fauziah tersenyum.
Untung dia mendapat menantu seperti Darwisya. Namun,
tidak pula dia tahu bagaimana Rifqi boleh mengahwini Darwisya. Tak pernah
terlintas di benaknya ingin bertanyakan hal itu kepada Darwisya. Dia tidak mahu
digelar penyibuk.
*****
Datuk Adnan memarkirkan kereta di sebuah premis sepuluh
tingkat. Langkah di bawa ke tingkat empat. Sekali sekala, dia akan membuat
lawatan ke syarikat milik Rifqi. Sekadar ingin membantu mengendalikan syarikat
itu sepanjang ketiadaan usahawan muda.
“Selamat pagi, Datuk,” ucap setiausaha Rifqi.
“Selamat pagi. Kila, saya nak jumpa dengan pengurus
operasi. Tolong panggilkan untuk saya,” suruh Datuk Adnan sebelum berlalu ke
dalam bilik pejabat.
“Baiklah, Datuk,” Pantas dia menekan nombor yang
disambung ke bilik pengurus operasi syarikat.
Beberapa minit kemudian, Ruslan, pengurus operasi tiba
di pejabat yang Datuk Adnan berada.
“Ada apa Datuk nak jumpa saya?” tanya Ruslan.
“Saya dah baca laporan yang awak hantar. Overall, saya puas hati. Cuma, satu
benda yang saya musykil. Kenapa bos awak tak masukkan nama-nama syarikat yang
terlibat sama dalam projek pembinaan taman tu?”
“Kalau tentang tu, saya sendiri tak tahu. Tuan
Rifqi langsung tak sentuh pasal tu. Ada jugak pelabur yang tanya, tapi itulah.
Hanya Tuan Rifqi yang tahu kenapa dia buat macam tu,” Ruslan membalas sambil
matanya memandang tepat Datuk Adnan.
Adakalanya, dia musykil dengan sikap ambil berat
bapa mertuanya bosnya itu. Setahunya, Datuk Adnan dan Rifqi seteru. Sejak
mereka ada projek bersama, kerap kali Rifqi bengang dengan cara kerja mereka
yang berlainan. Datuk Adnan lebih menumpukan kepada projek-projek perumahan.
Sedangkan, Rifqi pula banyak mengambil projek landskap taman, pusat rekreasi
dan juga rumah-rumah kebajikan.
“Emmm, tak apalah. Tujuan sebenar saya panggil awak
sebab saya nak serahkan fail ni. Awak boleh teliti dulu isinya dengan para
pekerja lain. Projek besar yang memakan billion ringgit. Bukan senang nak dapat
projek ni. Jadi, awak dan yang lain fikirlah sebaiknya,” ujar Datuk Adnan.
“Tapi, setiap projek kan memerlukan persetujuan
pemilik syarikat, Datuk?”
“Itu awak jangan risau. Awak boleh minta
persetujuan dari orang kanan Rifqi. Lebih tepat lagi, pemangku pengarah yang
dilantik. Projek kali ni bukan projek perumahan yang selalu saya syorkan…”
“Maksud, Datuk?”
“Hotel Trendy. Tawaran daripada salah seorang ahli
perniagaan terkenal di Brunei. Konsep hotel islamik yang Rifqi idamkan,” Ruslan
tersentak.
Datuk Adnan tersenyum. Dia faham riak wajah Ruslan
yang nyata terkejut itu. Secara kebetulan, dia ternampak model kayu yang
dihasilkan oleh Rifqi. Hotel yang berkonsepkan islamik. Model kayu itu menarik
perhatiannya untuk melihat sendiri pembangunan hotel itu secara realiti. Dia
kagum dengan daya kreativiti menantunya itu.
*****
Hujan lebat yang turun sedikit banyak memberi
peluang kepada Darwisya untuk meluahkan segala kesedihan hatinya. Segala
kenangan bersama Rifqi terlayar dia mindanya. Bukanlah kenangan yang indah,
namun cukup untuk Darwisya tahu bahawa hatinya mula terpaut pada perwatakan
garang Rifqi.
“Ambil makanan ni. Hidangkan kejap lagi. Aku
lapar,” Plastik berisi bungkusan makanan dihulurkan kepada Darwisya di ruang
tamu.
“Dah lapar, makan sekaranglah. Kejap aje nak
hidangkan ni,” balas Darwisya tanpa memandang Rifqi.
“Kau nak aku makan dengan badan aku yang melekit
ni? Bukan setakat aku tak lalu nak makan, sekali dengan kau tak ada selera,” Tajam
mata Rifqi merenung wajah lembut isterinya.
Darwisya buat muka bosan. Asyik-asyik, kena marah. Dia
tak buat salah pun kena marah. Badan saja kurus kering, tapi mulut lancang. Ada
saja yang tak kena. Waktu Bik Hus ada, tak pula Rifqi naik angin. Hanya jelling
tajam gitu saja.
“Apa-apalah. Pergilah naik mandi, kang sejuk pulak
makanan ni…”
“Macamlah tak ada dapur nak panaskan. Aku beli
dapur tu bukan suruh buat perhiasan. Nak bakar muka orang pun boleh,” bebel
Rifqi sambil menapak anak tangga.
“Tak padan dengan kurus kering, makan banyak. Tapi,
tak naik jugak badan tu. Bukannya reti nak pergi gym ke. Biar tough sikit. Tak adalah melayang kalau angin sepak,”
Kini, Darwisya pula yang membebel sambil berlalu ke dapur.
Rifqi menjengulkan kepala. Gym? Dia nak aku bina badan ke? Argh, lantaklah. Nak ikut cakap dia
buat apa. Sekurus aku ni, tak pernah lagilah kena sepak angin. Ngok ngek punya
bini.
Lima belas minit kemudian, Rifqi muncul di meja
makan. Nasib baik dah terhidang makanan dan minuman. Kalau tak, dipiatnya
telinga si Darwisya tu. Darwisya muncul dengan bekas nasi. Dia menyendukkan
nasi ke dalam ke pinggan Rifqi. Tak pasal kena herdik pula jika lelaki itu
sendiri yang mencedok nasi.
“Macam ni baru isteri solehah,” Rifqi siap duduk di
kerusi. Dia mencuci tangan sebelum menadah tangan, membaca doa.
Darwisya melabuhkan punggung di sebelah kanan
Rifqi. Tiada niat untuk makan bersama. Sekadar ingin menemani suaminya sahaja.
“Belum cukup solehah lagi. Sebelum terlupa, esok
saya nak pergi pasaraya. Barang dapur dah habis,” maklum Darwisya.
“Ikut suka kaulah. Asalkan kau tak keluar dengan
jantan-jantan, bekas kau dulu,” Darwisya sentap.
Dihela nafas lembut.
“Perkara lepas, tak payahlah ungkit. Saya tahu apa
yang pernah saya buat. Esok saya pergi dengan Bik Hus. Saya naik dulu. Dah
habis makan, tinggal aje. Nanti saya kemaskan,” Rifqi hanya mengangkat kening.
Sakit hati Darwisya, kisah lalu diungkit tanpa rasa
bersalah. Dia sangat faham maksud sebenar kata-kata Rifqi. Jika ikutkan hatinya
yang panas, ingin sahaja dia mengungkit hubungan suaminya dengan Yusra. Sosial
dia pun tak pernah pula membawa lelaki masuk bilik.
Guruh berdentum menyedarkan Darwisya dari
lamunannya. Air mata yang mengalir disekanya. Bingkai gambar Rifqi di meja sisi
diambil. Rifqi segak dengan pakaian formal. Gambar itu dicurinya ketika
mengemas bilik bacaan. Ketika itu, muka itu tak adalah serabut sangat. Namun,
Darwisya tetap tidak boleh meneka jika wajah itu tiada jambang dan juga misai.
“Ya Allah, aku sangat merinduinya. Kau temukanlah
suamiku. Aku masih belum puas hidup bersamanya. Aku gagal menjadi seorang
isteri yang baik untuknya. Jika dia masih hidup, Kau bawalah dia ke jalan-Mu
dan kembalikanlah dia kepada kami. Dan, jika sebaliknya, Kau ampunilah dia, Ya
Allah,” Doa Darwisya, tulus.
*****
“Minum sikit, nak,” Gelas air putih disuakan ke
mulut seorang gadis yang terlantar di katil.
Rakus sekali gadis itu meneguk. Sehingga kosong
gelas itu. Tersenyum Puan Bariah dengan perubahan gadis yang dibawa pulang oleh
suaminya, Encik Johar sebulan yang lalu. Hampir sahaja mereka suami isteri
berputus asa kerana tiada tanda-tanda gadis itu akan sedar. Sehinggalah
beberapa jam yang lepas, gadis itu mula mencelikkan mata.
“Saya kat… ma… mana?”
“Auni jangan risau. Ibu ada ni,” kata Puan Bariah
sambil mengusap lembut kepala gadis itu.
“Tapi…”
“Syhhh, Auni tak sihat lagi ni. Rehat dulu. Nanti
ibu ceritakan,” Gadis itu akur. Sekejap sahaja, dia sudah lena.
“Macam mana, Yah?” soal Encik Johar di pintu bilik.
“Alhamdulillah, bang. Dah boleh bercakap. Saya
suruh dia rehat dulu. Naqib mana?”
“Naqib ada dengan along kat bawah,” beritahu Encik
Johar.
“Jomlah kita. Biarlah dia rehat dulu. Yah nak masakkan
bubur untuk dia sekejap…”
“Iyalah,” Encik Johar dan Puan Bariah beriringan ke
dapur.
*****
Kasyfi membantu Naqib duduk di pangkin. Luka di
kaki lelaki itu masih belum sembuh sepenuhnya. Jika tak dijaga dengan baik,
boleh bernanah. Mahunya lambat Naqib boleh berjalan dengan sempurna.
“Along nak tanya Qib sikit boleh?”
“Tanyalah, along. No harm,” Kasyfi senyum sedikit.
“Qib dengan Auni, suami isteri ke?”
Naqib terkejut dengan soalan Kasyfi. Namun,
cepat-cepat dia sembunyikan riak terkejutnya.
“Bukan. Kami kawan baik. Qib pernah cerita pasal
kami kan? Itulah yang berlaku,” Kasyfi mengangguk sedikit.
“Along risau Auni tak boleh terima bila dia dapat
tahu keadaan diri dia. Orang perempuan ni amat pentingkan penampilan diri dan
wajah mereka. Qib dah sedia nak hadapi penerimaan Auni?”
“Insha Allah, along. Lambat laun, dia akan tahu
jugak. Buat sementara ni, biarlah Auni betul-betul stabil dulu,” balas Naqib.
Bukan sesuatu yang mudah untuk menjelaskan perkara
buruk. Namun, lebih baik bersikap jujur daripada terus menipu. Pasti segalanya
akan menjadi mudah. Merahsiakan sesuatu perkara boleh menghilangkan kepercayaan
seseorang. Naqib tidak mahu Auni salah faham akannnya.
*****
Datin Emma mengukir senyuman paling manis kepada
Darwisya. Bagaikan baru semalam dia melahirkan puterinya ini. Kini, puterinya
itu sudah besar panjang. Sepanjang dua puluh lima tahun membesarkan Darwisya,
saat inilah yang paling membahagiakannya.
Melihat wajah ceria itu, mampu menghiburkan
dirinya. Walaupun tanpa suami di sisi, anak perempuannya masih tersenyum manis
saat menerima berita gembira mengenai dirinya yang sedang mengandungkan anak
Rifqi. Sangkanya, Darwisya hanya demam biasa sahaja. Rupanya, demam nak dapat baby.
“Tengoklah menantu akak ni. Asyik senyum aje dari
tadi,” kata Datin Emma.
“Orang tengah bahagia, Emma. Harapnya bayi ni boleh
bawa tuah dalam keluarga kita ni. Allah jauhkan bapa, tapi Dia hadirkan anak
untuk kita. Indah sungguh percaturan-Nya,” balas Mak Cik Fauziah.
Dia turut tumpang bahagia. Begitulah perasaannya
ketika dia diberitahu tentang kehamilannya setelah berbelas tahun menunggu. Hadir
Athirah sebagai peneman. Syukur pada Allah.
“Syukur, Alhamdulillah. Awisy kena dengar cakap
mak, Bik Hus, mama dan papa. Kandungan Awisy masih baru,” Darwisya mengulas
senyuman nipis.
Sebenarnya, jauh di sudut hatinya, dia mengharapkan
kehadiran Rifqi. Tetapi, siapalah dia untuk melawan takdir Allah. Dia kena
redha akan apa yang berlaku. Pasti ada hikmah disebalik kepahitan yang
ditelannya. Walau apapun yang berlaku, dia akan membesarkan anak mereka sebaik
mungkin.
“Terima kasih, mama, mak. Insha Allah,” Dipeluk
keduanya erat.
Setiap kali selesai solat, dia tidak pernah bosan
untuk berdoa kesejahteraan Rifqi dan juga Yusra. Semoga Allah memberi petunjuk
kepadanya. Dia cuba mengawal rindunya dengan berdoa. Harapnya, hatinya akan
sentiasa tenang dan bersabar. Insha Allah.
*****
Dua tahun kemudian
Kila mengetuk pintu bilik bosnya sebelum masuk ke
dalam bilik sederhana besar itu. Senyuman manis diberikan.
“Puan, ni report
kewangan. Puan Latifah dah siapkan sekali dengan bulan ni,” maklum Kila.
“Terima kasih, Kila,” Darwisya meneliti fail di tangannya.
“Lagi satu, puan. Bulan depan, annual dinner syarikat. Jadi, saya nak dapatkan persetujuan puan dan
juga kehadiran puan. Ni, usul annual
dinner,” Fail berwarna biru diberikan kepada Darwisya.
“Cepatnya. Komited sungguh kamu semua ni. Lagi dua
hari saya confirmkan kehadiran saya. Jangan
lupa inform saya balik. Takut terlupa,”
Kila tergelak.
“Iyalah. Saya keluar dulu, puan,” Darwisya hanya
mengangguk. Kila membawa langkah ke mejanya.
Darwisya membaca kertas kerja makan malam tahunan
syarikat. Laporan kewangan tadi diletak ke tepi.
“Annual
dinner? Nice,” Dia tersenyum sendiri.
Matanya jatuh pada bingkai gambar yang tergantung
elok di dinding. Seperti Rifqi memandangnya sambil tersenyum. Alangkah indahnya
jika dia masih berpeluang melihat senyuman itu secara nyata. Seketika kemudian,
Darwisya beristighfar panjang.
*****
“Awak, saya laparlah. Jom pergi makan,” Naqib
mengangkat wajahnya.
Sepasang mata yang bersinar itu memandangnya. Hatinya
berdetak laju. Oh, hati. Berapa kali kau nak jatuh? Untung sahaja bukan pada
perempuan lain.
“Okey. Sekejap. Awak masuklah dulu,” Auni melangkah
ke dalam bilik Naqib. Dilabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Naqib.
“Kena hantar bila ni?”
“Esok. Tapi, dah hampir siap. Nak touch up sikit aje lagi. Awak dah lapar
sangat ke?” Naqib bersoal kembali sambil tangannya laju menekan keyboard.
“Taklah lapar sangat. Cuma, saja nak bermanja
dengan awak,” Naqib ketawa kecil.
Auni tersenyum. Kacak sungguh apabila Naqib ketawa.
Wajah putih itu bersih daripada noda. Pernah sekali, kanak-kanak di sebuah
rumah kebajikan memanggil lelaki itu, ustaz. Tapi, Naqib cepat sahaja
menghalang agar dirinya tidak digelar ustaz. Masih banyak kekurangan yang perlu
dia betulkan.
“Kat pejabat pun nak bermanja?”
“Alah, awak ni. Bukannya orang tak tahu kita suami
isteri. Tak kena tangkap basah punya,” seloroh Auni.
“Iyalah. Ikut suka awaklah. Asalkan awak bahagia,”
Naqib mengalah. Orang nak berkasih sayang, bukannya boleh dihalang.
“Tadi ibu call.
Dia tanya bila nak balik sana? Ayah pun dah rindu,” beritahu Auni.
Sejak mereka mendirikan rumah tangga setahun lepas,
Naqib lebih selesa tinggal berasingan dengan keluarga angkat mereka. Tambahan
pula, kini mereka sedang bekerja di sebuah syarikat milik sahabat baik Encik
Johar di bandar. Agak jauh juga jika mereka masih menetap di rumah Encik Johar
dan Puan Bariah.
“Insha Allah, hujung minggu ni saya free. Awak bagitahu ibu nanti kita
balik. Masak banyak-banyak sikit,” Auni mencebik.
“Demand
nampak. Awak tak suruh pun, ibu mesti masak banyak punyalah. Anak kesayangan
dia nak balik kan. Along lagilah, mahunya penuh satu peti ais tu dia isi,” Mereka
ketawa serentak.
Kasyfi memang sangat baik. Terlalu baik.
Sehinggakan Naqib dan Auni merasakan seperti mereka ditatang bagaikan minyak
yang penuh. Adakalanya, Kasyfi akan bertandang ke rumah mereka. Alasannya, dia
rindukan adik-adiknya. Dia yang merupakan anak tunggal sudah pasti seronok
tatkala hadir dua orang adik tersayangnya. Boleh juga dia menumpang kasih.
“Awak cakap pasal along, rindu pulak kat dia…”
Auni mengangguk mengiakan. Dia turut merindui
abangnya yang baik itu.
*****
Datuk Adnan dan Datin Emma bersantai di halaman
banglo Rifqi. Selalunya, petang begini, mereka akan singgah di banglo itu.
Walaupun Darwisya tidak keseorangan di situ, namun ada jiwa yang membawa mereka
ke situ. Muhammad Adib Rafki!
“Adib, meh sini kat atuk,” Datuk Adnan menggamit
cucu lelakinya.
Lambat-lambat anak kecil itu berjalan. Bersimpang
siur langkahnya. Sesekali dia ketawa sendiri. Seronok agaknya diagah atuk dan
tok manya.
“Lambat jugak dia nak bercakap ya, bang. Dah
setahun tiga bulan pun. Cepat sungguh masa berlalu,” kata Datin Emma bersahaja.
“Itulah. Masa sekarang ni memang cepat. Pejam
celik, pejam celik… dah dua tahun tak ada berita pasal Rifqi. Entahkan hidup
lagi ke tidak,” keluh Datuk Adnan sambil mengangkat tubuh kecil Adib.
“Kita doakan yang baik-baik sahaja…”
Darwisya menatang dulang, minum petang. Diletakkan
dulang di atas meja batu.
“Mak dengan Athirah mana, Awisy?”
“Mak ada kat atas, solat asar. Athirah, tengok tv.
Cerita favourite dia ada, apa lagi. Tercongok
ajelah depan tv,” balas Darwisya sambil menuangkan air ke dalam cawan.
“Tahun ni dia ada UPSR kan? Slumber aje dia,” celah Datuk Adnan. Adib masih di dalam
dukungannya.
“Ha’ah, papa. Tapi, mak kata Athirah ni turun
perangai Rifqi. Dia cepat tangkap apa yang cikgu ajar. Even, tak study banyak, still boleh jawab…”
“Baguslah macam tu. Tapi, Awisy kena pantau jugak.
Takut dia terlepas pandang. Lepas habis UPSR, dia nak sambung mana pulak?”
“Athirah ada tanya pendapat Awisy, papa, mama. Dia
ingat nak masuk sekolah Tahfiz. Teringin nak menghafal al-Quran,” Darwisya
berkata dengan senyuman manis.
Dia amat sokong permintaan Athirah. Syukur kerana
adik iparnya berminat nak mendalami agama Islam. Mak Cik Fauziah lagilah
bersetuju. Asalkan Athirah bersungguh-sungguh, dia tidak akan menghalang. Arwah
suaminya pernah mengusulkan perkara itu ketika Athirah masih kecil. Cuma, dia
sahaja yang tidak mengendahkan.
“Alhamdulillah, untung Fauziah ada anak yang bercita-cita
tinggi seperti Athirah…”
Darwisya mengerling mamanya.
“Oh, mama tak untunglah sebab Awisy tak masuk
sekolah tahfiz?” Darwisya serkap jarang.
“Tengok anak abang ni. Boleh dia pusing cakap
kita,” adu Datin Emma manja. Datuk Adnan ketawa kecil. Adib yang tidak tahu
apa-apa itu juga gelak. Comel!
“Adib pun gelakkan mama. Kan sayang, kan?”
Pantas sahaja Adib menghulurkan tangan untuk
didukung uminya itu. Anak manjalah katakan.
“Annual
dinner tu macam mana, Awisy? Papa dan mama confirm pergi. Alang-alang boleh papa jumpa kenalan baru…”
“Insha Allah, Awisy pergi. Tapi, Awisy kena bawa
Adib sekalilah. Mak dengan Athirah nak balik kampung kejap hari tu, ada kenduri
kahwin anak kawan mak,” Darwisya duduk di kerusi batu yang kosong.
“Balik naik apa?”
“Awisy mintak Pak Long Nan hantar. Lagipun, malam
tu nanti Arif dengan Nasya jemput. Tapi kan, papa, mama… macam nervouslah pulak,” Datuk Adnan dan Datin
Emma ketawa.
Buang tebiat si Darwisya ni. Sejak bila reti
gementar bagai ni entah. Sebelum ini, main rempuh saja segala jenis majlis
keramaian atau majlis formal. Dia kisah hapa.
“Dah kenapa nervous
pulak?”
“Iyalah. Awisy kan attend dinner sebab wakilkan
Rifqi. So, Awisy tak naklah dia orang
rasa lain sebab sebelum ni kan Rifqi yang handle semua tu,” jelas Darwisya.
Tangannya menyuap biskut cicah ke mulut comel anak lelakinya.
“Insha Allah, Allah permudahkan urusan. Papa dengar
dia orang nak rasmikan sekali rumah anak yatim Nadim kan?”
“Ha’ah, sekalilah tu…”
Darwisya pandang Adib di ribanya. Menurut Mak Cik
Fauziah, Adib agak mirip Rifqi ketika kecil dulu. Kenapa dia berdebar-debar ya
untuk menghadiri majlis makan malam syarikat Rifqi itu?
to be continued...
Kak suspensnyaaa cpt sambung
ReplyDeletehahaha. suspens make surprise. :D
DeleteAduhh suspen sungguh....sian darwisya....huhuhu....xsabar nk tggu next episode...cepatla update....plzzzzz....:)
ReplyDelete:D. haha. malam ni minum white coffee, nak sambung SAMSA. hehehe
DeleteHaruss....mmg xsabar nk tggu next episode...teruja...best writer sebb selalu update n ada story baru....:)
ReplyDeleteheeee. biasa jalah. ada story kita kongsi. kan, kan, kan? :D
Deletekak qaseh, crite ni da tmbh booomm!! sy rase ni laen dr yg laen..hehe..
ReplyDeleteterima kasih, afiqah. keep waiting for it. :D.
Delete