Sunday 20 May 2018

Mini Novella: Legasi Episod 2





TELEFON bimbit ditangan ditenungnya. Menanti panggilan. Sedari tadi duduknya tak diam. Ke hulu ke hilir dia mencari Nur Aimina, namun langsung tidak kelihatan. Entah kemana sajalah isterinya itu pergi. Takkanlah sudah senja begini tak reti nak balik bilik. Kot iya pun merajuk dengannya, janganlah buat dia risau.

Nombor telefon Miyn didail lagi dan lagi. Masih juga tiada jawapan. Macam mana dia tak risau. Bertambah haru lagi apabila Tok Aki buat hal apabila atuknya itu membuat panggilan video, mahu bertanya khabar mereka di sini. Nasib baik alasannya yang Miyn keluar ke spa diterima oleh Tok Aki. Mahu berdesing telinga jika diberitahu Miyn seharian tidak pulang ke bilik.

“Awak pergi mana ni, Miyn?” bisik Qail perlahan.

Naik lenguh jemarinya menekan dada iPhone 6 dia itu. Dalam hati tidak lekang berdoa agar isterinya itu baik-baik saja. Mungkin sedang dalam perjalanan balik ke bilik. Sempat lagi berfikir yang elok-elok.

Ketukan di pintu membuatkan Qail pantas membawa langkah ke situ. Sebelum itu, diintai dulu keadaan di luar melalui lubang kecil yang separas dadanya itu.

Tangannya sepantas kilat memulas tombol pintu.

Tanpa sempat Miyn membuka bicara, Qail terus memeluk tubuh langsing Miyn. Buat pertama kalinya. Memang terkujatlah Miyn dibuatnya. Tak pernah-pernah lelaki itu buat perangai luar alam sebegitu. Kemain erat lagi si suami memeluknya.

“Qail…” Dia cuba memboloskan diri dari pelukan Qail. Rasanya mereka bukanlah pasangan yang lovey-dovey sehinggakan perlu adegan peluk memeluk ini.

“Eh, hello. Boleh dah kot lepaskan saya. Lemaslah,” kata Miyn sambil tangannya cuba menolak tubuh suaminya.

Kalau ya pun nak bersweet, janganlah di depan pintu ni. Segan kalau-kalau ada yang ternampak. Entahkan cleaner ke pelancong yang tiba-tiba lalu, tak ke haru. Haish.

Sorry,” ucap Qail seraya melepaskan pelukannya. Dia berlalu ke sofa berhampiran dengan tingkap. Nafasnya turun-naik.

Miyn buat muka pelik. Pintu bilik ditutup perlahan. Dia menapak ke katil. Selendang di kepala dia cabut. Dilepaskan rambut dari ikatan. Akhirnya bernafas juga rambutnya itu.

“Awak ni kenapa?” Matanya dihala ke arah Qail yang ralit merenung ke luar jendela. Fikir apa pun dia tidak tahulah.

Ini, hah. Soalan dia pun belum berjawab.

Sungguhlah pelik. Tiba-tiba dipeluk oleh insan yang bernama Uqail.

“Qail, saya tanya ni,” tutur Miyn lembut. Manalah tahu berjawab pula soalan dia kalau bersuara lembut ala-ala romantis gitu.

Bukan setakat soalannya tidak dijawab Qail, selamba saja si suami meninggalkan dia tercengang di situ. Ceh, pergi bilik air aje pun. Bukannya keluar dari bilik. Dek penat melayan kerenah suami yang tiba-tiba berubah angin itu, Miyn terbaring. Sekadar mahu merehatkan badan sahaja. Sudahlah dia penat bertegang urat dengan seorang wanita di spa tadi. Disebabkan itu dia membuat keputusan untuk bersiar-siar di pantai.

Pulang ke bilik, dikejutkan pula dengan perangai Qail yang tidak tahu hujung pangkalnya. Adeh.


*****
DITENYEH matanya perlahan. Dicelik mata luas-luas, namun masih terkebil-kebil. Penat sangat agaknya. Gaya bagai habis diterokanya satu Pulau Langkawi ini sahaja. Kalaulah dia tahu hati teman sebiliknya sekarang ini, pasti tidak tenang lenanya tadi. Entahkan sedar ke tidak yang si Uqail itu tiada di bilik.

Dicapai tuala dan baju bersih lalu terus ke bilik air. Terasa belengas pula badannya. Ditambah pula dia tidak boleh solat, lagilah tidak selesa. Ingatkan terlelap sekejap saja, rupanya hampir dua jam jugalah dia terlena. Qail pun satu, kenapa tak kejut? Si suami pula disalahkan.

Setengah jam kemudian, dia keluar dari bilik mandi. Saat itu baru dia tersedar, Qail tiada di bilik. Malas mengambil tahu, dia tahu lelaki itu mungkin sedang melepak di mana-mana. Alah, dah nama pun lelaki. Buat apa nak risau. Bukannya Uqail itu budak-budak.

“Mandi, sudah. Makan, kenyang lagi. Hm, nak buat apa ni?” gumam Miyn sendiri. Bosan pula dia seorang diri di bilik.

Kalau Qail ada, boleh juga dia ajak berborak. Ini bayang pun tak nampak. Dijenguk ke jendela. Manalah tahu, ternampak kelibat Qail.

Sempat lagi dia mengelamun. Dulu seorang juga, tetapi tak adalah bosan seperti sekarang. Buntu dia di situ. Hendak keluar, dia malas. Seharian sudah dia di luar hari ini. Dibetulkan tuala yang membungkus rambutnya.

“Uqail… Uqail… Uqail,” Disebut nama itu berulang kali. Kot-kotlah ada telepati, muncul suami dia itu.

Tiada.

Ya Allah, mana Uqail pergi?

Bosan merenung ke luar, dia duduk di sofa. Meniru gaya Qail tadi. Selepas itu, dia ke katil. Duduk di birai katil sambil tangan menekan remote control, tiada rancangan atau cerita yang menarik minatnya. Termangu dia sendiri.

“Hm, dia pergi mana ni? Bosanlah pula sorang-sorang,” omel Miyn sendiri. Dia meniarap. Tangannya menekan dada ViVo V5. Saat itu barulah dia tersedar 20 missed call.

Aiyok. Miyn terus terduduk.

“Kenapa tak perasan ni?”

Dia mendail kembali nama yang tertera. Namun, panggilannya tidak bersahut. Dalam hati dia mengutuk dirinya. Silent mode dia tukar kepada ringing. Patutlah Qail bertindak seperti itu tadi.

Miyn pantas bergerak ke almari. Cardigan hitam dan tudung Syria dia ambil. Dia perlu cari Uqail. Sudah ala-ala cerita Korea pula. Tadi Qail, ini giliran Miyn pula. Tahu dek keluarga, memang kena bahan habis. Katanya tidak suka, tetapi setiap tindak tanduk seperti pasangan bahagia.

*****
MIYN bergegas menuju ke lif. Dia mahu ke lobi, mungkin Qail di situ. Di kolam renang mungkin tidak. Lama dia termenung di jendela tadi, kelibat Qail tidak pula menjamah matanya.

Sebaik sahaja lif tiba di tingkat bawah, Miyn pantas melangkah ke lobi. Saat itu bahunya terlanggar seseorang. “Maaf,” ucap Miyn spontan.

It’s okay. Saya pun tak perasan cik tadi,” balas seorang gadis yang dilanggarnya tadi. Rakan gadis itu tersenyum pada Miyn.

Miyn turut senyum. Hal kecil sahaja.

Cool kan abang tadi tu? Nasib baik dia ada. Kalau tak, dah selamat kau kena jual kat Thailand,” ujar gadis itu kepada temannya.

Sempat Miyn tangkap perbualan gadis berdua itu sebelum kembali mencari Qail. Laju dia melangkah ke kaunter. Matanya meliar melihat ke segenap kawasan. Tika itu, matanya menangkap susuh tubuh kekar suaminya. Dia tidak seorang, sebaliknya ada seorang perempuan sedang menyapu sesuatu di lengan Qail.

Hm? Terangkat kening Miyn.

Tanpa sedar, dia sudah berada di belakang Qail.

“Kenapa ni?” tanya Miyn terus.

Perempuan itu mendongak. “Oh, abang ni terluka sikit masa tolong kami tadi,” jelasnya pendek.

“Oh,” Hanya itu yang terbit dari bibir Miyn.

Qail hanya berlagak biasa. Luka seperti ini bukanlah luar biasa baginya. Lebih teruk dari ini pun dia pernah kena. Cuma, gadis ini yang beriya mahu meletakkan ubat pada lengannya.

Teringat pula Miyn pada dua orang gadis tadi. Mungkin gadis ini juga salah seorang dari mereka. Wah, jadi hero nampak Encik Uqail.

“Siap. Better abang pergi klinik, saya risau terkena kuman pula nanti,” kata gadis itu kepada Qail sambil mengemas first aid kit.

“Terima kasih,” ucap Qail senada. Tak perlulah kot dia ke klinik. Balutan di lengannya kemas dan dia yakin kuman pun takut nak hinggap.

Miyn masih statik berdiri di belakang Qail. Saja mahu menjamu mata adegan gadis itu dok tersenyum manis kat laki dia. Dah siap letak ubat bagai tu, sudahlah. Tak payahlah nak pesan macam-macam pulak. Dengki pula Miyn melihatnya.

“Sebab kami jugak, abang jadi macam ni. Esok abang free? Sekadar nak belanja makan aje,” Gadis itu seperti berharap Qail setuju dengan ajakannya.

Miyn ketap bibir.

“Dia tak free esok,” sampuk Miyn. Tangannya selamba menarik lengan Qail, mahu berlalu dari situ.

Tersentak gadis itu dibuatnya. Qail serba salah.

“Miyn…”

“Apa?!” Ditinggikan suara secara tak sengaja.

Qail merungkaikan tangan Miyn dari lengannya. Dia menoleh ke belakang. “Maaf, Nadia. Esok saya tak free,” Dijawab soalan gadis bernama Nadia itu bersama senyuman.

It’s okay,” Nadia turut menghulurkan senyum.

Setelah itu, Qail menarik tangan Miyn. Dadanya berombak. Terasa berbahang pula dengan telingkah isterinya itu. Sepanjang perjalanan menuju ke bilik, keduanya hanya diam. Miyn dengan rasa bersalahnya, Qail pula sedang menahan amarah. Nasib sahaja sabarnya masih menebal. Kalau tidak, depan Nadia tadi dihamburkan segala bengangnya itu.

Tiba sahaja di bilik, tangan Miyn dilepas kasar. Mujur Miyn tidak tersungkur.

“Awak kenapa? Seharian hilang, lepas tu buat perangai tak matang depan orang. Tak malu ke?” hambur Qail tanpa ditahan.

Terkejut Miyn dibuatnya.

“Saya…”

“Tolonglah. Jangan buat perangai budak-budak kat sini. Hari ni saja macam-macam perangai awak, saya kena hadap. Tak sampai seminggu lagi kita kahwin, saya dah rasa penat,” potong Qail.

Miyn diam. Hanya menunduk, mendengar Qail memarahinya.

“Saya faham kalau pagi tadi saya sibuk dengan kerja. Okey, itu salah saya. Tapi, awak. Seharian ni awak pergi mana? Saya call, tak berjawab. Lepas tu, sibuk nak marahkan orang yang tengah ubatkan suami awak ni. Terluka kena pisau,” sambung Qail lagi. Ditekankan perkataan ‘suami’ agar isterinya itu faham.

Sungguh. Miyn tak tahu nak cakap apa. Dia rasa lebih baik didiamkan diri. Apa yang Qail katakan, dia dengar sahaja. Mungkin salah dia, tertengking Qail depan Nadia tadi.

Qail duduk di sofa. Dibelek lengannya. Dia boleh nampak darah walaupun sudah berbalut dengan kain kasa. Mungkin tekanan dari tarikan tangan Miyn tadi.

Miyn paling. Mata dia turut jatuh pada lengan Qail. Melihatkan itu, matanya berair tiba-tiba. Dia sendiri tidak tahu puncanya. Takut Qail perasan, dia membawa diri ke bilik air. Qail yang sakit, kenapa pula dia yang nak menangis? Cepat-cepat dilap air mata yang mula jatuh. Pepatah ‘cubit paha kanan, paha kiri turut terasa’ seperti sesuai sahaja dengan situasinya kini.

*****
PAGI keesokannya, awal lagi Qail sudah menghilangkan diri. Miyn menghela nafas perlahan. Tidak sempat dia nak memohon maaf semalam, Qail sudah nyenyak tidur. Penat sangat agaknya melayan kerenahnya. Ketara sangat lelaki itu memang tidak menyukainya. Apa boleh buat, dia cuma kena bersabar saja.
            
            Ya, sabar. Kalau nak diikutkan hati, mahu sahaja dia berterus terang pada Uqail akan sebab musabab perkahwinan mereka. Namun dia bukanlah seorang yang tidak menepati janji. Selagi belum masanya, dia akan pegang janjinya pada Tok Aki agar perkara itu dirahsiakan dari pengetahuan Uqail.

Miyn duduk bersantai di bawah pokok rendang. Matanya merenung laut biru. Plastik di tangannya dipandang seketika sebelum kembali menikmati udara segar itu. Nanti dah balik KL, tak dapat dia merasa ni semua. Pasti hari-harinya akan sibuk.

“Ehem…”

“Duduklah,” Tanpa melihat siapa menegur pun dia boleh tahu. Haruman lelaki itu sudah sebati dengannya. Sejak awal dia melapor diri sebagai Inspektor Aimina lagi, wangian itu menyapa deria baunya.

Qail duduk di sebelah Miyn sambil menghulurkan Magnum.

“Rasuah,” kata Miyn sepatah.

Qail geleng. “Nope. Umpan,” Huluran itu disambut Miyn dengan senang hati. Dia tahu Nur Aimina memang suka aiskrim. “Hm, I’m sorry. Pasal semalam,” Matanya menjeling Miyn. Magnum selamat masuk dalam mulut Miyn sekelip mata.

“Saya yang salah. Tak sedar buat silent mode, tak dengar awak call,” balas Miyn. Terasa sedap pula magnum ni.

So, pergi mana semalam?” Terkeluar juga soalan yang acap kali bermain di fikiran Qail itu.

“Lepas bergaduh dengan awak tu, saya pergi spa. Tapi, ada sorang perempuan ni cari pasal. Dia tuduh saya ambil turn dia. Padahal, turn dia dah terlepas. Malas nak gaduh-gaduh, saya ambil angin kat pantai. Tapi…”

Jeda.

“Tapi?”

“Ingat tak mamat yang kat kolam tu?” Qail angguk. “Dia mintak tolong saya carikan anak entah sesiapa hilang kat pantai ni. Disebabkan saya ni berjiwa murni, saya tolonglah. Nasib baik jumpa. Alhamdulillah,” Semoga penjelasan itu mampu hilangkan amarah Qail.

“Habis tu, yang buat scene tak matang semalam tu?”

Miyn sengih nipis.

“Tak sengaja. Bangun aje tidur, awak tak ada. Call pun tak angkat. Saya risaulah. Tetiba turun lobi nampak perempuan tengah sapu ubat kat lengan awak. Nak belanja makan pulak tu,” jelas Miyn jujur. “Sorry. Tak sengaja tertengking awak semalam,” Miyn pandang Qail, minta simpati.

Tangan Qail dibawa ke kepala Miyn, diusap lembut. Dan, tindakan selamba itu berjaya membuatkan jantung Miyn berdebar. Janganlah Qail perasan riak wajahnya ketika itu. Dia segan.

“Lain kali jangan buat lagi. Siasat dulu sebelum bertindak,” nasihat Qail. Miyn mengangguk, faham.

“Okey. Meh sini tangan tu,” Ditarik tangan yang mengusap kepalanya. Jemarinya membelek balutan di lengan berotot milik Qail.

Ternaik kening Qail.

Miyn membuka balutan itu. Seriau dia melihat luka sepanjang 3 cm itu. Memang kena pergi klinik ni. Mahu berparut jika dibiarkan.

“Buat apa?” tanya Qail. Berkerut dahinya menahan pedih. Ditambah angin pula bagai menyepak lukanya.

“Tahan kejap,” Miyn mengeluarkan antiseptic dari beg plastik di atas ribanya. Sengaja dia singgah farmasi yang terletak di lobi Aseana Resort, beli first aid kit. Malas dia mahu meminta dari receptionist.

Dicuci luka sebelum membalut lengan itu kembali. Berhati-hati dia merawat lengan suaminya itu. Risau. Namun, Qail langsung tidak berkutik. Diam sahaja.

“Tok Aki mesti suka kalau tengok ni,” luah Qail tiba-tiba.

“Tengok apa?”

“Awak dan saya macam ni,” Miyn gelak kecil.

Tangannya sibuk menyusun kembali alat-alat di dalam first aid kit. “Semakin sayanglah dia kat awak. Lepas tu, kena perli. Cakap tak suka, tapi pujuk jugak bini,” Dijelir lidahnya pada Qail. Dia bangkit.

“Eh, saya tak pujuk ya. Cuma, nak berdamai,” balas Qail, menegakkan benang yang sudah basah.

Sudah terang lagi bersuluh dia sedang memujuk si isteri. Siap belikan magnum lagi.

“Iyalah tu,” Miyn masih lagi mengusik Qail. Seronok pula dia melihat muka cold Qail itu. Ketul ais lagi lawalah. At least, ketul ais akan cair selepas terkena panas. Mr. Cold ni pula kemain susah nak mencair walaupun panas membahang.

Qail menyaingi langkah Miyn yang sudah berjalan ke depan. Tangan kanan Miyn dicapai lalu dibawa tangan itu melilit lengan kirinya. Tergelak Miyn dek perbuatan lelaki itu. Macam-macam.

Katanya tidak suka. Ceh…

*****
MALAM itu Qail dan Miyn menjamu selera di gerai makan Nasi Dagang Pak Malau yang berkonsep kampung dan berlatar belakang sawah padi. Walaupun malam, pemandangan di situ masih tampak cantik dan tenang. Teringin juga merasa kelainan di pulau ini yang tiada di tempat lain.

“Abang!” Nadia menyapa Qail selamba. Wajahnya kelihatan ceria.

Qail mendongak.

“Oh. Nadia,” Mata mengerling Miyn yang ralit menilik menu di tangan. “Buat apa kat sini?” Soalan itu hanya sekadar mahu beramah sahaja. Tiada motif lain.

Nadia senyum mesra.

“Datang makanlah, abang. Takkanlah nak basuh baju pula di sini,” gurau Nadia.

Gurauan itu disambut Qail dengan ketawa kecilnya. Wah, wah… suka benar nampaknya dia.

Miyn angkat muka.

“Nak makan sekali ke ni? Tapi, meja ni untuk dua orang aje. Atau kita nak tukar meja, awak…”

Gulp. Terasa berpasir pula tekak Qail saat ini. Tajam betul belati Puan Aimina ni.

Mata Nadia mula menunjukkan sinar. Seakan mahu Qail bersetuju akan cadangan Miyn itu. Apa salahnya mereka makan bersama? Lagipun dia dan kawan-kawannya yang sedang memerhati dari meja mereka sangat mengalu-alukan jika mahu berkongsi meja dengan jejaka itu.

“Eh, apa pulak. Kat sini dah okey. Maaf, Nadia. Rasanya elok kalau saya tak kacau awak dan rakan-rakan,” tolak Qail, penuh hemat.

Nadia ulas senyum nipis.

“Em, tak apalah. Saya faham. Minta diri dulu,” Dia hampa. Geram pula dia pada gadis yang bersama Qail itu. Mungkin Qail memang ingin makan bersama mereka.

Rakan-rakannya turut terasa hampa dengan penolakan Qail itu.

“Kenapa cakap macam tu tadi?” Qail pantas menyoal setelah Nadia beredar. “Tak baik buat orang macam tu,” tegur Qail dengan nada bersahaja.

“Saya tahu.”

“Dah tahu, kenapa buat juga?”

Miyn pandang wajah serius Qail. Dia tahu, Qail sedang menahan marah. Dia juga sedar kata-katanya tadi mungkin sudah menyakitkan hati Nadia. Tetapi, cara penyampaiannya tidaklah kasar. Manalah dia tahu Qail akan menolak ajakan Nadia itu.

“Lah, betullah apa yang saya cakap. Ini meja untuk dua orang aje. Kalau betul nak makan sama, kita pindah meja. Kat mananya yang tak kena?” bahas Miyn, cuba pertahankan pendapatnya.

Terdiam Qail dibuatnya. Baginya Miyn tidak sudi untuk bercampur dengan Nadia dan rakan-rakannya. Terfikir dia sejenak. Diakah yang tidak mahu? Atau mungkin dia yang mahu berdua dengan Aimina?

“Biarlah. Tak salah kot saya nak makan dengan awak aje,” Terkebil-kebil Miyn dibuatnya. Amboi, pandai dia cover. Tadi bukan main lagi menyalahkan dia.

“Hm, lain kali cakap biaq teghang nah. Biaq saya paham,” Qail tergelak. Jarang sekali dia mendengar Miyn menggunakan loghat utaranya itu.

Hanya bersama abah sahaja loghat utaranya itu keluar.

“Baiklah,” jawab Qail bersama tawa yang masih bersisa. Miyn jeling suaminya itu, entah apa yang lawak pun dia malas nak melayan.

Tetapi… Mr Cold ketawa? Hm, aneh.

Nadia dan rakan-rakannya menoleh ke arah jejaka yang telah menyelamatkan mereka itu. Terusik pula dengan tawa lelaki itu. Terutamanya Nadialah. Dia yang beriya mahu mendekati Qail. Alihnya, awal lagi Qail menolak kehadirannya. Huh!



P/S: Assalamualaikum. Lama tak jengah blog, lama tak update cerpen. So, malam ni terasa nak up mini novel Legasi which is tamat di blog. Lebih kurang macam Pearl, Legasi pun dipecahkan ikut episod. Setakat ni, plan asal Legasi ada 10 episod sama macam Pearl. Tapi, kalau ada tambahan episod tu tak pastilah.
So... enjoy Legasi episod 2. 

Selamat berpuasa! 

No comments:

Post a Comment