PAGI-pagi lagi, Miyn sudah menempel di kubikel
sahabat baiknya. Bukannya apa, hanya mahu mengetahui tentang kes terbaru mereka
sahaja. Kira baguslah cipta alasan sebegitu. Maklumlah lama juga dia bercuti.
Ceh, gaya macam sebulan aje dia meninggalkan kerjanya. Walhal, cuma seminggu
sahaja. Itupun cuti tak macam cuti saja.
“Haih, awal pulak kau datang. Suami kau mana?”
tegur Adda.
Miyn tayang muka
tak-kuasa-nak-menjawab-soalan-itu. Dilabuhkan punggung di kerusi kosong milik
rakan sejabat mereka yang masih belum tiba, bersebelahan dengan meja Adda.
“Amboi, suami aku jugak yang kau tanya ya. Apa
lagi kau nak tahu? Syok tak honeymoon?
Best tak bercuti dengan suami?”
tembak Miyn sambil menjeling Adda. Adda sengih. Alahai, minah comel ni. Tarik
jugak hidung mancung tu karang.
“Cemburulah tu. Tanya ajelah. Iya la, kalau aku
jadi kaulah kan. Confirm aku jalan
sesama dengan suami aku tu, bangga weh,” selamba sahaja Adda membalas.
Miyn mencebik.
“Itu kau, bukan aku. Tapi, kalaulah si tegap tu
suami kau. Hmmm…” Jeda. Adda menjegilkan matanya. “Takkanlah dia nak jalan
sesama dengan aku, dah dia suami kau kan,” Erk. Pening kepala fikir ayat si
Miyn ni.
Adda cubit peha Miyn perlahan. Bab-bab putar
belit ayat, bagi Miynlah. Habis semua ayatnya diputar dengan mesin mulut dia
itu.
“Ehem…” Suara deheman menyedarkan Miyn dan Adda
yang sedang rancak berbual itu. Adda bangun, tanda hormat akan orang atasannya.
Miyn pula, selamba sahaja dia duduk.
Walaupun dia tahu, lagak dia itu sangatlah tidak
professional. Entah kenapa berat pula dia mahu bangkit ketika ini. Dan dia juga
tahu, Chief Inspector Uqail mesti tak kisah pun.
“Maaf, tuan. Biasalah, lama sangat tak jumpa Miyn
ni. Kan, Miyn?” Adda kenyitkan mata pada Miyn agar mengiyakan sahaja. Tidak
mahu dimarahi kerana berbual ketika sedang bertugas.
“Ya…”
Qail pandang Miyn sekilas. Amboi, mentang-mentang
ketua dia dah naik pangkat jadi suami… dia boleh buat tak heran kat situ.
Agaknya punggung dah tergam di kerusi itu. Bertuah.
“Kita ada kes baru. Masuk bilik meeting, sekarang!” tegas suara garau
itu memberi arahan. Miyn berdecit. Masih teguh di situ.
“Hah, apa tunggu lagi tu?” sergah si orang atasan
tiba-tiba.
Kelam kabut Adda dibuatnya.
Miyn menjeling. Ingatkan dah masuk tadi. Heh!
“Miyn, jom la. Tak pasal kena lagi nanti,” Adda
capai buku catatan dan juga pennya. Miyn? Statik di tempat duduknya. “Nur
Aimina, jom!” jerit Adda di telinga Miyn. Rasakan. Degil lagi.
*****
TUBUH yang penat dek seharian ke hulu ke hilir kerana
menguruskan kes terbaru selepas bercuti, dihempas ke sofa. Lega.
Malas dia hendak berjalan naik ke bilik. Penat
yang teramat dah ni. Hendak angkat tangan pun, berat semacam. Itulah padahnya
bila kembali bekerja selepas bercuti. Kerjanya bukan main melambak lagi.
“Kot iya pun penat, tutuplah pintu. Kalau ada
pencuri ke penjahat ke masuk tadi, tak pepasal aje jadi mangsa. Awak tu
perempuan. Lain kali, pastikan tutup pintu dulu,” bebel satu suara di pintu apartment. Tegas.
Miyn berpaling ke kirinya. Qail sedang
memandangnya, tajam. Hairan apa dia pintu tutup atau tidak. Tetapi, cepat pula
suami dia ni balik. Tadi ketika dia tengah bersiap nak pulang ke rumah, lelaki
itu masih lagi sibuk berbincang dengan Tuan Afnan. Jangan pasal kes baru
sudahlah. Hesh.
“Hakikatnya, tak ada kan,” Qail mendecit. Ada sahaja
alasan Aimina mahu membangkang cakapnya. Kadang-kadang mahu sahaja dia tapekan bibir itu. Biar jadi isteri
solehah sikit, dengar cakap suami.
Dia tidak tahu yang Miyn sedang merencanakan
sesuatu ketika ini. Sungguh Miyn malas bergerak saat ini. Aci tak kalau dia
suruh Qail dukung dia naik atas. Sengih sinis kelihatan di wajah Miyn.
Hampeh! Ingat dia berani tahap buaya ke apa nak
buat permintaan macam tu. Hish, ngeri. Buatnya Qail tayang muka
Chief-Inspector-Uqail dia tu, kecut juga nanti.
Lupakan saja, Nur Aimina. Takkan dapat punyalah.
Dulu sebelum berkahwin, boleh pula dia masuk
rumah pintu tutup sendiri. Walaupun penat, tidak pula dia mengadu seperti
sekarang ini. Reti pula dia mandi sebaik tiba di rumah. Mahu kata Qail
memanjakan dia, jauh sekali. Tidur pun bilik asing-asing, bukan atas alasan
mereka kahwin kerana pilihan keluarga ya. Tetapi, buat masa ini mereka mahu
berikan masa untuk diri masing-masing.
“Apa lagi yang mengelamun tu? Pergi naik, mandi.
Solat. Dah lewat ni,” Tudia, Chief-Inspector-Uqail sudah bersuara.
Kelam kabut Miyn berlari naik ke biliknya. Qail
hanya menggelengkan kepala sambil menutup pintu rumah. dikunci terus. Akur pula
gadis itu akan arahan ala-ala polis garang itu.
*****
WAJAH tegang Qail berjaya menarik minat Miyn. Entah
kes apa pulalah yang mereka dapat kali ini. Jarang ketuanya itu kelihatan stres
sebegitu. Kes-kes yang sebelum ini juga kebanyakan berat dan memerlukan
perhatian tinggi, namun Qail tidak pula setegang itu.
Whiteboard kosong dipandang Qail sepi. Tiada tanda untuk
dicoret. Fail ditangannya juga seakan membeku.
Anak-anak buahnya juga sudah berpandangan sesama
sendiri. Adda jeling Miyn sambil matanya seakan menyoal rakan sekerjanya itu.
Miyn angkat bahu. Dia sendiri juga tidak tahu apa-apa. Apa dia ingat Chief
Inspector Uqail baik sangatlah nak berbincang hal kerja kat rumah? Kirim salam.
“Okey,” Qail memalingkan badannya. Dipandang
anak-anak buahnya satu persatu. “Untuk tugasan kali ni, saya tak mengharapkan
komitmen anggota-anggota yang keberatan untuk bertugas. Saya bagi dua pilihan.
Pertama, saya hantar kamu untuk handle
kes lain. Kedua, kamu ikut dalam kes baru ni tapi bersyarat,” jelas Qail sekali
lafaz.
Itupun setelah habis fikir.
“Apa maksud tuan?” soal Umar, Inspektor Umar.
“Begini. Emmm…” Sekali lagi Qail kehilangan kata.
Miyn pandang Qail, tepat. Kes terbaru mereka ini
pasti sangat merbahaya. Masakan seorang Chief Inspector yang tegas berkelakuan
sebegini melainkan dia memikirkan kebajikan orang bawahannya. Namun, tugas
mereka adalah untuk menjaga keamanan negara. Jadi, wajib untuk mereka
menjalankan tugas itu sebaik yang mungkin. Sudah diterapkan bagi penjaga
keamanan agar tetap bersedia walau apa jua cabaran yang datang.
“Kenapa ni, tuan?” Adda pula menyoal. Tidak sabar
pula dia mahu mengetahuinya.
Qail menghela nafas perlahan.
“Kenal Datuk Tan?” Enam anggota bawahan Qail yang
berada di bilik mesyuarat itu mengangguk serentak.
Siapa yang tidak kenal Datuk Tan Abdullah?
Seorang muallaf yang amat dihormati dan disegani kerana budi serta sifat
pemurahnya. Beliau juga banyak menaja program-program keagamaan dan juga
memberi bantuan kepada rumah-rumah kebajikan di Malaysia. Sifatnya yang mudah
bergaul, ceria dan peramah itu memang membuatkan semua orang senang untuk
mendekatinya.
“Mulai minggu depan, unit kita akan terlibat
dalam penyiasatan kehilangan anak beliau. Maklumat terkini yang saya dapat, kes
ini berkait rapat dengan unsolved case
kita dua tahun lepas. Disebabkan kes tersebut, kita kehilangan tiga orang
anggota polis dari unit ini. Jadi, Tuan Afnan minta saya biarkan kamu semua
buat keputusan sendiri. Sama ada mahu menyertai operasi kali ini atau tidak,”
Qail melepaskan keluhan perlahan.
Lega apabila sudah menjelaskan kedudukan sebenar
kes terbaru mereka ini. Dia mula menulis sesuatu di whiteboard.
Keadaan hingar sebentar. Masing-masing mula
meneliti kembali setiap inci kes dua tahun lepas. Miyn sahaja kelihatan
bersahaja. Dia menconteng buku notanya. Dipandang rakan-rakan sekerjanya
seketika. Sepertinya mereka seakan mahu menyertai kes ini memandangkan tiga
anggota polis di unit mereka yang terkorban itu adalah sahabat mereka sendiri.
Pastinya mereka mahu mencari dalang disebalik unsolved case itu.
Dia?
Adda toleh ke sebelah kanannya. “Kau dah kenapa?
Nak join tak?” Miyn sengih. Matanya tertala
pada Qail. Adda tayang muka sengal dia. Lupa pula yang si Miyn ni sudah
bersuami, tentulah setiap keputusan perlukan bersetujuan dari suaminya.
Tetapi, bukan itu yang membuatkan Miyn beranjak
dari kes tersebut.
“Kamu semua bincang dan fikirlah. Saya bagi masa
sampai esok pagi. Siapa yang tidak mahu menyertai, boleh ke unit jenayah siber.
Saya dah rangkakan tentang kes kali ni di whiteboard.
Boleh rujuk. Saya keluar dulu,” Qail mengemaskan fail dan buku notanya. “Miyn,
ikut saya,” suruh Qail sebelum beredar.
Adda usap bahu Miyn lembut. Seakan tahu apa yang
akan berlaku pada sahabatnya itu.
“Kau ikutlah apa yang Tuan Uqail cakap. Dia mesti
buat keputusan untuk kebaikan kau,” nasihat Umar yang sedar akan mendung
diwajah rakan sekerjanya itu.
“Aku tahulah…”
Dengan malasnya dia bergerak ke bilik Qail. Dia tahu
lelaki itu sudah punya perancangan untuknya. Cuma, dia sangat berharap ketuanya
tidak berat sebelah kerana status mereka sekarang ini. Dan dia juga tahu Qail
sangat professional jika hal itu berkaitan dengan kerja.
*****
FOKUS Qail pada skrin laptop, anak buahnya yang sabar
menunggu bicaranya dibiarkan seketika. Miyn mengambil peluang itu menilik ruang
bilik suaminya itu, sentiasa kemas dan teratur.
“Maafkan saya, Puan Aimina,” ucap Qail sambil
menutup laptopnya. Kini pandangannya tepat pada anak mata Miyn yang turut
memandangnya.
Bebola mata Miyn bergerak sedikit, dia senyum
nipis. Sudah mengagak dia takkan dapat menyertai team mereka kali ini.
“Okey,” jawab Miyn perlahan. Malas dia menyoal
lebih-lebih. Sekuat mana pun dia membangkang keputusan Qail, dia pasti kalah.
Lebih baik dia mengiyakan sahaja.
Qail yang duduk tegak itu mula menyandarkan
tubuhnya ke kerusi. Sebuah keluhan kecil dilepaskan. Dia faham, Miyn pasti
ingin turut menyertai kes kali ini. Namun, arahan dari pihak atasan diluar
kuasa dia.
“Tak baik mengeluh. It’s okay. Mungkin bukan rezeki,” Tipulah kau, Aimina! Kau memang
teringin nak join operasi ni.
“No, you
are not okay. I knew it. Tapi, ini yang terbaik. Saya bukan lakukan ini
kerana awak adalah isteri saya. Saya harap awak faham,” Miyn angkat kening.
“Habis tu, atas alasan apa tuan buat keputusan ni
untuk saya?”
Diam.
“Chief Inspector Uqail, saya berharap sangat awak
tak berat sebelah. Okey, saya terima keputusan tuan untuk tak libatkan saya.
Tapi, saya masih perlukan alasan yang kukuh kenapa saya dikecualikan,” ujar
Miyn serius.
Riak wajah tampan Qail juga serius.
“Dengar apa yang saya nak cakap. Awak bukan sahaja
dikecualikan untuk kes Datuk Tan, tetapi untuk semua kes di unit jenayah berat
ni,” Miyn tersandar.
Rasanya dia sudah mengetahui apa maksud Qail. Sedari
awal lagi dia sudah mengerti dan dia sendiri sedia maklum akan sebab musabab
dia ditukarkan ke unit lain.
“Baiklah. Ke unit mana saya dihantar?”
“Cyber
crime…”
Dah agak dah. Itulah tujuan Qail menyebut Unit
Jenayah Siber ketika meeting tadi. Rupanya…
“Okey.”
Miyn pantas meninggalkan bilik Qail, kembali ke
kubikelnya. Dia perlu mengemas barang-barangnya. Namun, dia masih duduk di
tempatnya. Menunggu rakan-rakan sekerjanya. Walaupun dia sudah tidak bersama
mereka, segala memori di unit itu takkan dia lupa. Terkilan juga hatinya kerana
tidak dapat menyertai operasi kali ini. Harapannya operasi ini berjaya dan
semua yang terlibat selamat. Semoga tiada lagi korban nyawa.
*****
AKSI
pasangan dihadapannya itu membuatkan dia terasa mahu memuntahkan isi perutnya.
Mual pula tekaknya melihat adegan itu. Akal jahatnya mula menerpa. Namun
ditepis, takut jatuh hukum fitnah pula. Tidak mahulah dia menanggung dosa
memfitnah orang. Fikir yang baik-baik saja.
Mata
melirik pada jam di tangan kiri. Lambat benar masa berlalu. Bayang Qail tidak
pula menjengah. Padahal, sudah dipesan agar si suami pulang awal.
“Miyn.
Sorry,” Berombak dada Qail. Dia duduk di sebelah Miyn sambil membetulkan pernafasannya.
Penat dek berlarian tadi.
Si
isteri diam. Ditoleh ke kiri sejenak. Gadis itu sedang merenungnya tanpa riak.
Kosong.
“Kenapa?”
soalnya hairan.
“Awak
lari ni sebab saya ke?” Soalan itu terpacul dari bibir Miyn. Apa tidaknya,
sempat lagi ucap kata maaf walaupun diri tercungap-cungap.
Mungkin
juga dia sedang bermimpi.
“Iyalah,
sebab awak,” Qail sudah kembali tenang. Hilang terus penatnya dek soalan Miyn
itu.
Terpaksa
dia akui, dia sememangnya risau andai kelewatan dia membuatkan Miyn bengang.
Iyalah, tadi bukan main lagi dia berjanji mahu keluar awal. Ini dia lewat
bukannya lima minit atau sepuluh minit tetapi hampir dua jam. Sangkanya Miyn
sudah pulang ke rumah kerana penat menanti dia.
“Terima
kasih. Tapi, kenapa awak lambat?”
“Tuan
Afnan buat panggil meeting tadi. Handphone
tertinggal kat bilik ofis pulak nak text
awak,” jelas Qail bersungguh.
Miyn
tergelak kecil.
“Okey.
Saya terima alasan awak tu. Jomlah. Nanti tiket habis pula. Sia-sia aje,” kata
Miyn sambil tangannya selamba memeluk lengan Qail. Mahu membeli tiket terlebih
dahulu, dia risau Qail tiba-tiba membatalkan pula temu janji mereka. Rugi.
Qail
senyum nipis, hampir saja tidak nampak senyuman itu.
Mereka
beriringan ke kaunter tiket. Filem yang masih dalam senarai top search di google itu dibeli. Buat
pertama kalinya mereka menonton wayang bersama. Tautan tangan mereka masih
tidak terputus. Qail mengalihkan mata ke dada iPhonenya yang diangkat separas
dada.
“Tok
Aki ke yang hantar?” Mata Miyn juga turut berada di dada skrin gadget jenama Apple itu.
Qail
geleng.
“Takkanlah
Tok Aki nak intip kita. Kalau betullah, dia takkan upah orang. Yaya pun boleh
jadi pengintip,” ulas Qail. Yaya, adik perempuannya lebih cekap dalam dunia
pengintipan jika hendak dibandingkan dengan lelaki yang mengintip mereka itu.
Sedari
Qail tiba tadi lagi, ada seorang pengintip sibuk mengambil gambar mereka.
Mulanya mereka menyangka lelaki itu sekadar pelancong sahaja, ternyata pengintip
itu seakan mengekori mereka.
Miyn
angguk setuju.
“Tapi,
siapa aje yang nak intip kita?”
Qail
jongket bahu.
Malas
mahu memeningkan kepala, mereka melangkah ke hall 4. Keadaan sudah gelap
menandakan filem itu akan ditayangkan sebentar lagi.
*****
FOTO-foto
sepasang merpati dua sejoli berteraburan di atas meja. Dipandang tanpa
perasaan. Kemesraan itu sedikit sebanyak menggangu fikirannya. Dia cemburu. Pasangan
itu kelihatan mesra. Dan dia tidak mahu itu berlaku. Dia takkan benarkan lelaki
dan wanita itu bahagia, selagi dia masih hidup.
“Bos
nak saya intip gerak geri mereka lagi ke?”
Dia
jeling lelaki dihadapannya.
“Kau
ingat dua orang tu bodoh, tak perasan? Kau stop
dulu kerja-kerja kau tu,” Lelaki itu mengangguk. Faham akan arahan bosnya.
“Buat masa ni kau sembunyikan dulu diri kau. Jangan sampai Uqail jumpa kau.
Faham?” Dia angguk lagi.
Jari
telunjuk dia bergerak ke depan dan belakang. Menyuruh pengintip upahannya itu
beredar. Tanpa bunyi, lelaki itu meninggalkan biliknya.
“Untung
kau, Qail. Dapat bini yang setia macam Aimina. Tapi, aku tahu kau langsung tak
sayangkan bini kau tu. Aku kenal kau. Kau masih setia pada kakak aku. Olyn
sayang sangat pada kau. Cuma aku tak sangka, kau cuma nak main-mainkan dia
aje.”
Gambar-gambar
yang bergelimpangan di atas meja dia tikam bertalu-talu. Senyum dia sinis
sekali.
*****
MUKA
kacak itu basah dengan peluh. Kepalanya sekejap ke kanan, berpaling pula ke
kiri. Mulutnya seakan-akan sedang berbicara. Bahkan suara garaunya turut
menjerit seolah-olah dia dirasuk.
“Qail!”
panggil Miyn di sebalik pintu. Tangannya mengetuk pintu bilik suaminya itu.
“Qail!” jeritnya lagi. Namun masih tiada jawapan.
Tombol
dipulas. Dia hela nafas lega, pintu itu tidak berkunci.
Dia
melangkah mendekati Qail di katil. Lelaki itu seperti sedang berlari jauh.
Bukan setakat muka, badannya turut basah dengan peluh. Buktinya T-shirt tanpa lengan
berwarna hitam itu kelihatan basah.
Miyn
mengucap panjang. Mimpi apalah yang dialami Qail agaknya. Dia menapak naik ke
katil. Tangannya laju menepuk bahu kanan Qail.
“Qail,
bangun,” kejut Miyn perlahan sambil tangannya menampar lembut pipi si suami.
Tapak tangan kanan dilekapkan ke dahi Qail.
Dia
selalu tengok dalam cerita Korea, heroin sering melakukan itu ketika mahu
menenangkan hero yang sedang bermimpi buruk. Semoga sahaja ia berkesan pada
Qail. Tsk.
Seminit
kemudian, Qail bangun terduduk. Cuak juga Miyn, manalah tahu ada ‘benda’ di
dalam tubuh suaminya itu. Dia memberanikan diri menyentuh bahu Qail.
Dek
sentuhan itu, tangan kanan Miyn kini terkunci rapat dalam pegangan Qail. Mata
lelaki itu juga tajam merenung Miyn, langsung tiada mesra pada renungan itu.
“Qa…
Qail?”
“Astaghfirullah…”
Tangan Miyn dilepaskan. Qail menyapu mukanya.
Miyn
menjauhkan diri dari Qail, takut lelaki itu berniat untuk apa-apakan dia lagi.
Orang separuh sedar ini bukannya boleh dibuat main. Mungkin dia masih
terpengaruh dalam alam mimpi. Buatnya Qail menendangnya, tidak ke naya.
Nafas
Qail turun naik.
“Miyn?”
Dipandang Miyn di sisi. Dia tahu isterinya itu takut melihat situasinya ketika
ini. “Mimpi buruk,” kata Qail, menjelaskan keadaannya pada gadis itu.
Miyn
angguk laju.
“Tahu.
Awak okey ke ni?” tanya Miyn, risau. Gelengan Qail membuatkan dia serba salah.
Mahu beredar dari situ atau terus berada di sisi Qail.
Jauh
di sudut hatinya, dia mahu menenangkan lelaki itu.
“Saya
mimpi Olyn,” maklum Qail tanpa disoal. Diraup wajahnya lagi. Seraut wajah ayu
Olyn mengganggu lenanya.
“Awak
masih teringatkan dia?”
“Kadang-kadang.”
“Mimpi
ni kadang-kadang cuma mainan tidur. Awak sedekahlah apa-apa pada dia. Semoga
dia tenang kat sana,” ujar Miyn. Tangannya menggenggam erat lengan berotot Qail
itu. “Awak tidurlah,” Dilepaskan pegangan tangannya. Dia berura-ura mahu
kembali ke biliknya.
Tadi
dia terjaga dek terdengar jeritan Qail seperti orang hysteria. Risau pula dia
pada sang suami. Sebelum ini, ada juga Mama Chik mengadu anaknya itu kerap kali
menjerit di tengah malam. Bila ditanya, Qail tidak pula memberitahu. Malam ini
adalah kali pertama lelaki itu meracau sebegitu. Barangkali Qail ada memikirkan
arwah Olyn sebelum tidur tadi.
Qail
pantas menahan Miyn. Dia lelah sendiri.
“Temankan
saya,” Tidak berkelip Miyn memandang Qail yang separuh sedar itu. “Tolong,”
rayu Qail. Dia risau, mimpi tadi kembali lagi.
“Iyalah,”
setuju Miyn.
Qail
mengengsot ke kiri, memberi ruang pada Miyn untuk merebahkan diri. Terasa
tenang sedikit. Dadanya tidak lagi berombak seperti tadi. Miyn menggerakkan
kaki dia, ditolak sedikit kakinya ke atas. Bantal peluk yang tadinya di kaki
kini enak landing di dadanya.
Tangannya mengalihkan bantal itu, diletakkan di tengah-tengah. Biar ada
sempadan di antara dia dan Qail.
Terkejut
Qail akan tindakan spontan dan pantas itu. Sempat lagi Miyn memikirkan itu. Macamlah
dia kempunan sangat nak tidur bersama gadis itu. Heh!
Tqqqqqqqqqq ! Dah lama tunggu ! Best .π
ReplyDeleteCepat2 sambung....x sabar ni
ReplyDeleteAssalamuallaikum saya suka cerpen akak semua best
ReplyDeleteSambungla lagi sisπππ
ReplyDeleteSAMBUNG LAGI...
ReplyDeleteAkak saya mohon disambung legasi ni,best sangat...
ReplyDeleteSambung lagi ππ
ReplyDeleteAkak bila nk sambung....
ReplyDeleteSambung plz
ReplyDeletex de sambungan keππ
ReplyDelete