Thursday 18 May 2017

Mini Novella: Legasi Episod 1



MATA diliarkan ke segenap bilik. Kali pertama menjejakkan kaki ke banglo ini semalam, dia tidak sempat untuk menilik susun atur mahupun keadaan bilik ini. Sibuk sangat dengan majlis perkahwinan sehinggakan tiada masa untuk berehat. Raja sehari nama pun, pastilah sibuk seharian. Iya dok.


Nice. Not bad. But, it kinda…’ Huh.

“Dah puas pandang?” Suara yang datang dari pintu bilik air menyentak lamunan Miyn. “Kalau tak puas lagi, boleh jugak nak tour satu banglo ni,” Miyn ketap bibir. Tak pasal saja dia kena perli.

“Hm, idea yang bagus tu,” balas Miyn malas. Dia bergerak ke pintu gelongsor, lalu ditolak sedikit. Angin sepoi-sepoi bahasa menyapa muka. Sejuk.

Qail masih berdiri di pintu bilik air. Tadi bukan main lama lagi dia mengelamun dalam bilik air, hampir sejam jugalah. Permainan syaitan, mahu dia berlama di tempat tinggal si penghasut itu. Namun, fikirannya masih sedang mencerakin hal yang sama. Belum puas.

Agaknya, selagi mereka tidak berbincang, hal yang menyerabutkan kepalanya itu tidak akan selesai. Dia perlu juga bersuara. Takkan selamanya dia perlu terima semua permintaan tak masuk akal ahli keluarganya. Punyalah dia berhijrah jauh ke luar negara dulu, namun masih terikat pada perjanjian yang sama.

Penat saja dia berjauhan dengan keluarganya. Padahal dia tahu, sifat amanah Tok Aki itu tidak mampu dia lawan dengan memprotes keinginan dan hajat Tok Aki mahu bercucu menantukan Nur Aimina. Dia sendiri tidak tahu, kenapa sampai begitu sekali dia mahu menolak permintaan atuknya itu.

Dan, gadis itu juga seperti menerima semuanya. Tiada bantahan. Langsung.

“Kenapa terima permintaan Tok Aki?”

Miyn menoleh ke belakang seketika sebelum kembali menengadah langit yang hitam kelam itu dek bumi sedang ditimpa hujan. Tiada bulan, tiada bintang.

“Kalaulah ada alasan untuk menolak…” Qail kerut dahi. Apa maksud Miyn? Tiada alasan untuk menolak? Sedangkan dia, boleh saja siapkan beratus beribu alasan untuk menolak permintaan Tok Aki itu.

“Tipu,” kata Qail sepatah. Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterimanya.

“Terserah,” Miyn juga begitu. Buat masa ini, dia langsung tiada mood untuk menjelaskan kedudukan sebenar. Seperti Qail, fikirannya juga turut serabut.

Qail menghempaskan tubuh kekarnya ke katil. Tuala yang digunakan untuk mengelap rambut masih ditangan. Miyn seperti merahsiakan sesuatu. Tetapi, apa?

*****

QAIL dan Miyn beriringan ke ruang makan. Kelihatan sanak saudara sedang riuh berbual. Ruang makan yang luas dan memuatkan dua buah meja makan memang mampu untuk menampung kaum kerabat Qail yang agak ramai itu.

“Duduk, Qail, Miyn,” Tok Aki bersuara. Matanya melirik perlahan agar kedua-duanya duduk semeja dengannya. Mungkin ada perkara yang mahu dibicarakan.

Serentak Qail dan Miyn duduk di dua buah kerusi yang masih kosong, bersebelahan Tok Aki.

“Miyn, tuangkan air kopi untuk Qail. Dia tak minum air milo,” suruh Mama Chik, mama Qail. Miyn mengikut perintah ibu mertuanya itu, dituangkan air kopi ke dalam cawan dan dihulurkan pada Qail. Bab Qail tak minum air milo, memang dia tahu. Tapi, kalau dah masuk bab lain… dia mengalah.

“Dah buat keputusan nak bulan madu di mana?” soal Tok Aki. “Bukannya Tok Aki tak tahu kamu berdua ni, sibuk memanjang. Cuti lama ni, pergilah berbulan madu. Newlywed kan,” sambung Tok Aki.

Newlywed?”

“Kenapa, Miyn?” tanya Mama Chik. Pelik pula telinganya mendengar Miyn seakan mempersoalkan tentang ‘newlywed’. Betullah kata Tok Aki itu. Qail dan Miyn kan sememangnya baru sahaja berkahwin, pengantin baru.

Miyn sengih. “Terasa janggal aje, ma. Lupa Miyn dah kahwin,” jelas Miyn sambil matanya memandang Tok Aki.

Tok Aki ketawa. Bukan setakat Tok Aki, ruang makan itu sendiri gamat dengan gelak tawa kaum kerabat Tok Aki. Qail? Hmmm, senyum nipis pun cukuplah.

“Ada-ada sajalah kamu ni, Miyn. Nanti jangan buat perangai, lupa yang Qail ni suami kamu pulak,” balas Tok Aki dengan ketawa yang masih bersisa.

Miyn hembuskan nafas perlahan. Saat itu, Qail terperasan akan tindakan itu ketika mahu mengambil kuih yang berada di hadapan Mama Chik.

“Kenapa?” bisik Qail ditelinga Miyn.

Bulat mata Miyn dek terkejut. Qail ni memang la. “Berjaya alihkan perhatian Tok Aki pasal honeymoon,” jawab Miyn, juga berbisik.

Erk. Qail gelengkan kepala perlahan. Selagi mereka di sini, topik itu tak akan terhenti punyalah. Kenal sangat dengan keluarga dia ni.

“Hah, Qail. Kenapa diam aje? Selalunya, riuh suara kamu menyakat orang dalam rumah ni,” Pakngah Ran pula yang bersuara.

Hampir saja Qail tersedak.

“Lapar sangatlah, pakngah. Nak sakat, kena ada tenaga. Kan?” Keluar juga suara garau Qail.

“Hmmm, betullah tu. Tapi, nak pergi honeymoon pun kena ada tenaga jugak,” Terbalik. Pakngah Ran pula yang menyakat.

Terus membeku Qail dan Miyn dibuatnya. Isk. Masih di tajuk bulan madu rupanya. “Hah, betul jugak tu,” Perlahan sahaja Qail membalas. Pandai betul Pakngah Ran putar belit ayat dia. Heh.

“Miyn?”

“Apa pulak Miyn. Ada soalan untuk Miyn eh?” Miyn angkat kening. Sakan ya kenakan mereka suami isteri tadi. Pakngah Ran kecilkan matanya.

“Eh, tengok tu. Eloklah kamu suami isteri. Sama-sama nakal. Elok sangat,” kata Makngah Nee sambil tangan menampar lembut bahu Mama Chik.

Mama Chik angguk. Setuju.

Qail dan Miyn hanya mengulas senyum. Masing-masing lebih tahu keadaan rumahtangga mereka bagaimana. Memanglah nampak seperti suka-sama-suka, tetapi hakikat sebenar hanya beberapa orang yang berada di meja itu sahaja yang tahu. Tok Aki tersenyum menang. Hajatnya untuk bercucu menantukan Miyn menjadi kenyataan. Kiranya kalau dia dijemput Ilahi, tiada lagi kekesalan yang dia tinggalkan di dunia.

*****

TUBUH dihempas ke katil. Sesekali mata dikerling ke kanan. Terbit keluhan kecil. Mata merenung ke syiling sambil digawangkan kedua belah tangannya. Inai di bahagian kulit semakin pudar, tersenyum dia melihat jemarinya. Puas disental jari jemari dengan sabun supaya warna inai yang merah menyala itu hilang.

            Gara-gara tindakan pantas Tok Aki, tercampak dia dan Qail di bumi Langkawi ini. Dan, bukannya Tok Aki tidak tahu yang mereka langsung tiada niat mahupun terfikir untuk berbulan madu. Ish, tak kuasalah dia jika… Uqail yang jadi teman bulan madunya. Tengok sajalah si suami yang sibuk itu.

“Kenapa terbaring aje kat situ?”

Miyn bingkas duduk.

“Bosan.”

Mata menjeling si suami. Selepas subuh tadi, lelaki itu asyik dengan laptopnya. Entah apa yang dilakukan Qail pun dia tidak tahu. Takkanlah sedang bercuti pun masih bekerja. Hilang sudah mood dia nak berhoneymoon. Baik tak payah ikut cadangan Tok Aki untuk pergi bulan madu kalau dia cuma di dalam bilik sahaja sepanjang bercuti.

“Saya tak halang awak keluar pun. Pilihan awak yang nak memerap dalam bilik ni, kan,” tutur Qail sambil jemarinya laju di keyboard.

Dek kata-kata Qail itu, Miyn merenung tajam ke arah suaminya.

“Awak, saya ni perempuan tau. Kalau ada orang nak apa-apakan saya ke, macam mana? Awak nak tanggung?”

Qail toleh. Muka dia langsung tidak beriak.

“Saya tak nampak apa yang bahayanya pun. Melainkan awak cuma perempuan biasa yang tak ada black belt, baiklah saya akan teman. Tapi, awak bukan setakat ada black belt tau,” balas Qail. Pandangannya kembali pada kerjanya.

“Hish… baik tak payah datang sini kalau macam tu,” rungut Miyn perlahan. Dia kembali tertiarap di atas tilam. Badannya diselebungkan selimut. Tidur lagi bagus.

Tak romantik langsung suami dia ni. Orang lain datang honeymoon, bersweet-sweet dengan pasangan. Dia? Huish, tak payah mimpi. Dan, dia pun langsung tiada angan-angan untuk melihat sweet-side Uqail itu.

Sebab suami dia ini, tahap icy tu mengalahkan Gunung Everest. Muka saja hensem, yang lainnya hmmm… bolehlah.

“Miyn,” panggil Qail. Terasa bersalah pula membiarkan Miyn begitu. “Miyn,” Panggil dia sekali lagi, agak kuat sedikit. Masih tiada respon.

Qail menggaru kepalanya. Takkan merajuk kot. Miyn merajuk? Macam tak kena saja. Sepanjang dia kenal isterinya itu, tak pernah lagi dia nampak Miyn merajuk. Kalau merajuk main-main, adalah.

“Miyn…” Cubaan yang kali ketiga, meleret sedikit.

Juga tiada respon. Qail bangun lalu berjalan ke katil. Dia duduk di birai katil. “Saya tak halang awak nak keluar. Saya tahu awak pandai jaga diri. Walaupun kita bercuti, ada kerja yang saya kena uruskan,” ujar Qail, seperti memujuk.

Miyn masih begitu. Qail mengeluh.

“Awak tahu kan status kita ni macam mana. Saya tak nak awak expect saya akan layan awak sebagaimana suami lain layan isteri mereka. Saya dan awak berkahwin bukan atas kerelaan kita. Ya, mungkin kisah kita ni cliché. Tapi, inilah hakikat yang kita kena terima. Awak buatlah apa yang awak nak buat, saya izinkan,” sambung Qail lagi.

Dikerling isterinya di sebelah. Miyn menarik selimut dan duduk bersila. Dipandang Qail sekilas.

I don’t need your explanation. Saya cuma nak awak tinggalkan kerja awak sekejap dan ikut saya. I mean, teman saya. Itu aje. Saya tak rasa itu susah,” Miyn masih cuba memujuk Qail untuk menemaninya bersiar-siar.

“Miyn, part mana yang awak tak faham? Berkali-kali saya jelas…”

No! You… listen to me,” potong Miyn. Qail menjegilkan matanya. Belum pernah gadis itu membangkangnya. “Chief Inspector Uqail, kita bukan kat tempat kerja tau. Kita sedang bercuti. Kot iya pun obses sangat dengan kerja awak tu, tunggulah cuti awak habis,” tegas Miyn.

Dia bangkit meninggalkan katil. “Saya keluar. Bukan sebagai Inspektor Miyn, tapi Aimina,” Selendang di dalam almari dicapai, dililit simple. Kemudian di bawa langkah ke pintu bilik lalu keluar meninggalkan Qail yang terpinga-pinga.

“Miyn!” Panggilan Qail tidak diendahkan.

Tumbukan kuat dilepaskan ke tilam empuk bilik hotel mereka menginap. Entah kenapa, susah sangat untuk Miyn memahaminya. Degil. Selama ni dia hanya bertemu Miyn di tempat kerja sahaja. Dan, perangai Miyn sepanjang mereka diijab kabul ini tersangatlah baru baginya. Segala sikap yang ditunjukkan oleh isterinya itu adakalanya susah untuk dia hadam.

Iyalah. Di tempat kerja, dia sebagai ketua Miyn. Manalah pernah dia mengambil tahu hal peribadi orang bawahannya. Dia pasti Miyn juga sepertinya, masih cuba mengenal sikap dan habit masing-masing. Tambahan pula, Miyn yang dikenalinya di tempat kerja tidaklah sedegil ini. Setiap perintahnya, dituruti tanpa bantahan.

*****

KAKI menapak perlahan menuju ke kolam renang di Aseana Resort itu. Fikirnya tadi, dia mahu ke spa namun tiada mood pula. Nanti-nanti sahajalah dia ke situ. Memandangkan tidak ramai pelancong di resort ini, dia mengambil peluang itu berehat di kerusi malas yang terletak berhampiran kolam renang itu.

Miyn mula mengelamun. Rindu pula pada arwah uminya. Pasti umilah orang yang paling bahagia saat ini. Sejak kecil lagi, uminya itu suka sangat membayangkan anak tunggalnya berkahwin. Namun, umur umi tak panjang bila dia disahkan menghidap kanser hati. Kini, dia sudahpun selamat menjadi isteri orang. Cuma abah yang ada di sisinya saat itu, menggantikan arwah umi.

“Jauh mengelamun,” tegur seseorang. Tersentak juga Miyn dibuatnya, terkejut dengan teguran itu.

Sedap-sedap dia sedang melayan perasaan, entah malaun mana yang cuba kacau. Yang pasti, bukan Qail. Suara Qail lain, tak macam orang yang menegur dia ni.

Diangkat kepala.

Seorang lelaki yang agak kacak, berambut lurus paras bahu. Senyum macam tertumpah gula selori, manis. Mata ala-ala orang tak tidur setahun. Hm, apa lagi? Sempat Aimina menilik wajah penegurnya itu. Tak sedar yang dia itu isteri orang.

“Ehem. Jauh sangat dah awak mengelamun ni,” kata seseorang itu lagi.

Miyn membetulkan duduknya.

“Iya. Ada apa yang boleh saya bantu?” Sarkastik sangat.

“Ada. Boleh saya duduk sini?”

“Tempat tu bukan saya punya,” balas Miyn sambil matanya ditala ke hadapan, menghadap pokok-pokok kelapa juga laut.

Lelaki itu tergelak kecil. Entah apa yang lawak pun Miyn tidak tahu. Dia tengah sibuk fikir macam mana hendak mengundurkan diri saja ni. Malas berlama di sini, berdua pula entah dengan sesiapa pun dia tidak kenal. Buatnya Qail nampak mereka, timbul fitnah pula nanti. Malaslah dia nak bergaduh dengan Chief Inspector Uqail tu. Sudahlah suami dia yang satu itu tak datang pujuk dia pun. Lelaki entah-sesiapa ni pula sibuk dok pandang-pandang dia.

“Seorang aje ke?” Lelaki itu sekadar berbasa-basi. Bukannya dia tidak nampak yang Miyn hanya seorang diri di situ.

“Buta ke?” sela Miyn selamba.

“Amboi, cantiknya bahasa. Saya tanya cik elok-elok ni,” Hilang sudah senyuman di bibir lelaki itu.

“Sebab encik tanya soalan yang dah tentu-tentu ada jawapannya. Saya tak perlu jawab pun rasanya,” tukas Miyn. Rimas pula dia.

“Sombongnya,” kata lelaki itu. Masih tidak berputus asa.

Diam. Tiada lagi balasan. Itu tandanya Miyn sudah malas melayan. Biarlah lelaki mahu memerlinya atau apa-apalah. Lebih baik dia beredar dari sini. Ke spa mungkin.

“Dia dengan saya,” Mendengarkan suara itu, Miyn pantas menoleh ke kirinya. Yes! Superman dia dah sampai. Terasa nak meloncat pula.

Lelaki itu bingkas berdiri.

“Maaf. Saya ingat cik ni seorang sebab saya tanya tadi dia tak jawab,” Ayat lepaskan diri nampak.

Miyn sengih sungging.

“Sekarang dah terjawab, kan? Jadi, bolehlah tinggalkan kami berdua,” Qail masih bertutur sopan. Tak kuasa dia mahu mencari gaduh dengan lelaki yang tidak dikenalinya itu.

“Ba… baiklah. Maaf sekali lagi,” Sepantasnya dia melangkah meninggalkan pasangan itu. Tadi bukan main berani lagi dia mengacau Aimina. Tiba-tiba menikus pula.

Qail duduk di kerusi di sebelah Miyn, nafas dihela. Andai dia tidak tergerak untuk mencari Miyn tadi, entah apalah yang lelaki itu lakukan pada isterinya itu. Memang dia yakin Miyn boleh handle tapi apabila memikirkan kata-kata Miyn tadi, dia jadi risau. Buatnya Miyn betul-betul keluar-tanpa-black-beltnya tadi macam mana?

“Kenapa datang sini pulak? Dah habis ke kerja-kerja awak tu?” tembak Miyn sambil berdiri. Terasa canggung pula dia mahu menghadap suami-super-busy dia itu.

Tangan kanan Qail menarik tangan kiri Miyn ketika isterinya itu mahu membuka langkah. Menahan dari kaki itu melangkah pergi darinya.

“Miyn…”

“Apa?”

“Okey. Saya minta maaf,” ucap Qail perlahan. Namun, masih mampu didengari oleh Miyn. “Tuan Afnan minta saya siapkan laporan pasal kes rompak hari tu. Urgent. Takkanlah saya nak menolak pulak,” jelas Qail.

Miyn mematikan bebola matanya, direnung Qail yang bersungguh meminta maaf.

“Bukannya Tuan Afnan tu tak tahu yang awak tu tengah bercuti. Dah kenapa pulak awak yang kena siapkan laporan tu? Bukannya tak ada orang lain boleh buat,” Dilempiaskan geram pada suaminya itu.

Qail angkat bahu.

“Tapi… boleh pulak awak cipta sejuta alasan untuk menolak permintaan Tok Aki, kan? Ish, tak fahamlah saya,” Ditarik tangannya kuat. Tanpa berlengah dia membawa langkah meninggalkan Qail di situ.

Biar.

Dia bukanlah nak marahkan Qail sangat pun. Cuma, emosinya terbawa-bawa pula apabila lelaki itu memberitahu arahan Tuan Afnan yang dianggapnya tidak professional. Masakan orang bawahannya sedang berbulan madu diarahnya untuk menyiapkan laporan. Kes rompakan itu pun bukanlah kes besar sampai Qail sendiri kena uruskan.

Huh!

Qail yang masih berdiri di situ hanya memandang sahaja susuk tubuh isterinya hilang dari pandangan. Bala. Tiba-tiba sahaja akalnya membezakan Miyn, orang bawahannya dan Miyn, isterinya. Seperti dua orang yang berbeza walaupun hakikatnya mereka adalah orang yang sama.

Inspector Aimina, seorang yang sangat ceria. Teliti. Mudah untuk difahami dan mudah dibawa berbincang. Dia bukan seorang yang mengambil tahu hal yang remeh temeh melainkan hal itu berkait rapatnya. Tahap pemikiran juga matang dan kadang-kadang membuatkan Qail yakin dan percaya untuk bekerja bersama.

Mrs Uqail?

Degil. Degil. Degil. Hanya itu sahajalah yang mampu Qail simpulkan setakat ini.

Digelengkan kepala perlahan sebelum berlalu meninggalkan kolam renang yang kosong itu. Mungkin masih awal, pengunjung juga bersiar di tempat lain.

Kala itu, ada mata yang sedang melihat tingkahlaku mereka, Qail dan Miyn. Tersembunyi senyuman nakal disebalik mata yang bersinar itu. Dan terselit berjuta perancangan di dalam kepala. Diselak rambut yang menutup sebelah matanya ke belakang. Berbulan madu? Senyum sinis kini terlakar di bibir.



3 comments:

  1. Yoooo pearl jr ke nii? Lame tak muncul. Keep it up girl. Rindu nk bace ur story.

    ReplyDelete
  2. Lama menyepi....good intro girl....

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete