Friday 7 February 2014

Cerpen : Baby's Breath with Roses Love 8 (last)


Hujung minggu itu, Adam dan Airisy sampai juga di kampung Airisy di Kedah. Bukan main teruja lagi Adam kerana dapat melihat kehijauan sawah padi sepanjang perjalanan ke kampung Airisy. Selepas ini, selalulah nampak Adam bertempek di kampung itu. Sudah lama rasanya dia tidak merasai hidup di kampung.

“ Aniq tak balik sekali?” tanya Nek Fatimah, nenek Airisy.

“ Tak, nek. Aniq ikut papa dan mama pergi Bali,” jawab Airisy. Dia menghampiri suaminya di beranda. Asyik sangat suaminya itu melihat penduduk kampung mengerjakan sawah padi mereka.

“ Jauh menungnya, Adam,” Adam tersentak.

“ Seronok tengok sawah padi depan mata ni, nek. Sejuk aje mata ni,” balas Adam. Nek Fatimah tersenyum. Selalunya begitulah pendapat orang bandar yang masuk ke kampung. Kebanyakannya, mengatakan suasana di kampung lebih menenangkan jiwa.

“ Iyalah. Jangan sampai juling mata tu sudah,” Adam tersengih.

“ Bilanya nak cukur rambut baby tu, nek? Bukan hari ketiga dah kena cukur ke?” Airisy sedia maklum tentang itu kerana pernah terbaca di dalam buku nama-nama untuk bayi. Semuanya gara-gara Haris yang nak dia tolong pilihkan nama untuk anak di dalam kandungan Azie.

“ Esok kot. Orang yang cukur rambut tu ada hal sikit. Esok baru dia free,” Airisy hanya mengangguk sambil tersenyum melihat Adam yang masih ralit merenung sawah. Kebetulan, sekarang ni musim padi sedang kehijauan.



“ Suka sangat ke datang sini, abang?” soal Airisy kepada Adam ketika mereka di dalam bilik.

“ Suka. Feel fresh. Kita balik sini selalu boleh tak?”

“ Eh, kenapa tanya Airisy? Abangkan suami. Isteri ikut aje suami pergi mana. Lagipun, Airisy kan jobless. Boleh aje nak ikut abang pergi mana pun,” Adam tersenyum. Dia suka mendengar celoteh sopan isterinya.

“ Tak apa. Nanti abang stress aje dengan kerja, kita balik sini. Tak pun, kita bina aje rumah kat sini,” Airisy angkat kening. Dia mendekati Adam di tepi tingkap bilik. Suaminya itu masih leka dan belum puas menatap sawah yang menghijau itu. Sejak mereka tiba tadi lagi, suaminya memandang ke arah sawah padi.

“ Amboi, abang cakap macam rumah walid dans ummi kat sebelah tu aje. Jauh tau nak balik sini. Sanggup ke nak drive lama-lama? Kang ada yang mengadu sakit pingganglah, lenguh badanlah. Airisy tak nak ambil tahu,” bebel Airisy.

“ Sayang, kita baliklah naik flight. Kan senang. Tak nak seribu dalih, nak seribu daya,” Airisy memcebik. Adam kalau dah katanya nak, maknanya harus kena cuba dapatkan.

“ Iyalah. Ikut suka abanglah. Airisy lagi suka dapat balik kampung selalu. Boleh jumpa sepupu-sepupu Airisy,” Adam senyum. Dia sudah mula jatuh cinta dengan suasana di kampung ini.

“ Abang tahu. Abang dengar mummy dengan daddy nak bawa abang Ammar balik sini. Betul ke?”

Airisy melabuhkan punggung di birai katil. Adam perasan wajah isterinya yang sudah berubah itu. Dia sebagai suami bertanggungjawab untuk menasihati dan membetulkan hubungan isterinya dan keluarga mertuanya. Dibawa langkah ke katil dan duduk di sebelah Airisy. Adam menarik tangan kanan Airisy. Digenggam erat jari jemari itu.

“ Sayang, sejauh mana pun sayang lari… dia orang tetap keluarga kandung sayang kan. Takkan pernah berubah. Airisy tak suka dia orang nak balik sini?” Airisy menggeleng.

“ Bukannya tak suka, abang. Cuma, Airisy tak tahu macam mana nak berhadapan dengan mummy, daddy… dan abang Ammar. They hurt me a lot. Actually, jauh di sudut hati Airisy… nak sangat dia orang beri peluang untuk menyayangi Airisy. Airisy teringin sangat nak hidup secara normal dengan keluarga kandung Airisy,” Adam menarik isterinya ke dalam pelukan. Disapu air mata yang jatuh di pipi Airisy.

Setiap kali hal itu dibangkitkan, pasti air mata Airisy akan mengalir. Sedangkan jika hal yang menyentuh perasaan lain, Airisy hanya kelihatan biasa. Adam tahu isterinya amat rindukan hubungan rapatnya dengan Ammar. Tambahan pula, mereka sememangnya rapat. Peristiwa kemalangan yang berlaku itu seolah-olah telah memisahkan hubungan baik mereka.

“ Insya Allah. Semuanya akan baik. Sayang berdoa banyak-banyak. Selalunya, jika kita rindukan seseorang tu, bermakna orang itu akan turut merindui kita. Abang tahu, keluarga Airisy pun rindukan anak perempuan mereka ni,” ujar Adam lembut. Airisy tersenyum. Tenang hatinya mendengar ujaran suaminya.



Keesokannya, keluarga Tan Sri Haji Qasyaf Malik tiba di kampung. Airisy menyembunyikan diri di dalam bilik sementara Adam mewakilkan diri menjemput keluarga mertuanya. Bukannya mereka tidak kenal, malah bapa mertuanya memang menerima Adam dengan hati terbuka. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui Adam juga merupakan ahli perniagaan sepertinya. Semakin meluaslah topik perbualan mereka.

“ Mari naik, Malik, Ani, Ammar,” ajak Nek Fatimah. Sudah lama juga dia tidak bertemu dengan anak lelakinya itu. Kali terakhir mereka bertemu ketika majlis perkahwinan Airisy dan Adam. Itu pun hanya sekejap kerana anak lelakinya ada hal penting yang perlu diuruskan.

“ Lamanya tak balik kampung. Tapi, semuanya tetap sama,” kata Haji Qasyaf sambil matanya meliar ke sekeliling rumah.

“ Ha’ah. Tak berbeza langsung,” sokong Hajah Amani.

“ Nak berbeza kat mana sangat. Ini kira okeylah, bukan musim hujan. Musim hujan memang payah nak keluar rumah. Kalau boleh, nak duduk ja atas katil selubung selimut,” balas Nek Fatimah.

Adam memerhatikan Ammar yang sedari tadi hanya diam sahaja. Kacak juga abang iparnya. Mengikut kata Airisy, Ammar tua dua tahun darinya. Maksudnya, Ammar sudah berusia tiga puluh tahun. Tapi, mahal juga suara itu ingin dikeluarkan. Sehinggakan dia langsung tidak menegur Nek Fatimah, neneknya sendiri. Wajah itu langsung tidak menunjukkan riak.

“ Ayah mana, mak?”

“ Pergi pekan sekejap dengan Azman. Ada barang yang tak cukup untuk kenduri kesyukuran malam ni,” beritahu Nek Fatimah.

“ Mana babynya, mak?” soal Hajah Amani. Nek Fatimah menggelengkan kepala seketika.

“ Mak kecewa dengan kamu,” Nek Fatimah terus berlalu masuk ke dalam. Dia membawa langkah ke dapur.

Mereka yang berada di situ terpinga. Apa salah Hajah Amani? Dia cuma ingin mengetahui tentang cucu saudara mereka sahaja. Adam tersenyum memandang kedua mertuanya. Pasti Nek Fatimah kecewa kerana mereka tidak langsung bertanya tentang Airisy.

“ Ammar nak pergi sawah,” kata Ammar sebelum berlalu. Nada suaranya kosong tanpa perasaan. Mungkin dia menghidap penyakit murung, teka Adam.

“ Saya salah tanya ke, bang?” Hajah Amani bertanya kepada Haji Malik. Haji Malik menggeleng. Dia sendiri tidak tahu.

“ Mummy, daddy, masuklah dulu. Rehatkan badan. Nanti kita makan tengah hari sama,” Adam bersuara.

Serentak itu mereka merenung Adam. Patutlah Nek Fatimah marah.

“ Iyalah. Airisy mana, Adam?”

“ Ada dalam bilik, daddy. Penat sangat tolong nenek masak tadi,” jawab Adam bersahaja. Tidak mahu mertuanya menghidu keresahan Airisy ingin bertemu dengan mereka.

“ Tak apalah. Bukannya besar pun rumah ni. Nanti berselisih jugak,” Haji Malik bagai dapat mengagak kenapa Airisy tidak menyambut mereka. Mereka bertiga berlalu ke dalam rumah.



Setelah meminta keizinan Adam, Airisy melangkah ke pinggir sawah. Ammar sedang berpeluk tubuh sambil merenung jauh. Sehinggakan Airisy berdiri di sebelah pun dia tidak sedar. Airisy mengambil peluang itu untuk menatap wajah yang dirinduinya. Semakin susut tubuh itu. Riak wajah kelihatan serabut. Namun, Ammar masih segak dan penampilannya kemas. Sejak kecil lagi Ammar akan memastikan dirinya kemas sebelum melangkah keluar dari rumah.

“ Ehem,” Ammar tersedar. Pandangan tajam dihadiahkan kepada adik perempuannya. “ Airisy tak takut pun dengan pandangan along tu. Macam tak biasa. Nak jugak along balik sini kan?”

“ Huh, kenapa kalau aku balik pun?”

“ Nothing. Cuma, Airisy terkejut. Along dah berubah. Tapi, satu aje yang tak pernah berubah,” Airisy berjeda. Dihela nafasnya. “ Kita tetap adik beradik. Dunia dan akhirat,” sambung Airisy.

Ammar merengus.

“ Adik beradik? Pernah tak kau fikir pasal adik beradik masa fitnah aku dulu?”

Airisy tersentak. Fitnah apa pula dah ni?

“ Airisy fitnah apa? Apa maksud along? Airisy tak faham,” Sesungguh Airisy langsung tidak tahu hujung pangkalnya perkara yang dimaksudkan oleh Ammar.

“ Kau jangan buat-buat tak tahu. Apa yang kau cakap dekat arwah Aqila sebelum kami kemalangan?”

Airisy senyum sinis.

“ Airisy cakap, dia tak layak jadi kakak ipar Airisy dan mama untuk Aniq,” kata Airisy yakin. Dia masih ingat lagi setiap patah kata yang keluar dari bibirnya kepada arwah Aqila. Semuanya kerana dia benci sikap sombong arwah Aqila.

“ Along, listen to me. Airisy tak nak ungkit lagi cerita lama. Airisy tak tahu apa yang arwah dah cerita dekat along. Tapi, kalau boleh Airisy tak mahu nak buka cerita orang yang dah tiada. Cuma, Airisy nak betulkan kenyataan sebenar,” Ammar mendengus. Ingin sahaja dia melangkah pergi, namun hatinya membuak-buak untuk mengetahui hal yang sebenar.

“ Airisy tak pernah fitnah along. Aniq berhak dapat mama yang jauh lebih layak dari arwah. Along selalu busy sampaikan Aniq terabai. Along tak pernah fikir pun Aniq suka atau tidak dengan calon isteri along. Along ingat Airisy nak ke bergaduh dengan along? Buka mata, buka hati. Semoga along boleh bezakan yang mana permata, yang mana kaca,” Airisy puas. Dia sudah meluahkan segala rasa di hatinya. Kini, terpulang kepada Ammar untuk menilainya.

Airisy meninggalkan Ammar sendirian. Biar alongnya memikirkan setiap kata-katanya tadi. Ada lagi insan yang menunggu kehadiran Ammar di dalam hidupnya. Anis! Kebetulan Anis merupakan bekas kekasih Ammar. Dia ditinggalkan setelah Ammar bertemu dengan ibu Aniq. Namun, Anis tidak mengambil hati. Dia lebih bersikap positif. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Patutlah Anis tersipu-sipu ketika Ammar singgah di cafenya bersama Airisy. Ketika itu, Airisy tak tahu lagi hubungan di antara Ammar dan Anis.



Adam menghampiri Airisy di beranda.

“ Sayang, fikir apa?”

“ Tak ada fikir apa pun. Airisy tengah usha along kat sana tu,” jawab Airisy. Matanya ditala ke sawah.

“ Airisy dah jumpa along?” Airisy mengangguk laju. “ Dah tu kenapa muka sweety abang ni monyok? Sepatutnya dah lega sebab along dah boleh bersemuka dengan Airisy,” Airisy mengerutkan hidungnya. Dipeluk lengan Adam yang ditampan di benteng beranda.

“ Ahah, tapi ada benda yang Airisy tak tahu rupanya. Ada salah faham sikit antara Airisy dengan along. Tapi, tak eloklah Airisy ungkitkan lagi. Orang tu dah tak ada. Airisy harap sangat along berubah balik, macam dulu-dulu…”
“ Insya Allah. Jom masuk. Sekarang, abang sebagai suami Airisy Danielle Binti Qasyaf Malik nak sayang pergi jumpa mummy dan daddy. Dia orang ada kat dapur,” Airisy menarik muka. Dia belum bersedia!

“ Nantilah…”

“ No! Abang nak Airisy pergi sekarang. No excuses. Airisy sayang abang, Airisy pergi dapur. Kalau tak, jangan harap abang nak bagi muka kat Airisy lagi,” ugut Adam. “ Berdosa tau tak ikut cakap suami,” sambung Adam lagi.

Airisy berdiri statik. Raut wajahnya dibiarkan tanpa perasaan. Adam tergamam. Ada butiran permata sedang turun laju di pipi gebu Airisy. Haish, aku silap cakap ke? Gumam Adam sendiri. Bukannya dia suruh isterinya terjun laut. Suruh pergi dapur, jumpa ibu bapa sendiri saja.

“ Airisy. Hey, kenapa menangis ni?” Adam cuak juga sebenarnya. Kelam kabut dia menyapu air mata itu.

“ Tahu pun cuak,” Tiba-tiba si isteri ketawa. Suami pula hanya terdiam. “ Airisy usik abang ajelah. Airisy nak bersin tapi tak jadi. Itu yang keluar air mata. Apalah abang ni?”

Adam menghembuskan nafas kelegaan.

“ Haih, sayang ni. Lain kali jangan buat lagi,” Airisy ketawa. Kadangkala bergurau senda begini, boleh juga merapatkan mereka.

“ Sorry. Jomlah pergi dapur,” Adam mencuit hidung Airisy. Memang isterinya ini menurut kata. Mereka beriringan ke dapur.

Ammar yang melihat dari jauh mengukir senyuman kecil. Lega hatinya melihat satu-satunya adiknya itu bahagia. Dia nekad untuk membetulkan hubungan mereka. Tidak mahu kerana hal kecil, memporak perandakan lagi hubungan akrab mereka itu.


Setahun enam bulan kemudian

Adam dan Airisy mengadakan kenduri kesyukuran di rumah baru mereka. Setelah Airisy selesai berpantang, Adam membawa kedua orang kesayangannya berpindah ke rumah baru. Kejutan kata Adam. Sebelum ini, dia tak pernah membuka isu mengenai rumah sendiri dengan Airisy. Nasib baiklah, keluarga keduanya menerima baik tentang itu.

“ Bila Adam nak bawa Airisy dan si comel bulat ni balik New York?”

Adam senyum. Alhamdulillah, hubungan Airisy dan keluarganaya kembali jernih. Ammar juga sudah berubah. Sikapnya sudah seperti dulu. Ceria dan seorang yang bertanggungjawab.

“ Insya Allah, bulan depan kot, daddy. Adam ada hal business kat sana tiga hari. Alang-alang tu bolehlah Adam bawa Airisy dan Affan balik rumah daddy,” ujar Adam. Tangannya sibuk mengusik anak sulungnya dan Airisy di pangkuan atuknya.

“ Iyalah. Nanti suruh Airisy temankan Adam pergi tempat kesukaan dia. Setiap hujung minggu, kat situlah dia memerap. Daddy tak menyesal upah bodyguard untuk Airisy. Adam tahulah kat sana, macam-macam boleh jadi. Tambah pula, Airisy masih muda masa tu. Lagilah bahaya…”

“ Airisy tahu,” Adam dan Haji Malik mendongak serentak. Airisy melabuhkan punggung di gazebo yang Adam tempah.

“ Mana yang lain?” soal Adam. Tadi bukan main riuh lagi kat dalam rumah.

“ Ada. Dia orang tengah sibuk usik pengantin baru,” kata Airisy sambil mencuit pipi tembam bayi lelakinya yang baru berusia tiga bulan itu. Haji Malik ketawa senang.

“ Bukan selalu dapat peluang nak mengusik pengantin baru. Rasanya, selepas ni dah tak ada yang nak berumah tangga kot. Melainkan… kahwin lagi satu,” Haji Malik senyum mengusik.

“ Siapa, daddy? Yang pasti bukan orang kat sebelah nilah. Nak kahwin lain boleh, tapi dengan syarat,” Adam sudah tidak senang duduk. Bukan dia tak tahu sikap cemburu Airisy. Walaupun tidak keterlaluan, namun dia serik.

“ Hah, kira bolehlah tu, Adam. Apa syaratnya?” Adam melemparkan senyuman nipis. Tidak mahu menokok tambah.

“ Syaratnya senang aje. Kalau si perempuan tu muka sebijik macam Airisy, memang tak ada halangan,” Terletus ketawa Adam dan Haji Malik.

Airisy mengambil bayinya yang sedang menangis itu. Mungkin terkejut dengan ketawa kuat baba dan atuknya.

“ Maknanya, tak ada peluanglah Adam. Melainkan Airisy ada kembar seiras. Malangnya, tak ada,” Haji Malik berkata dengan ketawa masih bersisa.

“ Cukuplah seorang, daddy. Tak sanggup Adam nak beristeri dua. Boleh roboh rumah,” Airisy menjeling suaminya.

“ Iyalah. Kamu duduklah kat sini. Daddy nak masuk dulu,” Haji Malik meminta diri. Lebih baik dia menghabiskan masa dengan besan-besannya di dalam rumah.

Tinggallah keluarga kecil itu di gazebo yang sengaja Adam letak dia halaman rumah. Adam mengagah anak kecilnya di dalam dukungan Airisy. Bukan senang nak dapat hero seorang ni pun. Kali pertama Airisy hamil, dia keguguran kerana terlalu aktif. Selepas empat bulan barulah Airisy disahkan hamil kembali.

“ Happy tak?”

“ Happy sangat-sangat, abang. Airisy sukalah suara riuh macam ni. Kalau boleh, nak macam ni selalu.”

“ Apa susah. Buatlah anak ramai-ramai. Kan riuh jugak?”

Airisy membulatkan matanya. Dia ingat senang nak menjaga kandungan selama sembilan bulan? Kira okeylah tu, Airisy tak mengidam macam-macam ketika mengandungkan Affan. Tapi, Airisy memang memuji kesabaran suaminya. Adam sanggup melayan kerenahnya ketika itu. Lelaki itu sanggup menjaganya yang semakin sensitif. Tambahan pula, hormon cemburunya berubah teruk. Sehinggakan Adam tidak dibenarkan berurusan dengan staf-staf perempuan.

“ Hmmm, kalau abang sanggup nak jaga Airisy sepanjang tempoh sembilan tu… why not,” Adam tersenyum lebar.

“ Untuk Airisy, abang sanggup buat apa pun. Asalkan jangan minta yang bukan-bukanlah,” Airisy menjatuhkan kepalany ke bahu Adam.

“ Abang…”

“ Hmmm…”

“ Terima kasih sebab sudi jadi baby’s breath yang selalu temankan roses. Abang peneman Airisy dunia dan akhirat. Insya Allah,” ucap Airisy sambil mengusap pipi Affan.

“ Insya Allah. Terima kasih juga sebab Rose abang ni tak menolak Baby’s Breath. Dan abang akan pastikan. Di mana ada Rose, di situlah Baby’s Breath,” Airisy mengukir senyuman bahagia.


Dia sudah bertemu dengan Karannya. Cuma, kisah cinta mereka tidaklah complicated seperti Karan-Kiran yang cinta mereka pada mulanya mendapat tentangan daripada bekas bapa mertua Kiran. Alhamdulillah, keluarga keduanya dapat menerima mereka sebaiknya. Kisah cinta seseorang itu tidak mungkin akan sama dengan yang lain. Itu kerana masing-masing mempunyai kisah cinta yang berlainan.


p/s : akhirnya, siap jugak! maaf eh kalau tak okey. CIA benarkan anda membuat aduan. haha. diterima dengan hati terbuka. memang tak boleh nak fikir dah. janji CIA memang dicapati. bukan main lambat lagi nak hapdet last entry untuk BBWRL. kan kan kan? tapi, dah habis! huh, lega sangat. nak habiskan untuk cerpen yang tergantung lain pulak. dan, nak habiskan editing STNK aka RAHSIA ARIANNA. yeay!

4 comments: