Thursday 31 May 2018

Mini Novella: Legasi Episod 3




PAGI-pagi lagi, Miyn sudah menempel di kubikel sahabat baiknya. Bukannya apa, hanya mahu mengetahui tentang kes terbaru mereka sahaja. Kira baguslah cipta alasan sebegitu. Maklumlah lama juga dia bercuti. Ceh, gaya macam sebulan aje dia meninggalkan kerjanya. Walhal, cuma seminggu sahaja. Itupun cuti tak macam cuti saja.

“Haih, awal pulak kau datang. Suami kau mana?” tegur Adda.

Miyn tayang muka tak-kuasa-nak-menjawab-soalan-itu. Dilabuhkan punggung di kerusi kosong milik rakan sejabat mereka yang masih belum tiba, bersebelahan dengan meja Adda.

“Amboi, suami aku jugak yang kau tanya ya. Apa lagi kau nak tahu? Syok tak honeymoon? Best tak bercuti dengan suami?” tembak Miyn sambil menjeling Adda. Adda sengih. Alahai, minah comel ni. Tarik jugak hidung mancung tu karang.

“Cemburulah tu. Tanya ajelah. Iya la, kalau aku jadi kaulah kan. Confirm aku jalan sesama dengan suami aku tu, bangga weh,” selamba sahaja Adda membalas.

Miyn mencebik.

“Itu kau, bukan aku. Tapi, kalaulah si tegap tu suami kau. Hmmm…” Jeda. Adda menjegilkan matanya. “Takkanlah dia nak jalan sesama dengan aku, dah dia suami kau kan,” Erk. Pening kepala fikir ayat si Miyn ni.

Adda cubit peha Miyn perlahan. Bab-bab putar belit ayat, bagi Miynlah. Habis semua ayatnya diputar dengan mesin mulut dia itu.

“Ehem…” Suara deheman menyedarkan Miyn dan Adda yang sedang rancak berbual itu. Adda bangun, tanda hormat akan orang atasannya. Miyn pula, selamba sahaja dia duduk.

Walaupun dia tahu, lagak dia itu sangatlah tidak professional. Entah kenapa berat pula dia mahu bangkit ketika ini. Dan dia juga tahu, Chief Inspector Uqail mesti tak kisah pun.

“Maaf, tuan. Biasalah, lama sangat tak jumpa Miyn ni. Kan, Miyn?” Adda kenyitkan mata pada Miyn agar mengiyakan sahaja. Tidak mahu dimarahi kerana berbual ketika sedang bertugas.

“Ya…”

Qail pandang Miyn sekilas. Amboi, mentang-mentang ketua dia dah naik pangkat jadi suami… dia boleh buat tak heran kat situ. Agaknya punggung dah tergam di kerusi itu. Bertuah.

“Kita ada kes baru. Masuk bilik meeting, sekarang!” tegas suara garau itu memberi arahan. Miyn berdecit. Masih teguh di situ.

“Hah, apa tunggu lagi tu?” sergah si orang atasan tiba-tiba.

Kelam kabut Adda dibuatnya.

Miyn menjeling. Ingatkan dah masuk tadi. Heh!

“Miyn, jom la. Tak pasal kena lagi nanti,” Adda capai buku catatan dan juga pennya. Miyn? Statik di tempat duduknya. “Nur Aimina, jom!” jerit Adda di telinga Miyn. Rasakan. Degil lagi.

*****
TUBUH yang penat dek seharian ke hulu ke hilir kerana menguruskan kes terbaru selepas bercuti, dihempas ke sofa. Lega.

Malas dia hendak berjalan naik ke bilik. Penat yang teramat dah ni. Hendak angkat tangan pun, berat semacam. Itulah padahnya bila kembali bekerja selepas bercuti. Kerjanya bukan main melambak lagi.

“Kot iya pun penat, tutuplah pintu. Kalau ada pencuri ke penjahat ke masuk tadi, tak pepasal aje jadi mangsa. Awak tu perempuan. Lain kali, pastikan tutup pintu dulu,” bebel satu suara di pintu apartment. Tegas.

Miyn berpaling ke kirinya. Qail sedang memandangnya, tajam. Hairan apa dia pintu tutup atau tidak. Tetapi, cepat pula suami dia ni balik. Tadi ketika dia tengah bersiap nak pulang ke rumah, lelaki itu masih lagi sibuk berbincang dengan Tuan Afnan. Jangan pasal kes baru sudahlah. Hesh.

“Hakikatnya, tak ada kan,” Qail mendecit. Ada sahaja alasan Aimina mahu membangkang cakapnya. Kadang-kadang mahu sahaja dia tapekan bibir itu. Biar jadi isteri solehah sikit, dengar cakap suami.

Dia tidak tahu yang Miyn sedang merencanakan sesuatu ketika ini. Sungguh Miyn malas bergerak saat ini. Aci tak kalau dia suruh Qail dukung dia naik atas. Sengih sinis kelihatan di wajah Miyn.

Hampeh! Ingat dia berani tahap buaya ke apa nak buat permintaan macam tu. Hish, ngeri. Buatnya Qail tayang muka Chief-Inspector-Uqail dia tu, kecut juga nanti.

Lupakan saja, Nur Aimina. Takkan dapat punyalah.

Dulu sebelum berkahwin, boleh pula dia masuk rumah pintu tutup sendiri. Walaupun penat, tidak pula dia mengadu seperti sekarang ini. Reti pula dia mandi sebaik tiba di rumah. Mahu kata Qail memanjakan dia, jauh sekali. Tidur pun bilik asing-asing, bukan atas alasan mereka kahwin kerana pilihan keluarga ya. Tetapi, buat masa ini mereka mahu berikan masa untuk diri masing-masing.

“Apa lagi yang mengelamun tu? Pergi naik, mandi. Solat. Dah lewat ni,” Tudia, Chief-Inspector-Uqail sudah bersuara.

Kelam kabut Miyn berlari naik ke biliknya. Qail hanya menggelengkan kepala sambil menutup pintu rumah. dikunci terus. Akur pula gadis itu akan arahan ala-ala polis garang itu.

*****
WAJAH tegang Qail berjaya menarik minat Miyn. Entah kes apa pulalah yang mereka dapat kali ini. Jarang ketuanya itu kelihatan stres sebegitu. Kes-kes yang sebelum ini juga kebanyakan berat dan memerlukan perhatian tinggi, namun Qail tidak pula setegang itu.

Whiteboard kosong dipandang Qail sepi. Tiada tanda untuk dicoret. Fail ditangannya juga seakan membeku.

Anak-anak buahnya juga sudah berpandangan sesama sendiri. Adda jeling Miyn sambil matanya seakan menyoal rakan sekerjanya itu. Miyn angkat bahu. Dia sendiri juga tidak tahu apa-apa. Apa dia ingat Chief Inspector Uqail baik sangatlah nak berbincang hal kerja kat rumah? Kirim salam.

“Okey,” Qail memalingkan badannya. Dipandang anak-anak buahnya satu persatu. “Untuk tugasan kali ni, saya tak mengharapkan komitmen anggota-anggota yang keberatan untuk bertugas. Saya bagi dua pilihan. Pertama, saya hantar kamu untuk handle kes lain. Kedua, kamu ikut dalam kes baru ni tapi bersyarat,” jelas Qail sekali lafaz.

Itupun setelah habis fikir.

“Apa maksud tuan?” soal Umar, Inspektor Umar.

“Begini. Emmm…” Sekali lagi Qail kehilangan kata.

Miyn pandang Qail, tepat. Kes terbaru mereka ini pasti sangat merbahaya. Masakan seorang Chief Inspector yang tegas berkelakuan sebegini melainkan dia memikirkan kebajikan orang bawahannya. Namun, tugas mereka adalah untuk menjaga keamanan negara. Jadi, wajib untuk mereka menjalankan tugas itu sebaik yang mungkin. Sudah diterapkan bagi penjaga keamanan agar tetap bersedia walau apa jua cabaran yang datang.

“Kenapa ni, tuan?” Adda pula menyoal. Tidak sabar pula dia mahu mengetahuinya.

Qail menghela nafas perlahan.

“Kenal Datuk Tan?” Enam anggota bawahan Qail yang berada di bilik mesyuarat itu mengangguk serentak.

Siapa yang tidak kenal Datuk Tan Abdullah? Seorang muallaf yang amat dihormati dan disegani kerana budi serta sifat pemurahnya. Beliau juga banyak menaja program-program keagamaan dan juga memberi bantuan kepada rumah-rumah kebajikan di Malaysia. Sifatnya yang mudah bergaul, ceria dan peramah itu memang membuatkan semua orang senang untuk mendekatinya.

“Mulai minggu depan, unit kita akan terlibat dalam penyiasatan kehilangan anak beliau. Maklumat terkini yang saya dapat, kes ini berkait rapat dengan unsolved case kita dua tahun lepas. Disebabkan kes tersebut, kita kehilangan tiga orang anggota polis dari unit ini. Jadi, Tuan Afnan minta saya biarkan kamu semua buat keputusan sendiri. Sama ada mahu menyertai operasi kali ini atau tidak,” Qail melepaskan keluhan perlahan.

Lega apabila sudah menjelaskan kedudukan sebenar kes terbaru mereka ini. Dia mula menulis sesuatu di whiteboard.

Keadaan hingar sebentar. Masing-masing mula meneliti kembali setiap inci kes dua tahun lepas. Miyn sahaja kelihatan bersahaja. Dia menconteng buku notanya. Dipandang rakan-rakan sekerjanya seketika. Sepertinya mereka seakan mahu menyertai kes ini memandangkan tiga anggota polis di unit mereka yang terkorban itu adalah sahabat mereka sendiri.

Pastinya mereka mahu mencari dalang disebalik unsolved case itu.

Dia?

Adda toleh ke sebelah kanannya. “Kau dah kenapa? Nak join tak?” Miyn sengih. Matanya tertala pada Qail. Adda tayang muka sengal dia. Lupa pula yang si Miyn ni sudah bersuami, tentulah setiap keputusan perlukan bersetujuan dari suaminya.

Tetapi, bukan itu yang membuatkan Miyn beranjak dari kes tersebut.

“Kamu semua bincang dan fikirlah. Saya bagi masa sampai esok pagi. Siapa yang tidak mahu menyertai, boleh ke unit jenayah siber. Saya dah rangkakan tentang kes kali ni di whiteboard. Boleh rujuk. Saya keluar dulu,” Qail mengemaskan fail dan buku notanya. “Miyn, ikut saya,” suruh Qail sebelum beredar.

Adda usap bahu Miyn lembut. Seakan tahu apa yang akan berlaku pada sahabatnya itu.

“Kau ikutlah apa yang Tuan Uqail cakap. Dia mesti buat keputusan untuk kebaikan kau,” nasihat Umar yang sedar akan mendung diwajah rakan sekerjanya itu.

“Aku tahulah…”

Dengan malasnya dia bergerak ke bilik Qail. Dia tahu lelaki itu sudah punya perancangan untuknya. Cuma, dia sangat berharap ketuanya tidak berat sebelah kerana status mereka sekarang ini. Dan dia juga tahu Qail sangat professional jika hal itu berkaitan dengan kerja.

*****
FOKUS Qail pada skrin laptop, anak buahnya yang sabar menunggu bicaranya dibiarkan seketika. Miyn mengambil peluang itu menilik ruang bilik suaminya itu, sentiasa kemas dan teratur.

“Maafkan saya, Puan Aimina,” ucap Qail sambil menutup laptopnya. Kini pandangannya tepat pada anak mata Miyn yang turut memandangnya.

Bebola mata Miyn bergerak sedikit, dia senyum nipis. Sudah mengagak dia takkan dapat menyertai team mereka kali ini.

“Okey,” jawab Miyn perlahan. Malas dia menyoal lebih-lebih. Sekuat mana pun dia membangkang keputusan Qail, dia pasti kalah. Lebih baik dia mengiyakan sahaja.

Qail yang duduk tegak itu mula menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Sebuah keluhan kecil dilepaskan. Dia faham, Miyn pasti ingin turut menyertai kes kali ini. Namun, arahan dari pihak atasan diluar kuasa dia.

“Tak baik mengeluh. It’s okay. Mungkin bukan rezeki,” Tipulah kau, Aimina! Kau memang teringin nak join operasi ni.

No, you are not okay. I knew it. Tapi, ini yang terbaik. Saya bukan lakukan ini kerana awak adalah isteri saya. Saya harap awak faham,” Miyn angkat kening.

“Habis tu, atas alasan apa tuan buat keputusan ni untuk saya?”

Diam.

“Chief Inspector Uqail, saya berharap sangat awak tak berat sebelah. Okey, saya terima keputusan tuan untuk tak libatkan saya. Tapi, saya masih perlukan alasan yang kukuh kenapa saya dikecualikan,” ujar Miyn serius.

Riak wajah tampan Qail juga serius.

“Dengar apa yang saya nak cakap. Awak bukan sahaja dikecualikan untuk kes Datuk Tan, tetapi untuk semua kes di unit jenayah berat ni,” Miyn tersandar.

Rasanya dia sudah mengetahui apa maksud Qail. Sedari awal lagi dia sudah mengerti dan dia sendiri sedia maklum akan sebab musabab dia ditukarkan ke unit lain.

“Baiklah. Ke unit mana saya dihantar?”

Cyber crime…”

Dah agak dah. Itulah tujuan Qail menyebut Unit Jenayah Siber ketika meeting tadi. Rupanya…

“Okey.”

Miyn pantas meninggalkan bilik Qail, kembali ke kubikelnya. Dia perlu mengemas barang-barangnya. Namun, dia masih duduk di tempatnya. Menunggu rakan-rakan sekerjanya. Walaupun dia sudah tidak bersama mereka, segala memori di unit itu takkan dia lupa. Terkilan juga hatinya kerana tidak dapat menyertai operasi kali ini. Harapannya operasi ini berjaya dan semua yang terlibat selamat. Semoga tiada lagi korban nyawa.

            *****
AKSI pasangan dihadapannya itu membuatkan dia terasa mahu memuntahkan isi perutnya. Mual pula tekaknya melihat adegan itu. Akal jahatnya mula menerpa. Namun ditepis, takut jatuh hukum fitnah pula. Tidak mahulah dia menanggung dosa memfitnah orang. Fikir yang baik-baik saja.

Mata melirik pada jam di tangan kiri. Lambat benar masa berlalu. Bayang Qail tidak pula menjengah. Padahal, sudah dipesan agar si suami pulang awal.

“Miyn. Sorry,” Berombak dada Qail. Dia duduk di sebelah Miyn sambil membetulkan pernafasannya. Penat dek berlarian tadi.

Si isteri diam. Ditoleh ke kiri sejenak. Gadis itu sedang merenungnya tanpa riak. Kosong.

“Kenapa?” soalnya hairan.

“Awak lari ni sebab saya ke?” Soalan itu terpacul dari bibir Miyn. Apa tidaknya, sempat lagi ucap kata maaf walaupun diri tercungap-cungap.

Mungkin juga dia sedang bermimpi.

“Iyalah, sebab awak,” Qail sudah kembali tenang. Hilang terus penatnya dek soalan Miyn itu.

Terpaksa dia akui, dia sememangnya risau andai kelewatan dia membuatkan Miyn bengang. Iyalah, tadi bukan main lagi dia berjanji mahu keluar awal. Ini dia lewat bukannya lima minit atau sepuluh minit tetapi hampir dua jam. Sangkanya Miyn sudah pulang ke rumah kerana penat menanti dia.

“Terima kasih. Tapi, kenapa awak lambat?”

“Tuan Afnan buat panggil meeting tadi. Handphone tertinggal kat bilik ofis pulak nak text awak,” jelas Qail bersungguh.

Miyn tergelak kecil.

“Okey. Saya terima alasan awak tu. Jomlah. Nanti tiket habis pula. Sia-sia aje,” kata Miyn sambil tangannya selamba memeluk lengan Qail. Mahu membeli tiket terlebih dahulu, dia risau Qail tiba-tiba membatalkan pula temu janji mereka. Rugi.

Qail senyum nipis, hampir saja tidak nampak senyuman itu.

Mereka beriringan ke kaunter tiket. Filem yang masih dalam senarai top search di google itu dibeli. Buat pertama kalinya mereka menonton wayang bersama. Tautan tangan mereka masih tidak terputus. Qail mengalihkan mata ke dada iPhonenya yang diangkat separas dada.

“Tok Aki ke yang hantar?” Mata Miyn juga turut berada di dada skrin gadget jenama Apple itu.

Qail geleng.

“Takkanlah Tok Aki nak intip kita. Kalau betullah, dia takkan upah orang. Yaya pun boleh jadi pengintip,” ulas Qail. Yaya, adik perempuannya lebih cekap dalam dunia pengintipan jika hendak dibandingkan dengan lelaki yang mengintip mereka itu.

Sedari Qail tiba tadi lagi, ada seorang pengintip sibuk mengambil gambar mereka. Mulanya mereka menyangka lelaki itu sekadar pelancong sahaja, ternyata pengintip itu seakan mengekori mereka.

Miyn angguk setuju.

“Tapi, siapa aje yang nak intip kita?”

Qail jongket bahu.

Malas mahu memeningkan kepala, mereka melangkah ke hall 4. Keadaan sudah gelap menandakan filem itu akan ditayangkan sebentar lagi.

*****
FOTO-foto sepasang merpati dua sejoli berteraburan di atas meja. Dipandang tanpa perasaan. Kemesraan itu sedikit sebanyak menggangu fikirannya. Dia cemburu. Pasangan itu kelihatan mesra. Dan dia tidak mahu itu berlaku. Dia takkan benarkan lelaki dan wanita itu bahagia, selagi dia masih hidup.

“Bos nak saya intip gerak geri mereka lagi ke?”

Dia jeling lelaki dihadapannya.

“Kau ingat dua orang tu bodoh, tak perasan? Kau stop dulu kerja-kerja kau tu,” Lelaki itu mengangguk. Faham akan arahan bosnya. “Buat masa ni kau sembunyikan dulu diri kau. Jangan sampai Uqail jumpa kau. Faham?” Dia angguk lagi.

Jari telunjuk dia bergerak ke depan dan belakang. Menyuruh pengintip upahannya itu beredar. Tanpa bunyi, lelaki itu meninggalkan biliknya.

“Untung kau, Qail. Dapat bini yang setia macam Aimina. Tapi, aku tahu kau langsung tak sayangkan bini kau tu. Aku kenal kau. Kau masih setia pada kakak aku. Olyn sayang sangat pada kau. Cuma aku tak sangka, kau cuma nak main-mainkan dia aje.”

Gambar-gambar yang bergelimpangan di atas meja dia tikam bertalu-talu. Senyum dia sinis sekali.

*****
MUKA kacak itu basah dengan peluh. Kepalanya sekejap ke kanan, berpaling pula ke kiri. Mulutnya seakan-akan sedang berbicara. Bahkan suara garaunya turut menjerit seolah-olah dia dirasuk.

“Qail!” panggil Miyn di sebalik pintu. Tangannya mengetuk pintu bilik suaminya itu. “Qail!” jeritnya lagi. Namun masih tiada jawapan.

Tombol dipulas. Dia hela nafas lega, pintu itu tidak berkunci.

Dia melangkah mendekati Qail di katil. Lelaki itu seperti sedang berlari jauh. Bukan setakat muka, badannya turut basah dengan peluh. Buktinya T-shirt tanpa lengan berwarna hitam itu kelihatan basah.

Miyn mengucap panjang. Mimpi apalah yang dialami Qail agaknya. Dia menapak naik ke katil. Tangannya laju menepuk bahu kanan Qail.

“Qail, bangun,” kejut Miyn perlahan sambil tangannya menampar lembut pipi si suami. Tapak tangan kanan dilekapkan ke dahi Qail.

Dia selalu tengok dalam cerita Korea, heroin sering melakukan itu ketika mahu menenangkan hero yang sedang bermimpi buruk. Semoga sahaja ia berkesan pada Qail. Tsk.

Seminit kemudian, Qail bangun terduduk. Cuak juga Miyn, manalah tahu ada ‘benda’ di dalam tubuh suaminya itu. Dia memberanikan diri menyentuh bahu Qail.

Dek sentuhan itu, tangan kanan Miyn kini terkunci rapat dalam pegangan Qail. Mata lelaki itu juga tajam merenung Miyn, langsung tiada mesra pada renungan itu.

“Qa… Qail?”

“Astaghfirullah…” Tangan Miyn dilepaskan. Qail menyapu mukanya.

Miyn menjauhkan diri dari Qail, takut lelaki itu berniat untuk apa-apakan dia lagi. Orang separuh sedar ini bukannya boleh dibuat main. Mungkin dia masih terpengaruh dalam alam mimpi. Buatnya Qail menendangnya, tidak ke naya.

Nafas Qail turun naik.

“Miyn?” Dipandang Miyn di sisi. Dia tahu isterinya itu takut melihat situasinya ketika ini. “Mimpi buruk,” kata Qail, menjelaskan keadaannya pada gadis itu.

Miyn angguk laju.

“Tahu. Awak okey ke ni?” tanya Miyn, risau. Gelengan Qail membuatkan dia serba salah. Mahu beredar dari situ atau terus berada di sisi Qail.

Jauh di sudut hatinya, dia mahu menenangkan lelaki itu.

“Saya mimpi Olyn,” maklum Qail tanpa disoal. Diraup wajahnya lagi. Seraut wajah ayu Olyn mengganggu lenanya.

“Awak masih teringatkan dia?”

“Kadang-kadang.”

“Mimpi ni kadang-kadang cuma mainan tidur. Awak sedekahlah apa-apa pada dia. Semoga dia tenang kat sana,” ujar Miyn. Tangannya menggenggam erat lengan berotot Qail itu. “Awak tidurlah,” Dilepaskan pegangan tangannya. Dia berura-ura mahu kembali ke biliknya.

Tadi dia terjaga dek terdengar jeritan Qail seperti orang hysteria. Risau pula dia pada sang suami. Sebelum ini, ada juga Mama Chik mengadu anaknya itu kerap kali menjerit di tengah malam. Bila ditanya, Qail tidak pula memberitahu. Malam ini adalah kali pertama lelaki itu meracau sebegitu. Barangkali Qail ada memikirkan arwah Olyn sebelum tidur tadi.

Qail pantas menahan Miyn. Dia lelah sendiri.

“Temankan saya,” Tidak berkelip Miyn memandang Qail yang separuh sedar itu. “Tolong,” rayu Qail. Dia risau, mimpi tadi kembali lagi.

“Iyalah,” setuju Miyn.

Qail mengengsot ke kiri, memberi ruang pada Miyn untuk merebahkan diri. Terasa tenang sedikit. Dadanya tidak lagi berombak seperti tadi. Miyn menggerakkan kaki dia, ditolak sedikit kakinya ke atas. Bantal peluk yang tadinya di kaki kini enak landing di dadanya. Tangannya mengalihkan bantal itu, diletakkan di tengah-tengah. Biar ada sempadan di antara dia dan Qail.


Terkejut Qail akan tindakan spontan dan pantas itu. Sempat lagi Miyn memikirkan itu. Macamlah dia kempunan sangat nak tidur bersama gadis itu. Heh!

10 comments: