Friday 2 September 2022

Mini Novella: Legasi Episod 5

 



ADDA pandang Miyn dihadapannya. Kusyuk betul sahabatnya merenung skrin laptop. Gaya macam boleh pecah saja skrin itu dengan renungannya. Sudah sepuluh minit dia menanti jawapan dari Miyn. Teruklah dia kena marah kalau si Uqail tahu dia meminta bantuan dari Miyn untuk menyiasat seseorang yang terlibat dalam kes Datuk Tan.

Mata Miyn masih pada skrin laptop, jemarinya sibuk di keyboard. Semudah ABC sahaja untuk trace latar belakang bekas bodyguard Datuk Tan itu.

“Tuan Qail tahu tak kau kat sini?” tanya Miyn, memecah kesunyian. Tumpuannya tetap pada kerja.

“Mestilah tak tahu. Kau gila. Memang kepala aku kena pancunglah jawabnya kalau laki kau tu tahu aku minta tolong kau,” jawab Adda sambil matanya memandang pintu ofis Miyn.

Risau juga Chief Inspektor Uqail buat lawatan pula. Mati dia.

Miyn tergelak. Lucu. Gelabah betul si Adda ni pun. “Bagi aku lima minit. Sikit aje lagi ni.”

Takut betul Adda dengan bekas ketuanya itu. Tetapi, kalau dia di tempat Adda pun, pasti dia gelisah juga. Dulu, bab pencarian data ni sudah menjadi tugasnya di jabatan jenayah berat. Dia memang cekap bab-bab pencarian maklumat. Rakan-rakan yang lain juga pernah meminta tolong darinya untuk mencari kedudukan atau keberadaan suspek.

“Okey, siap!” Dipatah-patahkan tulang temulang jemarinya. Naik lenguh dek menekan keyboard tanpa henti. Tapi dia happy.

Thanks, Miyn! Sayang kau,” ucap Adda ceria. Akhirnya dia berjaya mencari Black, bekas bodyguard Datuk Tan itu.

“Hm. Ni aku nak cakap sikit,” Miyn membetulkan duduknya. “Kalau ada apa-apa yang kau nak minta tolong, kau datang aje. Tak payah datang sembunyi-sembunyi macam ni. Aku bukannya tukar kerja, cuma tukar jabatan aje. Skop kerja aku tetap sama. Faham?” Mahu ternganga Adda dibuatnya.

“Eh, aku takutlah. Tak pasal aje laki kau salahkan aku pulak sebab susahkan kau,” balas Adda.

“Tak ada maknanyalah dia nak salahkan kau. Habis tu, takkan kerja aku duduk sini makan gaji aje. Agak-agaklah,” tukas Miyn. Geram pula dia pada Adda. “Lagi pun, ini bab kerja. Tak ada istilah susahkan sesiapa. Aku tanya sekali lagi ni, kau faham ke tak?”

Dia ingat Qail tu makan orang ke, nak takut-takut berwaspada bagai. Qail cuma manusia biasa saja. Di rumah ataupun ketika mereka di luar waktu bekerja dan waktu peribadi, memanglah mereka suami isteri. Namun, jikalau waktu bekerja, tiada masalah dan halangan untuk dia menguruskan kerja-kerjanya.

Adda cebik. “Yelah. Aku blah dulu. Nanti apa-apa hal aku datang lagi. Bye!” Laju kaki Adda melangkah meninggalkan ‘singa betina’ itu. Sejak berkahwin dengan Chief Inspector Uqail ni, sahabatnya juga sudah bertukar menjadi singa.

Miyn gelak perlahan. Lucu pula dia melihat Adda keluar dari ofisnya seperti lipas terbang. Tak menyempat.

*****

PINTU bilik ofis Qail diketuk. Sempat Adda berdoa agar mood ketuanya itu baik hari ini. Walaupun Qail tidaklah garang mana, tetapi ketuanya itu tegas. Risau pula dia kalau Qail menyemburnya dek meminta bantuan Miyn tadi. Menyesal pun sudah tidak berguna, berserah sajalah.

“Dah jumpa?” soal Qail sebaik Adda masuk ke dalam biliknya.

Adda menyerahkan sampul surat berwarna coklat kepada Qail.

“Buat masa ni, Black tak bekerja dengan sesiapa. Dia masih dalam tempoh bercuti, tuan. Semalam, ada cctv yang merakam Black. Gambar yang tuan lihat itu adalah teman wanita Black. Sepanjang bekerja di bawah Datuk Tan, Black tak pernah berhubung dengan kekasih dia. Tapi, lepas aje dia berhenti, mereka ada bertemu. Cuma sekali,” jelas Adda.

Qail mengangguk.

“Alamat dia sekarang?”

“Saya dah cuba detect semua contact yang Datuk Tan beri, tapi seorang pun tak tahu kat mana Black.”

“Kenapa awak yakin yang ada dalam rakaman cctv ni adalah Black?”

Adda senyum sedikit. Tepat betul jangkaan Miyn. Qail pasti akan menyoal tentang cctv yang merakam pergerakan Black itu.

“Mengikut gambar yang Datuk Tan beri, Black ada memakai bracelet di tangan kiri. Dan apa yang saya jumpa dalam rakaman tu adalah bracelet yang sama. Untuk pengetahuan tuan, bracelet yang Black pakai tu cuma ada satu aje kat dunia ni. Sebab itu adalah hadiah penghargaan dari Datuk Tan untuk Black. Ia direka khas oleh pereka kegemaran Datuk Tan,” Adda mengulang kembali setiap penjelasan Miyn padanya tadi.

Good. Saya nak awak dan Umar cuba dapatkan rakaman cctv yang berhampiran. Malam esok kita bentang semula semua maklumat yang dah kita dapat,” arah Qail.

“Baiklah,” Adda akur. Dia berlalu dari bilik ofis Qail.

Sebaik pintu tertutup, dia melepaskan nafas lega. Sungguh lega. Bukan main risau lagi dia andai Qail bertanya di mana dia mendapat maklumat itu.

*****

DATUK Tan menyisip kopinya perlahan. Kanan kirinya punya dua orang bodyguard yang sedia berkhidmat. Manakan tidak, mahal dia bayar untuk mendapatkan beberapa orang bodyguard itu dan skill mereka sangat bagus.

“Maafkan saya, Chief. Bukanlah niat saya mahu menentang kamu. Cuma, pada saya Inspektor Miyn lebih cekap berbanding Inspektor Adda. Rasanya tak salah dia berkhidmat untuk saya,” ulas Datuk Tan.

“Tapi Inspektor Miyn sudah ditukar jabatan. Saya harap Datuk sudi benarkan Inspektor Adda untuk menjadi pengintip dan mengawal pergerakan Datuk.”

Pening kepala Qail. Degil betul Datuk Tan ini. Sengaja mahu mencari pasal dengannya. Sudah dijelaskan tentang status Miyn yang bukan lagi di bawah jabatan jenayah berat. Harapannya agar lelaki separuh usia itu memahami akan keputusannya. Alasan Datuk Tan sangatlah ketinggalan zaman.

Inspektor Adda juga sama cekapnya dengan Miyn. Malah Adda layak untuk berada di sisi Datuk Tan buat sementara waktu. Mudah untuk mereka berkomunikasi nanti.

“Atau kamu takut Inspektor Miyn tercedera. Iyalah, dia kan isteri kamu,” teka Datuk Tan. Sudah pasti ulasan itu tidak professional.

Qail menggeleng. “Professional, Datuk. Saya pasti Inspektor Miyn akan berkhidmat untuk Datuk seandainya dia masih di jabatan kami. Dia ditukar ke jabatan lain juga atas arahan pihak atasan,” jelas Qail, mahu Datuk Tan faham situasinya.

Hendak diikutkan bahaya, jabatan jenayah siber juga tak lari dari bahaya. Mereka bukanlah hanya berada di pejabat semata. Ada masanya mereka turut terlibat dengan operasi luar. Andai benar dia risaukan Miyn, lebih baik dia haramkan saja Miyn bekerja. Senang.

“Baiklah. Saya yakin dengan kerja kamu. Semoga anak saya dalam keadaan yang baik-baik saja,” Raut kerisauan mula naik diwajah Datuk Tan.

“Inshaa Allah, Datuk. Kami akan cuba sebaiknya untuk selamatkan anak Datuk,” janji Qail.

Dia mengerti, Datuk Tan mahukan pasukan yang terbaik, membantunya menjejaki anak kesayangannya itu. Namun, ada masanya dia sedikit curiga. Tak mungkinlah Datuk Tan tidak mengesyaki sesiapa selain Black. Semua orang sedia tahu, Black adalah pekerja kesayangannya. Pantang nama Black disebut, pasti wajah tua itu ceria. Masakan Black pula yang menculik anak bekas majikannya itu.

*****

“HELLO. Assalamualaikum,” Miyn tunjalkan jari telunjuknya di bahu Qail. Masuk saja ke dalam rumah, suaminya itu sudah terlena di sofa.

Qail mendengus.

“Nak masuk waktu Maghrib dah ni, awak oi. Tidur apa lagi. Bangunlah,” kejut Miyn lagi. Mata Qail masih tertutup. Tiada tanda-tanda dia akan bangun.

Miyn menjuihkan bibir. Penat sangat gamaknya. Selalu kalau dia yang tertidur di sofa, memang terpaksalah dia tahan telinga dengan bebelan si suami. Ini, dia pula yang buat. Geram pula hati kita.

“Awak!” jerit Miyn di telinga Qail. Hambik kau, susah sangat nak bangun kan. Sekali Inspektor Miyn menjerit, kelam kabut.

“Miyn!” Suara Qail dikuatkan. Tidak suka Miyn berbuat demikian. Mahu luruh jantung dia. “Siapa ajar jerit-jerit kat suami ni?” Mata Qail sudah terbuka luas. Semuanya gara-gara terkejut akan jeritan Miyn.

“Eh, awak tu. Saya kejutkan elok-elok, awak tak nak bangun. Saya jeritlah,” Miyn menjawab sambil menuju ke dapur.

Dia meletakkan barang-barang dapur yang dibelinya di pasaraya tadi. Satu persatu barang basah disusun di dalam peti ais dan selebihnya diatur kemas di dalam almari dapur.

Qail menggeliatkan badan sedikit. Penatnya!

“Masak ke malam ni?”

Iya, masak. Meeting awak tunda kan?” Qail angguk.

Andai meetingnya tidak ditunda, masih di pejabat agaknya dia ketika ini. Mujur Tuan Afnan ada kerja lain yang terpaksa dia uruskan terlebih dahulu. Sesungguhnya dia sangat penat hari ini. Sedari pagi sehinggalah petang, dia sibuk ke hulu ke hilir mendapatkan maklumat tentang Black.

“Pergilah naik. Karang dah siap masak, saya panggil,” Mendengarkan itu, Qail toleh ke belakang.

Uish. Miyn sudah siap memakai apron, periuk nasi di tangan. Tudung di kepala tidak dibuka. Sememangnya isteri dia ni tak reti penat ke?

Qail bangkit. Dia melangkah ke dapur.

“Tak penat ke?” Ceh, kira tahap caringlah tu menyoal Miyn begitu. “Saya tak kisah pun order Pizza Hut aje,” kata Qail lagi.

Miyn membasuh beras di sinki. “Kalau penat, saya tak masak. Saya bukannya sibuk macam awak. Seharian kat ofis aje pun,” Bukan pengsan pun kalau dia masak. Pelik sungguhlah Uqail ni.

“Iyalah. Suka hati awak,” Kita kasihankan dia, kita pula yang kena balik. Malas bergaduh dengan Miyn, dia naik ke bilik.

Azan Maghrib pun sudah berkumandang. Elok dia membersihkan diri dan solat. Belengas pula rasanya badan dia ni. Tadi penat sangat terus terlentang atas sofa.

*****

TADI bukan main lagi dia membantah Miyn memasak, sekarang ni berselera sekali dia makan. Agaknyalah perut lelaki itu tak diisi sejak tengah hari kot.

“Tak lunch ke tadi?”

“Tak sempat,” Dah agak dah.

Pandai pula Miyn masak, sedap. Di dalam hati sahaja Qail mampu memuji masakan isterinya itu. Antara ego dan segan dia mahu menuturkan kata pujian buat si isteri. Memang seminggu Miyn mentertawakan dia nanti.

Selesai makan malam, Qail dan Miyn lepak di ruang rehat tingkat atas. Bukannya selalu dapat santai seperti ini. Criminal Minds terlayar di ruang mata. Sama-sama polis, sama-sama meminati genre cerita yang sama. Mana hendak layan cerita cintan cintun, tak thrill katanya. Tak kena dengan jiwa.

“Awak…”

“Hmmm…”

Miyn menggaru belakang kepalanya. Hampir lupa dia pada hasrat dia memanggil Qail tadi. Berdebar pula dia mendengar suara jantan Qail itu. Gaya macam dah jatuh cinta pada suami sendiri saja. Dia senyum sendiri. Nasib baik tumpuan Qail pada televisyen, mahu tak cukup nafas dia nanti kalau Qail nampak reaksi dia.

“Tadi Datuk Tan ada call saya,” beritahu Miyn terus.

“Kenapa?”

Mata Miyn melirik pada Qail yang elok berbaring dengan kedua tangan di bawah kepala itu. Entah kenapa dia berasa Qail handsome sangat malam ni. Jantung dia ni pun bukan main laju lagi dok mengepam. Dup dap dup dap!

“Entah. Dia nak jumpa saya esok,” maklum Miyn. Bak kata Mama Chik, walaupun dia tidak suka atau sayang pada Uqail, dia tetap wajib maklumkan atau meminta izin Qail dulu sebelum ke mana-mana. Wajib!

Qail mendongak sedikit. Dipandangnya Miyn sejenak. Gadis itu duduk bersila sambil memeluk bantal petak kegemarannya. Dulu hampir sahaja Qail bakar bantal itu. Mama Chik yang hadiahkan bantal itu pada Miyn. Dan ada gambar Uqail pada bantal petak itu. Sudahnya dia biarkan sahaja apabila teruk Miyn menangis kerana bantal itu.

“Kalau awak pergi seorang, saya tak benarkan,” tegas Qail bersuara. Tanda dia serius mahu Miyn membawa teman.

Miyn buat muka. Diam-diam dia mengejek ayat Qail.

“Adda ikut sekali. Awak kan suruh dia ikut Datuk Tan. Lupa?”

Sungguhlah dia tidak mengerti. Sebelum kahwin, elok saja dia seorang diri bertemu saksi atau suspek di lokap. Selepas kahwin, dikawal pula pergerakannya. Miyn terangguk-angguk, mungkin aku ni dah jadi tanggungjawab dia. Nanti jadi apa-apa, pasti family aku cari dia dulu, omel Miyn di dalam hati.

“Tak faham betul orang tua ni. Dah cakap banyak kali pun tak faham-faham lagi,” bentak Qail.

Terkejut Miyn dibuatnya.

“Awat yang hang dok kalut?” Terluah ayat itu tanpa sengaja. Miyn sengih apabila mata Qail sedang merenung dia. “Sorry,” Kedua belah tangan dikapit seakan memohon ampun.

Qail bingkas berdiri.

“Jangan setuju kalau Datuk Tan minta awak gantikan Adda. Ini bukan arahan saya as a husband saja ya tapi sebagai bekas ketua awak. Faham?” Qail terpaksa memberi amaran pada Miyn. Risau andai benarlah tekaannya bahawa Datuk Tan mahu Miyn mengganti Adda.

“Baik,” kata Miyn sepatah. Kalau dah suara tegas Uqail yang keluar, memang sah dia wajib turut. Risau bebelan Qail meniti di telinganya hari-hari.

Mendengarkan itu Qail terus masuk ke biliknya. Matanya sudah tidak tahan. Mengantuk dan penat.

Miyn masih di situ. Beberapa minit kemudian, dia mematikan televisyen dan menutup lampu di ruang rehat. Tak syoklah menonton televisyen seorang diri. Lebih baik dia tidur.

*****

HATI memuji keterampilan Inspektor Miyn. Datuk Tan asyik menilik Miyn yang duduk bertentangan dengannya. Tak cukup itu, bibir dia mengulas senyum manis. Dulu lagi dia sudah memerhatikan Miyn, cuma gadis itu langsung tidak melayannya. Agak kecewa jugalah apabila dia mengetahui perihal perkahwinan Miyn dan Qail.

“Kamu ni tak pernahnya tak cantik, Inspektor Miyn,” puji Datuk Tan bersahaja. Miyn hanya senyum nipis.

Adda sudah buat muka. Menggatal pula orang tua ni. Siaplah kau kalau Chief Inspector Uqail tahu. Tak cecah bumi agaknya kaki kau tu, bebel Adda di dalam hati, melempiaskan kegeramannya.

“Tak secantik anak Datuklah, kan,” Miyn membalas, sekadar mahu mengambil hati. “Jadi, apa tujuan Datuk mahu berjumpa dengan saya?” Dia terus kepada tujuan utama Datuk Tan memanggilnya. Malas dia berlama di sini.

Tidak mahu mencalarkan imej baik Datuk Tan.

Datuk Tan berdehem.

“Sebenarnya, saya lebih selesa jika Inspektor Miyn sahaja yang membantu saya dalam hal ni. Tapi… saya tak nafikan kebolehan Inspektor Adda. Tidak,” Adda senyum nipis. Bagus betul ayat Datuk Tan, mungkin tidak mahu dia terasa hati agaknya.

Kisah pula dia andai Datuk Tan tak memerlukan dia. Lagi dia suka. Sungguh berbeza tanggapan sebelum dan selepas berurusan dengan Datuk Tan.

“Hm… macam nilah, Datuk. Selesa atau tidak, Datuk kenalah terima. Pasti Datuk sudah dimaklumkan, saya sudah tidak terlibat dalam kes yang dikendalikan oleh unit jenayah berat. Jadi, saya memang tak boleh masuk campur. Kalau betullah Datuk tak selesa dengan Inspektor Adda, apa kata saya usulkan pada Chief Inspector Uqail untuk tugaskan Inspektor Umar aje iringi Datuk,” Penuh sopan Miyn menuturkan kata. Tidak mahu orang ternama itu tersinggung.

Datuk Tan menggeleng perlahan. Hatinya teringin benar hendak Miyn mengiringinya.

“Saya setuju dengan cadangan Inspektor Miyn. Elok juga kalau Inspektor Umar yang ambil tugas saya ni,” Adda mengiakan cadangan Miyn.

Lelaki separuh usia itu menghela nafas perlahan. “Baiklah. Saya ikut cadangan awak, Inspektor Miyn,” setuju Datuk Tan setelah berfikir sejenak baik-buruknya.

Miyn dan Adda sembunyi. Sekadar menghormati Datuk Tan. Susah betul mahu meyakinkan lelaki itu. Banyak kerenah. Yang diculik, anaknya. Tetapi, bapaknya yang melebih. Kusut.

*****

SETELAH selesai berurusan dengan Datuk Tan, Miyn kembali ke pejabatnya. Sebentar tadi, Inspektor Nabil, rakan setugasnya di unit jenayah siber memberikan dia tugasan baru. Kes hacking di sebuah syarikat swasta. Melibatkan hacker dari luar negara yang mahu memecah masuk maklumat sulit syarikat itu.

Buka sahaja pintu, tubuh tegap milik Uqail menjamah matanya. Elok sahaja lelaki itu bersandar di almari sebelah kanannya, sedang menyelak helaian demi helaian dari sebuah buku kegemarannya. Miyn melangkah ke meja, diletakkan beg sandangnya di atas meja dan duduk di kerusi empuknya.

“Mimpi apa datang sini?” soal Miyn sambil memusing kerusi menghadap bekas bosnya itu. Qail angkat kening.

“Macam mana?” soal Qail kembali. Dia meletakkan kembali buku di tangan di almari itu lalu menuju ke kerusi yang dihadapan meja Miyn. Tanpa disuruh Miyn, selamba sahaja dia duduk di situ.

Miyn buat muka geram. Faham akan soalan Qail itu. Dibetulkan kerusinya, dia menatap wajah kacak milik suaminya itu.

“Ini yang saya nak bincang. Alang-alang awak dah datang sini. Sendiri. Saya nak minta awak gantikan Adda dengan Umar. Biar Umar aje yang iring Datuk Tan. Boleh?”

“Kenapa?”

Itu yang saya cadangkan dekat Datuk Tan tadi. Yang penting, Datuk Tan sendiri setuju kalau Umar yang ganti Adda. Dan yang paling penting, saya takkan terlibat,” Miyn berharap Qail terima permintaannya.

Qail sandarkan tubuh ke belakang kerusi.

“Okey, saya setuju. Jadi, tak dapatlah Datuk tu pujuk awak ya?” Dia mahu senyum, tetapi risau Miyn berfikir yang bukan-bukan pula. Jadi, diseriuskan sahaja muka itu.

“Iyalah. Awak ingat saya teringin ke nak handle Datuk Tan tu. Elok-elok orang dok hormat dia, saya yang cemarkan pula nama dia nanti,” Jawapan Miyn mengundang tawa Qail. Reaksi Miyn sangat lucu.

“Tahu pun. So, dah habis kerja?” Qail angkat sedikit tangan kirinya. Jam sudah menunjukkan pukul 5, maknanya waktu kerja Miyn sudah habis.

“Erk. Sepatutnya belum,” Miyn mengangkat fail di atas mejanya.

“Em, buat kat rumah ajelah. Sekarang, saya nak awak ikut saya,” Ewah… ewah. Mentang-mentang dia ketua, suka hati dia saja.

Hello, Chief Inspector Uqail. Awak ingat awak tu bos kat Prime Holding ke, nak balik sesuka hati?”

“Siapa suami awak?”

“Awak.”

Good. Jom!”

Sungguh Miyn pening dengan kerenah Qail petang ini. Sangkanya dia perlu melayan kerenah Datuk Tan sahaja hari ini, rupanya suaminya juga mahukan perhatian dia. Haih.

“Okey, okey. Tapi, kita nak pergi mana? Rumah Tok Aki?”

Laju Qail menggeleng. Dia bangkit. “Dating,” jawab Qail tanpa menghiraukan riak wajah si isteri ketika itu sebelum membawa langkah keluar dari bilik pejabat Miyn.

Ya Allah, ujian apa ini? Omel hati Miyn.

Kelam kabut dia mengemas barang-barang lalu hilang di sebalik pintu. Membontoti langkah Qail. Sepanjang perjalanan keluar ke kereta, tak lekang senyuman di bibir. Ada saja anggota-anggota yang menegur. Mengusik pun iya juga. Iyalah, dia jalan beriringan dengan Chief Inspektor Uqail kot. Dulunya hanya rakan sekerja tapi dah bertukar status suami isteri. Namun ramai saja anggota-anggota lain begitu. Hari-hari kalau asyik jumpa muka yang sama, mana mungkin jantung tak berdegup. Iya tak.


Nota: Akhirnya berjaya juga upload episod 5 selepas sekian lama. Untuk makluman, episod 1-5 CIA dah tulis lama. 5 tahun yang lepas, cuma tak berkesempatan nak update selalu. Momentum writing hilang. Selain tu, CIA ada sikit insecurity. Takut orang judge cerita tulisan CIA. Plus, sekarang dah ramai penulis. Lebih hebat. Tapi CIA akan tetap menulis sebab ini salah satu bakat yang CIA sayang dan suka. Walaupun tak ada upload dekat mana-mana, cukuplah CIA simpan dalam simpanan CIA dulu. Inshaa Allah jika ada masa dan CIA yakin nak upload, CIA akan mula upload cerpen semula.

Nota II: Bagi e-novel atau cerpen yang belum complete, CIA tak berani janji untuk sambungan. Semua copy CIA tak sempat nak save. Jadi CIA akan fokus untuk penulisan yang terkini dulu. Maaf ya pada yang masih menunggu. Dan terima kasih pada yang masih rajin berkunjung ke blog CIA ni. Really appreciate it. Dan minta maaf jika yang terkurang. Segala teguran CIA terima dengan hati yang terbuka. Peace!

Nota III: Sedang gigih nak habiskan semua episod Legasi. Cerita tergantung lagi ni. Huhu.

No comments:

Post a Comment