Bunyi keletung keletang dari dapur membawa Nur
Dini ke situ. Bau masakan yang menyentak selera paginya membuatkan dia ingin
tahu siapa gerangan tukang masak. Mustahil Amar. Lelaki itu tahu masak ke? Heh.
Tiba sahaja di pintu dapur, Nur Dini tergamam.
“Hah, Dini. Buat apa tercegat kat situ? Meh
sini,” Nur Dini senyum nipis. Kakinya melangkah juga mendekati tukang masak di
dapur.
“Mummy masak apa? Wangi sangat, terliur Dini
dibuatnya,” Puan Sri Syifa senyum manis.
Tenang sungguh dia pagi ini. Bertambah senang
hatinya melihat wajah manis Nur Dini. Mujurlah dia tersedar lebih awal. Jika
tidak, rugilah kerana tidak mengendahkan menantu sebaik Nur Dini. Cuma, Tan Sri
Ridhuan sahaja yang masih berdegil. Mahukan seorang anak ahli perniagaan. Huh.
“Ni hah, nasi goreng kampung. Amar suka makan
makanan kampung kalau Dini nak tahu,” beritahu Puan Sri Syifa sambil memasukkan
nasi goreng kampung hasil tangannya julung-julung kali ke dalam mangkuk besar.
“Meh, Dini tolong,” Nur Dini mengambil mangkuk
itu lalu dibawa ke meja makan.
Puan Sri Syifa pantas membancuh air milo pula.
Hari ini, dia mahu anak dan menantunya merasa air tangannya. Biarlah sedikit
pun, asalkan niat murni dia untuk mengeratkan hubungan yang renggang dilaksanakan.
Amar yang baru turun, tercegat di anak tangga
paling bawah. Ketika itu, mummynya dan Nur Dini sedang bergelak ketawa sambil
menghidang juadah sarapan.
“Hah, Amar. Jom kita sarapan sama. Kelas lambat
lagi kan?” Teragak-agak Amar mahu ke meja makan.
Ditampar pipi. Sakit? Jadi, dia tidak bermimpi.
Nur Dini berpura-pura sibuk mencedok nasi ke
dalam pinggan. Perang dingin mereka masih berjalan. Tetapi, tidak mahu Puan Sri
Syifa perasan… terpaksalah dia berwajah manis.
“Kenapa mummy yang masak?”
“Eh, mana tahu mummy yang masak?” soal Puan Sri
Syifa kembali. Senyumannya semakin mekar.
Amar garu kepala.
“Just guessing. But, sorry. I’m gonna be late,”
balas Amar. Serba salah.
Tekaknya sudah lama mahu menjamah masakan mummynya.
Tetapi, dia sudah berjanji dengan seseorang.
“Kiranya tak sempatlah nak sarapan ni? Tak
apalah. Hari lain ada lagi. Eh, Dini pergi kelas dengan siapa pulak?”
“Dini ambil MC, mummy,” sampuk Nur Dini. Dia melabuhkan
punggung di sebelah ibu mertuanya.
“Oh, okey. Amar pergilah. Lambat pula nanti.
Hati-hati,” Amar angguk. Lantas berlalu ke garaj.
Puan Sri Syifa pandang Nur Dini pelik.
“Kenapa, mummy?”
“Tak hantar Amar?” Terangkat kening Puan Sri
Syifa ketika menyoal menantunya itu. Iyalah, takkanlah pasangan saling suka
sama suka tidak berkelakuan mesra.
“Sebelum turun tadi, dah salam,” bohong Nur
Dini. Malas dipanjangkan isu.
Biarlah pergaduhan mereka semalam menjadi
rahsia. Rahsia rumah tangga. Tsk.
“Betul ni?” Nur Dini angguk laju. “Iyalah.
Makan. Mummy tak pastilah sedap atau tidak. Lama sangat tak bertukang di dapur.
Tumpul dah skill zaman muda-muda dulu,” sambung Puan Sri Syifa.
“Tengok pun dah sedap, bau pun sedap. Apatah
rasanya, confirm sedaplah. Seriously, mummy. Now you act like a lady who has
children. I mean, a truly mummy,” Penuh ikhlas Nur Dini berkata.
Sungguh, dia bangga. Dia bangga punya ibu
mertua yang sanggup merendah diri untuk berubah demi keluarga. Bukan dia yang
mengubah Puan Sri Syifa, tetapi Allah. Dan juga atas diri Puan Sri Syifa sendiri. Doanya
agar mummy Amar, suaminya akan istiqamah dalam perubahan ini. Insha Allah.
“Thank you, darling. You who bring me this. I
owed you, dear,” Bahu Nur Dini dipeluk mesra.
“No…” Nur Dini geleng. “… Allah did, mummy. He
who changed you,” balas Nur Dini dengan senyuman paling manis diukir.
“Ya. Allah. Alhamdulillah,” ucap Puan Sri Syifa
tulus. Syukur.
Kini, hanya Tan Sri Ridhuan yang perlu
diberikan kesedaran. Dia mahukan suaminya kembali. Suami yang di awal
perkenalan, seorang yang rendah diri. Tidak memandang hina golongan fakir.
Tidak sombong. Dia rindukan suaminya yang begitu. Sungguh.
*****
Petang itu, Nur Dini menemani Puan Sri Syifa di
halaman rumah. Kebetulan Opah Yam juga sudah kembali dari kampung. Sengaja
mereka meluangkan masa bersama.
“Mak lega kamu dah berubah, Epa. Syukur…
Alhamdulillah. Termakbul doa mak nak tengok kamu bersantai dengan mak macam
sekarang ni,” ujar Opah Yam.
Senyuman manis meniti di bibir tuanya.
“Alhamdulillah, mak. Anak mak tu…”
“Entah bila nak berubah? Epa pun doalah suami
Epa tu kembali macam dulu. Takut mak kalau dia menyimpang lebih jauh. Jenuh
kita nak memjawab di ‘sana’ nanti. Mengapa tak menyedarkan Wan? Biarkan dia
tersesat,” potong Opah Yam.
Nur Dini hanya mendengar perbualan mummy dan
opah Amar sahaja. Malas mahu menyampuk. Fikirannya masih melayang pada
pergaduhan dia dan Amar. Itu satu-satunya masalah dia sekarang ini.
*****
Segalanya serba tak kena. Duduk di meja
belajar, dengan niat mahu mengulang kaji. Anehnya, mood untuk belajar tiada.
Kosong. Berbaring pula di katil, masih kosong.
Inilah agaknya perasaan apabila melawan cakap
suami. Mencari pasal dengan suami. Hadoi la. Kusut fikiran dia ni. Jam di meja
sisi dipandang seketika. Sudah pukul sepuluh tiga puluh lima minit malam. Masih
juga tidak nampak bayang Amar. Ke mana agaknya lelaki itu pergi?
Runsing.
Nur Dini bingkas duduk bersandar di kepala
katil. Kaki yang terlunjur, bersila. Novel inggeris di meja sisi dicapai.
Helaian demi helaian diselak. Mencari mood melayan novel. Satu-satunya cara
mahu menghilangkan fokus dia pada Amar. Buat seketika.
“Tak boleh…” Novel dilemparkan ke tilam. Sipi
lagi nak jatuh ke lantai. Bantal yang selalu digunakan Amar diambil. Ditekap ke
mukanya. “Arghhh!!!”
Kedengaran gugusan kunci jatuh ke lantai.
Nur Dini alihkan bantal dek terkesan dengan
bunyi bising itu. Matanya tertancap pada makhluk di muka pintu bilik.
Amar sedang menunduk. Mengambil kunci kereta
dan kunci rumah yang terjatuh. Mungkin terkejut dengan jeritan Nur Dini
sebentar tadi.
“Histeria ke apa? Agak-agakla nak jerit pun,”
marah Amar. Nur Dini cebik. Malas dia mahu membalas kata-kata Amar. Merajuk.
Nak menangis pun ada. Bukannya Amar nak tanya,
kenapa dia ambil MC hari ni. Sabar, Dini.
Ketukan di pintu mengalihkan perhatian keduanya
yang sudah ada bayang-bayang hendak bergaduh. Amar pantas membuka pintu.
“Baru balik, Amar? Dari mana?” soal Opah Yam
sebaik pintu bilik Amar dan Nur Dini terbuka.
Tuala di penyidai, Amar capai. Jam
dipergelangan tangan, dibuka lalu diletakkan di atas meja solek. “Study group,
opah,” jawab Amar, acuh tak acuh.
“Iyalah tu. Dini, sini kejap. Malam ni tidur
dengan opah ya,” Tercengang Nur Dini dibuatnya.
Tiba-tiba sahaja Opah Yam ni. Takkanlah opah
dengar aku jerit tadi, bisik hati Nur Dini.
“Dah kenapa pulak Dini kena tidur kat bilik
opah?” tanya Amar. Pelik juga dia.
Poyolah kau, Amar. Yang kau marah-marah si Dini
tak tentu pasal, boleh pula kau tanya kenapa. Sepatutnya seronoklah sebab tak
perlu berduaan dalam bilik dengan bini kau tu. Bukan itu ke yang kau nak?
Sampai sengaja balik lambat, tunggu Dini tidur dulu. Heh!
Hati Amar berbicara sendiri.
“Opah pinjam bini kamu kejap,” jawab Opah Yam selamba.
Nur Dini kerut dahi. Ish, tak fahamlah dia.
Lambat-lambat Nur Dini turun dari katil. Takut pula dia mahu mengikut Opah Yam.
Sesuatu betul.
to be continued...