ANNA hela nafas perlahan. Dia tercongok berdiri di depan pintu utama Cafe Defrost. Teragak-agak, hendak terus masuk atau tidak. Sekejapan dia ukir senyum sebelum tangan kanan menolak pintu kafe dan terus ke kaunter.
“Fayad ada?”
“Cik Anna ya?” tanya seorang staf di kaunter. Amir, nama staf tersebut jika dilihat pada tag nama di uniform kerjanya.
“Ya, saya.”
“Cik Anna boleh naik atas, Encik Fayad tunggu dekat terrace. Encik Fayad seorang saja,” beritahu Amir sambil jari telunjuk pada tangga di hujung kafe.
“Terima kasih,” ucap Anna sebelum melangkah ke terrace atas bumbung kafe milik Fayad.
Fayad seorang? What do you mean by Encik Fayad seorang saja? Kenapa kalau Fayad seorang? Oh, hampir terlupa pula dia pada gelaran baru Fayad. Playboy! Fikir Anna dek kata-kata di hujung ayat Amir itu.
Amir hanya mengangguk. Dia kerling seorang lagi staf yang sedang sibuk mengelap meja di kirinya. Guna bahasa mata pula mereka. Sempat lagi nak bergosip pasal bos mereka.
SATU per satu Anna memanjat tangga ke ruang atas Cafe Defrost itu. Sebaik tiba, terpegun dia melihat pemandangan yang terbias di matanya. Cantik! Ada beberapa set meja dan kerusi di situ. Juga ada beberapa jenis tumbuhan dan bunga menghiasi ruang atas itu.
Bola mata Anna dilarikan ke sebelah kanan, seorang lelaki sedang duduk santai di bangku. Perlahan dia melangkah merapati susuk tubuh itu.
“Maaf lambat,” ucap Anna. Dia melabuhkan punggung di bangku yang sama dengan Fayad. Jarak satu meter. “Awak boleh terus cakap, saya dengar,” tambah Anna.
Beriya sekali lelaki itu meminta dia ke mari. Entah urusan apalah yang penting sangat sehingga tidak boleh tunggu hujung minggu ini. Habis waktu kerja tadi terus dia memandu ke sini.
“Kita kahwin, Anna,” tutur Fayad. Tenang betul suara garau itu menyatakan hasratnya. Walaupun hakikatnya dia agak risau juga ayat itu tidak terkeluar tadi.
Anna kerut dahi. Kahwin? Dia toleh ke kiri. Fayad masih dalam sut pejabat. Mesti belum sempat pulang ke rumah. Kaki kanan di lipat naik ke atas paha kiri. Tangan lelaki itu menggenggam erat telefon bimbit.
Fayad kalih. Dia angkat kening kepada Anna yang sedang memandangnya itu.
“Benda tak lawaklah, Fayad.”
Diseriuskan wajahnya. Biar lelaki itu tahu sekarang bukan masa untuk bergurau senda. Tiba-tiba pula nak ajak dia kahwin. Mimpi apa?
“A… saya tak buat lawak. Sungguh ni. Saya ajak awak kahwin. In fact, I knew you will like it. Am I right?”
Anna jegil mata. Wah, Fayad memang sengaja nak ungkit cerita lama ni.
“Ya… tapi itu kalau dua tahun lepas awak ajak, saya terima. Kenapa baru sekarang? Tiba-tiba?”
Fayad tunak pada pemandangan di hadapannya. Mata dia tertancap pada pencawang elektrik yang gah berdiri di puncak bukit.
“Sekarang baru saya sedia. Awak pun. Dah ada kerjaya sendiri kan. Rasanya dah boleh fikir pasal kahwin,” Selamba sahaja Fayad menjawab persoalan Anna.
Anna ketap bibir.
“Sebenarnya saya tak kisah dah. Like you said, saya dah ada kerjaya sendiri. Bab kahwin dah tak penting,” Anna tegas meluahkan pendapatnya. “Tapi… yakin betul ya awak ajak saya kahwin. Why?” soalnya pula.
“Ibu Soraya.”
Bulat mata Anna mendengar nama itu. Dia pusing badan, terus menghadap Fayad. “Kenapa dengan Ibu Soraya? Dia suruh awak nikah dengan saya?” Cemas betul suara Anna menyoal.
Fayad geleng.
“Saya sendiri yang nak. Tapi ibu sokong.”
“Tipu,” bidas Anna. Dia cukup kenal Fayad dan Ibu Soraya. “Ibu ugut awak kan? Mustahil awak sendiri yang nak. Saya tak percaya,” sambung Anna lagi.
“Kenapa susah sangat nak terima? Percaya atau tak, up to you. Tapi ini keputusan muktamad saya. Selain awak, saya takkan terima sesiapapun. Walaupun ibu sendiri yang suruh cari orang lain,” tegas Fayad. Mimik muka dia serius. Tanda dia benar-benar maksudkan setiap patah perkataannya itu.
Anna jeling Fayad di sebelahnya. Yish! Tak suka!
“Let me think first. I’ll get back to you later. Saya balik dulu.”
Tanpa menunggu balasan dari Fayad, Anna pantas melangkah meninggalkan lelaki itu.
Singkat betul pertemuan mereka.
Fayad melepaskan keluhan berat. Dia dah agak dah, Anna pasti akan menolak lamaran dia. Lamaran? Dia pejam mata seketika. Sekejap. Anna nak fikir dulu? Hah? Dia menoleh ke arah tangga. Berkerut dahinya.
BEG TANGAN jenama Carlo Rino dilempar ke atas katil. Anna menanggalkan lilitan selendang di kepala lalu dilepaskan ikatan scrunchy di rambut. Lega. Separuh badan dia baringkan di atas katil queennya. Dia hala pandangan kosong ke siling.
Berani betul Fayad melamar dia tadi. Lamaran yang sepatutnya Fayad lakukan 2 tahun yang lepas. Ketika dia masih polos dan bodoh. Pasti belum habis ayat, dia dah setuju.
Anna capai iPhone 13 dari dalam handbag. Ibu jari laju menari di dada telefon bimbit itu. “Assalamualaikum, ibu,” ucap Anna setelah panggilannya dijawab. Mode speaker dia aktifkan.
“Waalaikumsalam, Anna. Anna dekat mana ni?” jawab Ibu Soraya seraya menyoal Anna tentang keberadaan gadis itu. Jelas risau.
“Dalam bilik. Anna baru balik dari jumpa abang tadi.”
“Kenapa jumpa Fayad?”
Anna gigit bibir bawah. “Ibu tak tahu kenapa abang nak jumpa Anna?” soal Anna kehairanan. Tadi Fayad beritahu, ibu dah tahu pasal lamaran dia.
Kedengaran Ibu Soraya berdehem di hujung talian.
“Ibu… jujur dengan Anna,” pinta Anna. Risau pula apabila Ibu Soraya hanya diam tanpa menjawab soalan dia.
“Anna, dengar ya. Fayad ada jumpa ibu. Dia bagitahu dia dah bersedia nak berumahtangga tapi dengan syarat. Abang hanya akan kahwin dengan Anna saja. Dia tak mahu orang lain,” jelas Ibu Soraya.
Anna ketap bibir.
“Ibu, Anna tak peduli pun kalau abang dah sedia nak kahwin atau tak. Tapi kenapa dengan Anna? Ibu tahu kan Anna dah berubah. Anna sekarang bukan lagi Anna yang 2 tahun lepas. I have my own life, ibu,” luah Anna lembut. “Kan ibu selalu kata kami dah macam adik beradik,” tambah dia lagi.
Sebetulnya dia berubah menjadi seorang gadis yang lebih berdikari. Fokus dengan kerjayanya. Hasrat mahu Fayad menjadi suami, dia kuburkan setelah keinginannya itu ditolak keras oleh Fayad 2 tahun yang lalu.
“Iya, ibu tahu. Tapi Anna boleh pertimbangkan lagi kan? Fayad serius. Bersungguh dia minta izin ibu nak lamar Anna. Lagipun Anna dan Fayad dah kenal dari kecil, dah faham sikap masing-masing. Anna mesti tahu Fayad macam mana kalau dia serius. Dan ibu tahu Anna masih belum ada kekasih lagi. Apa salahnya Anna terima lamaran Fayad. Lega hati ibu tahu,” Ibu Soraya cuba memujuk Anna. Lembut.
Anna hela nafas berat. Patutlah Fayad yakin tadi, rupanya ada Ibu Soraya back up dia. Ibu ni pun satu, suka buat ayat lebur dia itu.
“Kenapa ibu nak sangat Anna terima abang? Ada sesuatu ke?”
“Kenapa Anna tanya macam tu, sayang? Ibu tak ada niat apa-apa. Ibu tak kisah Anna nak pilih siapa pun sebagai suami Anna. Tapi abang… ibu dah kenal perangai dia. Ibu tahu Fayad boleh jaga Anna dengan baik. Boleh jaga Anna kalau ibu dah tak ada.”
“Ibu ni. Anna tak sukalah ibu cakap macam tu. Takkan Anna nak pilih lelaki yang tak baik. Paling tidak pun, Anna tak kahwin. Senang. Anna dah tawar hatilah dengan abang. Anna takut dia terpaksa pilih Anna,” balas Anna sayu.
Ibu Soraya banyak berjasa pada dia. Sedari umur 5 bulan lagi dia dihantar ke Rumah Tautan Kasih. Rumah anak-anak yatim. Dia tidak kenal siapa ibu dan ayah kandung dia sendiri. Hanya nama saja memori yang ada. Begitu juga Fayad.
“Hm… kalau macam tu, Anna fikirlah dulu. Buat istikharah ya, sayang. Ibu tak paksa Anna lagi dah. Apa pun keputusan Anna nanti, ibu terima. Andai kata Anna terima lamaran Fayad, ibu lega. Andai tidak, ibu syukur kalau ada yang boleh jaga Anna dengan lebih baik. Anna buatlah apa yang terbaik untuk Anna,” Ibu Soraya dah putus asa mahu memujuk.
“Terima kasih, ibu. Anna minta maaf kalau ibu terasa hati. Nanti ada masa, Anna balik jenguk ibu ya. Pasal hal ni, biar Anna settlekan dengan abang.”
“Iyalah. Anna jaga diri. Jangan tinggal solat. Baca al-Quran selalu,” pesan Ibu Soraya. Pesanan yang sama setiap kali anak-anak asuhan menghubunginya.
“Baik, ibu. Selamat malam. I love you, ibu,” ucap Anna tanpa rasa segan. Anna matikan panggilan setelah mendengar jawapan yang sama dari Ibu Soraya.
Sejak kecil lagi, Ibu Soraya melatih dia bermesra begitu. Dia dilayan seperti anak sendiri. Walaupun kini Ibu Soraya sudah bersara, namun hubungan mereka tak pernah putus. Bagaimana nak putus kalau Fayad bawa Ibu Soraya tinggal sekali? Anna saja yang bertegas tinggal berasingan. Atas nasihat Ibu Soraya juga kerana mereka berdua layak untuk bernikah.
Anna dan Fayad adalah anak jagaan yang paling rapat dengan Ibu Soraya. Mereka berdua dihantar pada hari dan waktu yang sama. Ketika itu hanya Ibu Soraya sahaja penjaga yang masih belum punya anak jagaan dibawahnya. Jadi kerana itulah Ibu Soraya menganggap Fayad dan Anna seperti anak kandungnya sendiri.
SAKINA menuju ke meja bulat di bawah kanopi di halaman sebuah rumah kampung. Sedari tadi lagi dia perasan kakak kesayangan dia, Anna asyik mengelamun. Bola mata gadis itu pula sesekali memandang Fayad yang sedang mendukung bayi lelakinya yang baru berusia 3 bulan itu.
Tahulah yang Fayad segak dengan set baju melayu hitam dia itu, tapi boleh dikatakan hari-hari Anna bersemuka dengan Fayad kot. Takkan belum puas lagi.
“Kakak.”
Anna melangut. “Kenapa?” soalnya senada. Mata dia pandang Sakina yang mengambil tempat duduk di kerusi di sebelahnya.
“Kakak ada masalah ke? Kina tengok kakak asyik termenung aje.”
Anna hela nafas perlahan.
“Tak ada apalah, Kina. Kakak okey. Em… Kina macam mana? Okey? Dah habis pantang kan?” tanya Anna cuba menukar topik perbualan. Padahal dia dah lama di sini, soalan tidak cerdik juga dia tanya. Soalan yang dia sendiri sudah tahu jawapannya. Haih!
“Lama dah habis, kakak. Ini sah memang ada something wrong somewhere. Kakak ada masalah dengan abang Fayad ke? Bukan Kina tak nampak, kakak asyik pandang abang Fayad aje. Mesti ada apa-apa. Cuba bagitahu Kina.”
Sakina bukan buta. Dan bukan baru semalam dia kenal dengan Anna. Bertahun. Membesar bersama. Soalan Anna pula merepek. Bertambah curiga dia dibuatnya.
“Betul, Kina. Kakak okey. Jangan risau. Ini suami Kina mana? Kakak tengok dari tadi abang Fayad mengasuh Adam.”
Tergelak Sakina dibuatnya. Anna ni pandai tukar topik. “Ada. Dia naik bilik sekejap. Pening kepala katanya. Kina suruhlah dia berehat dulu. Tetamu pun semua dah balik,” jawab Sakina sambil bersandar ke kerusi.
Lega. Selesai juga kenduri akikah untuk anak sulung dia dan Yusof. Selepas 3 bulan baru sempat menyempurnakan ibadah itu. Hari ini hampir semua anak-anak Rumah Tautan Kasih hadir ke kenduri akikah Adam. Senang hati dia.
“Yusof dekat atas lagi ke, Kina?” soal Fayad yang entah bilanya menyertai Anna dan Kina di bawah kanopi itu.
“Haah. Penat sangat agaknya. Kenapa, abang Fayad?”
“Em… Kina penat tak?”
“Penatlah juga.”
Berkerut kening Sakina mendengar soalan-soalan Fayad. Elok pula Adam dalam dakapan Fayad di bahu kekar lelaki itu. Selesa betul.
Anna bingkas berdiri. Dia ke belakang tubuh Fayad. Cuba meraih tubuh montel Adam yang sedang lena di bahu lelaki itu.
“Abang, tunduk. Tak sampai,” pinta Anna. Fayad tinggi, susah dia nak capai Adam.
Fayad merendahkan sedikit badannya. Dua saat, Adam sudah diambil oleh Anna. Dia meregangkan kedua belah tangannya. Fuh, lega. Sebenarnya dia lenguh mendukung Adam sejak tadi. Hampir dua jam juga Adam di dalam kendongannya dek bayi itu asyik menangis jika diletakkan di dalam baby cot mahupun di atas tilam.
“Lah, abang Fayad lenguh ke? Kenapa tak cakap?”
“Kau orang dua lagi penat.”
Sakina senyum sungging. “Abang Fayad tak cakap apa pun, kakak dah faham. Hm… patutlah ibu dengan umi selalu cakap yang abang Fayad ni pelengkap hidup kakak,” usik Sakina dengan tawa kecil.
Anna mendengus. Tangan kanannya menepuk lembut belakang Adam di bahunya. “Kina, stop it,” tukas Anna. Geram.
Fayad hanya senyum nipis. Dia melabuhkan punggung di kerusi. Ditumbuk bahu yang kelenguhan. Lenguh kerana statik mendukung Adam selama dua jam. Seketika kemudian dia sedikit tersentak dek tiba-tiba Anna menarik kerusi dan duduk di sebelahnya. Rapat.
“Hai, Kina. Tahniah… dah ada baby,” Datang satu suara dari belakang. “Eh, Anna pun ada,” kata suara itu lagi. Mesra.
“Hai, abang Jam. Terima kasih. Ingatkan abang Jam tak jadi datang,” balas Sakina bersama senyuman di bibir. Tetamu datang, kena maniskan muka walaupun penat.
“Mana boleh tak datang. Majlis anak saudara abang Jam juga kan,” kata Jamil. Dia duduk di kerusi bersebelahan dengan Sakina. Berhadapan dengan Fayad dan Anna. “Dah lama kau sampai, Yad?”
“Dari subuh aku dekat sini,” Fayad membalas tanpa riak. Dia panas hati sebenarnya. Bukan dia tidak perasan mata Jamil asyik merenung Anna.
“Abang Fayad berkampung dekat sini dari pagi demi anak Kina tau. Abang Jam aje selalu macam tu. Kenduri kahwin Kina dulu pun lambat juga,” kritik Sakina dengan cebikan. Merajuk.
Jamil adalah abang angkat yang paling rapat dengannya selain Fayad. Namun dia lebih rapat dengan Jamil memandangkan mereka kongsi pengasuh yang sama dulu. Umi Hasnah.
“Alah, sorrylah. Abang Jam sibuk sikit. Company abang Jam tu baru nak bertatih. Kena pakai banyak masa. Ni kan abang Jam dah datang,” pujuk Jamil. Dia senyum lebar. Cuba mengambil hati adik angkatnya itu.
Sesekali mata dia melirik pada wajah manis Anna. Nampak sifat keibuan Anna apabila mendukung Adam. Tetapi yang tidak sedap mata memandangnya apabila Fayad yang berada di sebelah gadis itu. Rapat pula. Ah, dia cemburu!
“Hah, Jamil. Baru sampai?” tegur Umi Hasnah. Dia usap bahu Jamil lembut. Senang melihat anak itu tunjuk muka. Walaupun lambat.
Jamil menyalami Umi Hasnah. Tak haram kerana Umi Hasnah adalah ibu susuan dia. “Sudah… umi pula Jamil kena pujuk.”
Sakina ketawa. Haih, kasihan abang dia ni. Hilang terus rajuk dia.
“Macam-macamlah, Jamil. Ini… ibu bagitahu, Fayad nak kahwin dengan Anna. Betul ke?” Perhatian Umi Hasnah kini pada Fayad dan Anna. Dia senyum kecil apabila perasan Adam turut bersama di situ. “Itu tengah praktis mengasuh anak sendiri nanti ke macam mana?”
Terpaku Jamil dibuatnya. Tajam mata dia pandang Fayad dan Anna silih berganti. Anna nak kahwin dengan Fayad? Biar betul?
Fayad dan Anna berpandangan seketika.
“Iya, umi.”
Jawapan Anna mengejutkan semua di situ. Yang paling terkejut bukannya Jamil tetapi Fayad. Lama dia merenung Anna di sebelahnya. Apa kes?
“Wah, patutlah Kina perasan kakak asyik pandang abang Fayad aje dari tadi. Ee… seronoknya. Cepat-cepat kahwin okey. Bagi Adam kawan baru,” Ceria suara Sakina berkata. Terus lebar senyuman di bibir.
“Itu kena tanya abang Kinalah. Kan, abang?” Anna melirik pada Fayad. Dia hadiahkan senyuman nipis.
Fayad berdehem. “Itulah. Kalau ikutkan abang, esok juga nak langsungkan. Tak sabar abang nak jadi suami Anna,” gumam Fayad. Dia angkat kening pada Anna.
Umi Hasnah gelak.
Anna tarik senyum. Dia tahu Fayad sengaja berkata begitu.
“Anna dah fikir masak-masak ke?” tanya Jamil. Serius. “Anna bukan tak kenal Fayad ni. Perempuan keliling pinggang. Abang Jam pun tak sehebat tu,” Sengaja mahu mengapi-apikan keadaan.
“Jamil…”
Umi Hasnah kerutkan dahi. Jamil ni tak sudah-sudah mahu menyelit dalam hidup Fayad dan Anna. Dia tahu, Jamil ada simpan perasaan pada Anna.
“Jawablah, Anna. Bagi abang Jam awak tu puas hati,” suruh Fayad. Jantung dia masih terkejut lagi dek jawapan selamba Anna tadi.
“Anna kenal abang Fayad. Kenal sangat. Lagipun Anna memang nak abang seorang aje. Tak nak orang lain,” Anna menjawab seolah menegaskan jawapan dia itu.
Terpempan Fayad mendengar penjelasan Anna. Walaupun pendek tetapi cukup untuk buat dia senang hati. Namun timbul juga keraguan. Dia hela nafas apabila terpandangkan Jamil. Pasti ada kaitan dengan Jamil.
“Eloklah tu. Kamu berdua dah lama kenal. Umur pun bukan muda lagi. Adik-adik semua dah ramai yang kahwin. Tinggal abang kakak ni saja belum. Tapi awal ke lambat, Fayad dengan Anna kena bagitahu umi cepat ya. Last minute bagitahu, umi merajuk. Tak nak datang majlis kau orang,” Amboi, panjang Umi Hasnah berhujah. Siap ugut lagi.
Semua di situ ketawa kecuali Jamil.
“Insya-Allah, umi. Umi doakan yang baik-baik untuk kami ya.”
Umi Hasnah angguk. Kata-kata Fayad itu tetap teguh di hati. Sedari dulu, doa untuk anak-anak Rumah Tautan Kasih tak pernah terhenti. Selagi dia bernyawa.
FAYAD menoleh ke kirinya. Gadis di sebelah hanya diam sepanjang perjalanan. Sudah hampir satu jam mereka bertolak pulang dari rumah Umi Hasnah di Hulu Selangor. Selepas Maghrib, Anna pujuk dia pulang.
Terpaksa dia turutkan. Dan terpaksa dia memandu sendiri menggunakan kereta Anna dek dia ke rumah Umi Hasnah pagi tadi, pemandu dia yang hantar. Pemandu dia pula telah diarahkan untuk menjemput Ibu Soraya pulang keesokannya.
“Anna serius ke nak kahwin dengan abang?”
Suara Fayad memecah kesunyian. Jika Anna tidak mahu buka mulut, lebih baik dia yang mulakan. Nanti dah sampai Kuala Lumpur, masing-masing sibuk.
Diam.
“Sofiana… I’m asking you.”
Anna hela nafas panjang. “I have to,” jawab Anna pendek. Jantung dia sedang berdebar. Fayad masih bahasakan diri abang walaupun tiada sesiapa dengan mereka. Ah, dia gelisah. Perang dingin tak menjadikah?
“Why? Ibu? Ke sebab abang Jam Anna tu?”
“He is… just my brother.”
“Me too. I am your abang, Anna.”
Sepantas kilat Anna kalih badan. Dia longgarkan sedikit seat belt. Mata dia dimatikan pada Fayad yang sedang memandu.
“Betul. Jadi kenapa abang nak kahwin dengan Anna? Abang kan abang Anna,” perli Anna. Sungguh dia tak faham.
Susah betul nak faham seorang Fayad Harith. Kalau Fayad masih anggap dia seperti adik, kenapa nak lamar dia? Pelik tahu tak?
Soalan itu tidak berjawab. Sebaliknya Fayad pantas memberi lampu signal ke kiri. Yaris biru milik Anna dia hala ke R&R dan diparkir kereta di situ.
Mata Anna masih pada Fayad. Dia boleh nampak rahang Fayad bergerak. Entah apalah yang ada dalam kepala Fayad itu.
Fayad hela nafas perlahan. “Anna, dulu apa Anna fikir bila ajak abang kahwin?” tanya dia, serius.
“Gila, mungkin.”
“Please, Anna. What make you want me? Dari kecil abang anggap Anna macam adik sendiri. Abang tahu, Anna pun sama. But why? Kenapa dulu Anna tiba-tiba ajak abang kahwin? I need an answer.”
“Sebab…” Jeda. Anna tunduk. Ragu-ragu mahu menceritakan hal sebenar. Dia tahu Fayad pasti akan mengamuk.
“Bagitahu abang, Anna,” desak Fayad. 2 tahun dia simpan rasa ingin tahu itu. Anna hanya kunci mulut dengan mengatakan dia suka pada Fayad.
Namun tak semudah itu Fayad nak percaya. Dia kenal Sofiana Amri.
Anna gigit bibir. Nak tarik balik, dia sudah membuka ruang untuk Fayad mendesak dia. Patutkah dia cerita? Ugh! Air mata dia sudah bergenang. Ini tidak lama memang tumpah. Dan memang dah jatuh pun.
“Abang Jam… Jamil cuba buat benda tak elok dekat Anna. Dia cuba nak sentuh Anna. Malam tu Anna balik rumah umi, nak teman umi. Abang Jam bagitahu dia suka Anna. Dia paksa Anna masuk bilik dia. Tapi tak sempat sebab umi keluar bilik. Lepas tu dia buat tak tahu, macam tak ada yang berlaku. Anna terus lari masuk bilik. Abang, sumpah. Anna malu,” cerita Anna sambil tersedu sedan menangis.
Mencerlung Fayad memandang Anna. Pipi Anna basah dengan air mata.
“Damn! Kurang ajar kau, Jamil!” Fayad hentak stereng kereta Anna kuat. Dia buka pintu kereta dan dihempas kuat.
Anna angkat wajah. Fayad sedang mencekak pinggang sebelum menjatuhkan kedua belah tangan ke kereta. Mata Fayad tajam pandang dia di sebalik cermin. Dada Fayad kelihatan berombak.
Setelah itu Fayad berlalu ke surau. Alang-alang dah masuk waktu Isyak. Boleh juga sejukkan hati. Anna pula statik di dalam kereta. Sampai rumah nanti pun boleh solat. Dan dia mahu menyendiri buat seketika.
YARIS biru diberhentikan di hadapan rumah Anna yang dibelikan oleh Fayad. Lama Fayad dan Anna diam. Fayad kunci mulut dan Anna takut nak buka mulut.
“Esok pagi abang ambil Anna pergi kerja.”
“Anna boleh hantar abang dulu malam ni.”
“No. Turun. Abang cakap sekali je, Anna.”
Anna tanggalkan tali pinggang keledar. Dia capai beg tangan di bawah kaki. Takut dia dengar nada suara Fayad. Keras.
“Anna minta maaf sebab tak bagitahu abang dengan ibu. Lepas abang reject Anna dulu, Anna dah nekad nak lupakan semua. Abang jangan buat keputusan terburu-buru ya. Kesian umi,” ujar Anna sebelum menghilang ke dalam rumah.
Fayad bergerak setelah pasti Anna masuk ke dalam rumah. Kata-kata Anna tadi berbekas di hati. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah otaknya ligat memikirkan tentang Jamil. Jika lelaki itu berada di hadapan dia seperti tadi, sudah dia hancur lumatkan.
“Kau memang tak guna, Jamil!”
Entah untuk yang ke berapa kali dia menyumpah Jamil. Laju nafas dia menahan amarah. Kalau mahu ikutkan baran dia, memang sekarang dia pecut kembali ke rumah Umi Hasnah. Tetapi pesanan Anna melekat di kepala. Huh!
PEN ditangan dia timbang-timbang. Mata merenung kosong ke monitor. Sungguh dia tiada mood mahu bekerja hari ini. 2 tahun dia boleh simpan rahsia itu. Selama itu juga dia melarikan diri dari Fayad. Jika Ibu Soraya nak jumpa baru dia berani balik ke rumah Fayad.
Ah, susahnya! Kenapa ditakdirkan Fayad bin Harith menjadi abang dia? Status abang walaupun tiada bertalian darah, tetap juga abang. Nak tukar jadi suami, pergh! Dia tak tahu react macam mana. Tapi dalam masa yang sama, dia nak!
“Hoi!” sergah May.
Terjatuh pen di tangan Anna dek terkejut dengan sergahan itu.
“May, kenapa kacau aku?”
Terletus tawa May. Dia duduk di birai meja kerja Anna. Suka benar dia kacau Anna. Muka cemberut Anna boleh buat dia hilang stres.
“Apa hal kau datang dengan bos tadi? Biasa terserempak bos dekat lif pun dua-dua tayang muka ketat. Acah profesional.”
“Hm… entahlah, May. Mungkin dia buang tabiat. Ke aku? Eh… dua-dua?” Acuh tak acuh Anna menjawab.
May luku kepala Anna perlahan. “Main-mainlah, Anna. Aku tanya serius ni. Lepas tu tadi bos mengamuk dekat Department Human Resource. Dia orang lambat keluarkan notis kontrak staf baru,” balas May.
Anna pandang May, dia telan liur.
“Abang aku mengamuk?”
May angguk.
“Waa… seh. Habis aku, May. Mati dah.”
Sekali lagi May meluku kepala Anna. Kali ini lebih kuat. “Kau apahal? Oi, sepanjang aku kerja sini mana pernah Encik Fayad mengamuk sesuka hati. Memang patut pun kena sembur dengan bos. Dia orang tu yang buat kerja tak licin. Bos bukan mengamuk sebab kau. Jangan risau.”
“Aku tak cakap dia mengamuk sebab aku. Kalau dia mengamuk, maksudnya mood dia tak okey. Bila mood dia tak okey, kau tak rasa bila-bila masa aku kena panggil naik atas. Ish, benci!”
May ketawa kuat. Comel betul riak Anna. Sungguhlah gadis itu takut jika Fayad mengamuk. Sebab Anna saja boleh tolong legakan amukan Fayad. Semua pekerja di FHS Holdings sudah sedia maklum tentang itu. Dan mereka juga sedia maklum tentang hubungan Fayad dan Anna yang seperti adik beradik itu.
“Anna, Encik Fayad panggil naik atas. Now,” maklum Zahara, salah seorang staf di bahagian akaun sebelum menghilang ke meja kerjanya kembali.
Anna bingkas berdiri dan menyorong kerusi ke meja kerja.
“See… aku dah cakap. Aku naik dulu. Lunch nanti tunggu aku. Macam biasa.”
“Okey, babe. Kalau abang kau nak lunch dengan kau, kau roger aje. Pandai-pandailah aku cari makanan sendiri.”
Anna angguk dan terus menghilang ke tingkat 5. Pejabat Tuan Pengerusi. Kini dia sudah berani naik ke atas. Sebab dah cerita hal sebenar pada Fayad. Hik!
ANNA berhenti di meja Dianah, setiausaha Fayad. Dianah minta dia tunggu sekejap. Fayad sedang meeting katanya.
“Siapa? Girlfriend baru?”
“Ish, Anna ni. Cik Raudah, anak Datuk Hisham. Dia datang pasal tender kafe resort kita dekat Langkawi. Bos nak tukar team kafe baru,” jelas Dianah.
Oh betullah meeting.
“Ingatkan…”
Terus senyap Anna apabila pintu terkuak dari dalam. Tersentak.
“Terima kasih, Yad. I tunggu positif feedback dari you. I harap sangat boleh jadi one of you punya business partner,” kata Raudah di muka pintu bilik ofis Fayad.
“Sama-sama. Apa-apa hal, Dianah akan call you,” Fayad membalas bersama senyuman di bibir. Senyum nipis.
Raudah senyum lebar. Dia melangkah keluar dari bilik pejabat Fayad diiringi oleh Dianah ke pintu lif.
Anna mencebik.
“Yad? Abang, kenapa Cik Raudah panggil abang macam tu? Ish, Anna tak suka,” serbu Anna sambil membontoti Fayad kembali ke meja kerjanya.
“And you… kenapa panggil abang? Ini ofis. Encik Fayad.”
Anna duduk di kerusi berhadapan dengan Fayad. Dia buat muka. Okey saja dia tengok mood Fayad. Kenapa nak panggil dia naik atas lagi? Ingat dia tak banyak kerja? Tapi kalau dekat bilik ofis dia pun, kerja tak jalan juga.
“Yelah, Encik Fayad. Ada apa panggil saya datang sini?”
Fayad bersandar. Dia pandang Anna. Lama.
“Minggu lepas bersaya-awak dengan abang. Lepas tu tiba-tiba setuju terima abang. Now I’m asking you. Anna tu kenapa? Apa masalah?”
Anna gigit bibir. Dah dia sendiri pula berabang-Anna. Wayar putus agaknya. Anna sembunyi senyum. Bola mata meliar ke kanan dan ke kiri. Sempat juga mengutuk diri sendiri dalam hati apabila teringat kejadian di Cafe Defrost. Tapi Fayad elok saja layan drama dia ketika itu.
“Sebab… sebab…”
“Sofiana…”
“Abanglah. Sebelum tu masa Anna balik jumpa ibu, abang bebel dekat Anna. Cakap Anna manja. Tak boleh jaga diri sendiri. Lepas tu tiba-tiba ajak Anna datang kafe baru abang. Geramlah Anna.”
Tergeleng Fayad mendengar curahan hati Anna, si adik lain mak lain bapak. Dia tarik senyum. Anna… Anna.
“Marahlah ni?”
Anna jeling.
“Taklah. Suka.”
Fayad membetulkan duduknya. Dia fokus pada Anna. “Sofiana, kita kenal sejak kecil. Umur kita sebaya. Abang lagi tua, by month. Tapi ibu jadikan kita as abang adik. Mungkin sebab Anna dah biasa manja dengan abang kan. So I accept it. Anna… sebenarnya abang rasa lost. Sunyi. These two years, you’re completely on your own. Kereta rosak, Anna call bengkel sendiri. Ada masalah, Anna lagi suka share dengan May. Your favorite colleague. Abang dapat jumpa Anna bila terserempak dekat lif dengan masa raya. Itu pun Anna langsung tak bagi peluang abang berborak dengan Anna.”
Jeda.
“And now… I need to make you mine. So that, Anna boleh kongsi semua benda dengan abang. Tak ada apa yang boleh jarakkan abang dengan Anna.”
Anna diam. Tekun betul dia mendengar luahan hati si abang. Sekali lagi dia sembunyi senyum. Tak pasal kena sembur.
“That’s why you want to marry me? Seriously, abang?”
“Seriously. Death note.”
“Death note? Abang nak mati di tangan Anna ke?”
“Kalau Anna nak, why not?”
“Kesian, abang. Kalau abang sudi terima Anna dulu, mesti dah ada anak seorang. Em… maybe in a process for the second?” seloroh Anna selamba.
“Sebab Anna tipu. Kalau Anna tak tipu, abang terus sauk tangan tok kadi.”
Anna pandang Fayad atas bawah. “Hm… sebenarnya dulu Anna cuma try and error je. Tapi Anna memang betul-betul nak abang terima. Harapan je. Kalau Anna jujur pun, buat apa. Abang mesti sudi sebab nak protect Anna je. Kan?”
“Sejak bila, Anna?”
“Sejak bila apa?”
“Sayang abang as a man?”
“Em… teka.”
Fayad kembali bersandar ke belakang kerusi. Kedua belah tangan memeluk tubuh. Ini kerja gila dia bincang hal peribadi dekat ofis. Dia dan Anna, profesional. Tetapi hari ini terpaksa buang rasionalism dan profesionalism itu. Now or never.
“Tell me.”
“Since both of us too focus in this business. Masa tu bisnes abang tak besar macam sekarang. Apa-apa hal abang mesti cari Anna. Semua staf kalau dengar abang mengamuk, wajib suruh Anna sejukkan hati abang. Sebab tu Anna berani ajak abang kahwin. Dan Anna tak nak abang Jam kacau Anna lagi. Anna tahu, dia takut dengan abang,” jelas Anna panjang.
“Menyempat. Sibuk-sibuk pun gatal,” komen Fayad. “Jamil tahu kalau dia kacau Anna, habis bisnes dia. Tapi abang tak sangka dia berani nak sentuh Anna.”
Membara pula hati Fayad teringatkan cerita Anna.
“Gatal-gatal pun kena reject juga. Lepas tu acah-acah ramai kawan perempuan. Padahal anak-anak perempuan business partner abang. Sengaja nak kacau bilaukan hati Anna.”
Terlepas tawa Fayad. “Mana Anna tahu? Semua staf bukan main lagi bergosip pasal abang playboy, Anna tak percaya?”
Anna geleng laju.
“As you said, kita kenal dari kecil. Ingat Anna senang-senang nak percaya. Semua surat cinta abang dapat masa sekolah dulu pun ada lagi dalam kotak dekat rumah abang. Tak bersentuh. Inikan nak kelek anak dara orang. Lambat lagi,” balas Anna penuh yakin.
“Sebab tu abang ajak kahwin. Nak ke tidak?”
“You choose the date and tell ibu,” jawab Anna sambil menunduk. Tangan dia bermain dengan pen di atas meja Fayad.
Fayad ketawa lagi.
“This is my Anna. My sempoi Anna.”
Anna tarik senyum lebar. Dia garu dahi yang tak gatal. Malu.
IBU SORAYA pandang kedua anaknya itu. Cermin mata melurut ke hidung. Gaya seperti profesor. Dia peluk tubuh. Dua-dua kuat berdrama. Si abang tekun tengok telefon bimbit, acah sibuk. Si adik pula menekur ke lantai.
“Abang dengan Anna tahu kan selesai akad nanti, no more abang adik for both of you?”
Serentak Fayad dan Anna mengangguk.
“Jujur dengan ibu, bila dua-dua jatuh cinta?”
Erk. Fayad dan Anna saling berpandangan. Jatuh cinta? Er… ibu being sarcastic or what? Mesti ibu saja nak kenakan mereka. Tapi mungkin nak kepastian?
“Anna rasa mungkin masa Anna mula kerja dengan abang.”
“Fayad?”
“Er… sayang dengan cinta sama ke, ibu?”
“Eh budak bertuah. Nak kahwin tapi tak tahu beza sayang dengan cinta? Seriously, Fayad Harith?”
Fayad garu belakang kepala. Dia toleh ke kanan, minta talian hayat pada Anna. Namun gagal apabila Anna jongket bahu.
“Em… abang memang dah lama sayang Anna. Dari kecil…”
Jeda.
Ibu Soraya di sofa single sudah cekak pinggang dan membulatkan matanya. “Abang… ini ibu tak suka. Ibu memang senang hati kalau Fayad dengan Anna kahwin. Dah sah. Tapi… dulu kan kamu dua kecil lagi. Ibu dah pesan Fayad jaga adik, maksudnya jaga macam adik betul.”
“Sabar, ibu. Biar abang habis cakap dulu. Ibu ni… elok dah abang susun ayat tadi.”
“Eh ibu pula yang kena. Yang abang berenti cakap tiba-tiba tu kenapa?”
Anna ketawa lepas. Geli hati. Ibu Soraya dengan Fayad kalau bergaduh mesti kelakar. Fayad selalu cari akal nak kenakan Ibu Soraya.
“Anna…”
Fayad dan Ibu Soraya memanggil Anna serentak. Terus Anna sembunyikan ketawanya.
“Sorry. Sambunglah, abang. Nak sampai waktu tidur Anna dah ni.”
Fayad jeling Anna. “Nak sambunglah ni. Ibu, maksud abang… dulu tu abang sayang Anna macam adik. Jadi kiranya memang abang dah sayang Anna lama. Cuma kalau cinta, mungkin sejak Anna selalu elak dari jumpa abang. Lepas abang reject dia nak kahwin dengan abang dulu,” Senafas dia meluahkan perasaan.
“Alhamdulillah. Ibu bukan tak suka ya abang dengan Anna suka sama suka dari kecil. Cuma masa tu belum sampai masanya nak suka cinta semua. Sekarang ni dah besar panjang. Masing-masing dah masuk three-series tahun ni, jadi ibu tak ada halangan apa-apa. Dah boleh fikir sendiri kan. Suka hati Fayad dan Anna. Ibu sokong apa pun pilihan kamu berdua,” jelas Ibu Soraya dengan lebih teliti. Tak mahu anak-anak dia salah faham.
Anna bangkit lalu menghampiri Ibu Soraya dan memeluk erat tubuh itu. Tubuh yang dulunya masih kuat dan bertenaga. Kini nak jalan jauh sikit pun dah penat.
“Sayang ibu,” ucap Anna sambil mencium ubun-ubun Ibu Soraya. “Abang tengok ajelah ya,” usik Anna pula.
Iyalah. Fayad tak boleh nak peluk Ibu Soraya walaupun dia terlalu sayang wanita yang sudah berusia itu.
“Tak apa. Abang peluk dengan doa.”
“How sweet, abang.”
Fayad tayang muka selamba pada Anna. Nak tahu dia sweet ke tak sweet, Anna kena tunggu. Lagi tiga bulan tahulah dia.
Ibu Soraya tertawa bahagia. Keletah dua anak ini membahagiakan hari-harinya. Dia juga mempunyai anak jagaan yang lain cuma tak serapat Fayad dan Anna. Kedua-duanya datang kepadanya ketika masih bayi lagi. Manakala anak-anak yang lain sudah besar baru jatuh ke tangannya. Paling muda setelah Fayad dan Anna yang diterimanya berusiasepuluh tahun.
SETELAH 3 bulan, Fayad dan Anna akhirnya disatukan. Besar juga majlis pernikahan dan persandingan mereka. Kedua-dua majlis itu diadakan di salah sebuah resort bawah naungan FHS Holdings.
Impian Anna mahu bergambar berlatar belakangkan pantai dan laut. Fayad hanya menurut saja.
“Kina, Jamil tak datang?”
“Tak tahu pula Kina. Abang Fayad ada call dia tak? Lepas akikah Adam hari tu, abang Jam tak balik rumah langsung. Sampai umi sendiri pergi rumah dia di Setia Alam,” beritahu Kina.
Anna di sebelah Fayad sibuk mengacah Adam di dukungan Yusof. Ketawa sakan anak kecil itu.
“Mesti dia takut dengan kau, Yad. Tak berani lagi dah tunjuk muka,” sampuk Yusof.
“Kenapa? What happened?” soal Anna sambil menoleh ke kanannya. Mata dia pandang wajah Fayad. Em… kacaknya suami dia. Sempat.
Fayad bagi isyarat mata pada Yusof.
“Abang, Anna nampak mata abang tu.”
Sakina gelak. “Your observer dah berbunyi, abang Fayad. Bagitahu ajelah,” kata Sakina bersama tawa yang masih berbaki.
Yusof tayang muka tak bersalah.
“Tak ada apalah, Anna. Hal orang tua, jangan sibuk.”
“Orang tua? Kita sebaya tau, abang. Jangan nak acah abang lagi tua berpuluh tahun pula.”
“Dah kahwin pun bergaduh. Kan ibu dah pesan, kakak, abang Fayad. Perangai abang adik tu tinggal belakang. Dah akad kan,” tegur Sakina selamba.
Fayad tarik hidung mancung Anna. Geram. Lemas Anna dibuatnya namun sekejapan dia usap lembut hidung itu.
“Jadi, siapa nak cerita? Ke nak Anna buat andaian sendiri? Abang pergi serang abang Jam ke malam tu? Itu sebab abang pick up Anna lambat esok tu. Betul?” teka Anna.
Mata dia dibiarkan memandang Fayad. Hanya itu yang boleh bantu dia kesan jika Fayad menipu atau tidak. Sah, tekaan dia benar.
Tangan kanan Fayad naik ke dahi.
“Betullah tu, Anna. Suami kesayangan kau pergi serang Jamil malam tu. Habis tunggang terbalik rumah umi kena terjah dengan singa jantan ni. Nasib baik umi dan ibu dah faham cerita. Kalau tak, dua-dua tidur lokap agaknya,” cerita Yusof.
“Oh… kisahnya. Patutlah mood baik aje esok tu. Dah puas lanyak orang rupanya,” Anna cubit lengan Fayad.
Sang suami menyeringai. Sakit! Berbisa betul cubitan itu.
“Iya, kakak. Siap ugut semua dalam rumah tu. Jangan bagitahu kakak apa-apa,” Sakina menambah api.
Mendapatlah Sakina dengan jegil singa si Fayad.
“Bertuah sangat kau orang ni. Dah pergi balik chalet, kesian Adam dok tersengguk-sengguk dah. Lain hari baru baba Yad layan okey,” Fayad mengusik pipi tembam Adam. Berkhasiat sangat.
“Okeylah. Jom, sayang. Tak pasal kita pula kena lanyak dengan singa betina. Tajam sangat dah tu dok tengok laki dia,” Sempat lagi Yusof mengusik.
“Jom. Jumpa malam ni, kakak,” Sakina tampar lengan Anna yang sedang memeluk tubuh. Siap buat isyarat yang Fayad itu suami.
Anna mencebik.
Keluarga kecil itu beredar ke chalet yang telah ditempah untuk mereka sepanjang majlis perkahwinan Fayad dan Anna berlangsung. Big boss yang kahwin, sah-sah fully-booked.
Fayad melarikan pandangannya. Tak mahu melawan mata dengan Anna. Risau ada yang terbabas.
“Aih… amboi. Dah tak nak pandang Anna pula. Okey, tak apa. Bukan hari ni aje abang jumpa Anna tau,” rajuk Anna. Dia betulkan crown di kepala.
Tetamu pula ramai yang dah pulang. Yang tinggal mungkin saudara sesama Islam Rumah Tautan Kasih. Itu pun tinggal berapa kerat saja. Pakat dah hanyut dengan aktiviti masing-masing. Tuan rumah saja masih bersilat di Dewan Seroja itu.
“Eh ada rama-rama,” Fayad hala mata ke atas. Sengaja menarik minat Anna untuk melihat.
Anna turut berbuat demikian. Dahi berkerut. Mana rama-rama? Tak nampak pun.
Tanpa sedar dia berasa bibir dia dikucup satu saat. Anna berdecit. “Abang… orang nampaklah,” Spontan Anna tampar dada Fayad dengan belakang tangan.
“Mana ada orang. Orang pun dah sibuk buat hal masing-masing dah. Kita aje dekat sini lagi,” gumam Fayad.
Anna sengih. “Ee… dah boleh sentuh abang. Pegang muka abang,” balas Anna sambil memaut dagu Fayad. Ceria betul wajah dia.
Fayad tersenyum. Oh, Anna. Dia tak tahu sentuhan dia tu dah buat Fayad tidak tentu arah.
“Haaa… nak sentuh lebih-lebih, pergi balik bilik,” sampuk Ibu Soraya. Sengaja dia mengusik pengantin baru itu.
Anna melepaskan pegangannya. Dia senyum simpul. Fayad? Em, buat muka selamba dialah. Mana reti malu.
“Profesor Soraya datang dah,” usik Anna. “Umi okey?” Dia menyoal Umi Hasnah pula apabila melihat wanita itu kelihatan penat.
Umi Hasnah senyum. “Okey, Anna. Suka umi tengok kamu berdua. Hilang penat umi uruskan majlis kamu. Fayad, Anna, umi minta maaf ya bagi pihak Jamil. Dari dulu umi dah pesan jangan kacau Anna,” lirih suara itu berkata.
“Benda dah lepaslah, umi. Jangan dikenang,” kata Anna sambil memeluk erat tubuh Umi Hasnah.
“Betul tu, umi. Janji dia tahu salah dia. Fayad pun nak minta maaf sebab terpukul anak umi.”
Anna meleraikan pelukan dan pusing badan. Haaa… ini Anna tak tahu. Sekali lagi Fayad melarikan pandangan.
Ibu Soraya dan Umi Hasnah gelak. Reaksi terkejut Anna dan tindakan Fayad menggelikan hati mereka.
“Ingat ya, Sofiana. Ini Fayad suami kamu. Bukan abang lagi dah. Tak boleh nak brutal sangat. Suami terasa hati, berdosa Anna sebagai isteri,” Sempat Ibu Soraya menegur.
Anna senyum pada Ibu Soraya. “Ingat, ibu. Ugh, kena tukar panggil sayang lah macam ni. Takut lupa abang ni suami,” gurau Anna sambil memeluk lengan Fayad.
Sudah semua ketawa mendengar seloroh Anna itu. Ada saja perangai dia.
Tanpa mereka sedari, ada sepasang mata sedang memerhati dari jauh. Bibir dia senyum nipis. Air mata bergenang.
“Maafkan aku, Fayad, Anna. Sebab tindakan bodoh tu, aku malu dengan kau orang.”
Jamil berlalu meninggalkan Dewan Seroja dan terus memandu keretanya keluar dari kawasan resort. Dia tak layak berada di sini. Walaupun Fayad jemput, dia tetap malu.
FAYAD duduk di birai katil. Mata dia terhala ke luar. Pintu gelongsor sengaja dibuka luas. Baru boleh nampak pantai dan laut. Leher dipusing ke kanan dan ke kiri. Lenguh. Dia termenung melayan pemandangan di depan mata.
“Abang, mengelamun apa?”
Anna menghampiri Fayad bersama tuala bersih yang masih berlipat. Dilabuhkan duduk di sebelah sang suami. Dah 10 minit dia keluar dari bilik air, namun Fayad langsung tak sedar.
“Tak ada apa. Cepatnya mandi.”
“Orang dah setengah jam dalam bilik air tu, cepat apanya. Abang tu mengelamun jauh sangat.”
Fayad senyum nipis. Dia toleh ke kanan. Anna elok berbaju kurung cotton biru. Rambut pula disanggul kemas. Kali terakhir dia melihat rambut Anna sebelum mereka masuk ke asrama. Sejak itu, Anna memang mengenakan pakaian yang menutup aurat jika dia ada.
“Betul ke tindakan kita ni, Anna?”
“Maksud abang? Kahwin?”
Kepala Fayad dijatuhkan perlahan. Mengiyakan.
Anna letak tuala bersih itu ke tangan Fayad. Dia hela nafas. “Kenapa tiba-tiba terfikir macam tu pula? Dah selamat nikah pun. Ini mesti kes ramai tegur kita jangan buat perangai abang adik tu kan?”
“You know me better.”
“Hm… awal tu Anna pun tak selesa. Anna dah terbiasa abang layan Anna macam adik. Tapi kan… abang dah curi first kiss Anna. Tiba-tiba fikir macam ni pula. Abang nak Anna humban masuk laut ke?”
Terlepas tawa Fayad. Haih, dia lupa. Di sebelah dia ini, Anna. Sofiana. Beriya dia dengar celoteh Anna, ingatkan nak cakap benda serius. Bertuah.
“Sorry. Abang sebenarnya rasa tak tenteram berdua dengan Anna macam ni. Dalam bilik. Abang dah boleh tengok aurat Anna. Rasa pelik,” luah Fayad. Lebih kepada mahu mengusik.
“Er… abang pergi mandilah. Nanti lewat pula nak join doa selamat malam ni. Abang kan tuan rumah,” Anna menarik lengan Fayad kuat. Berat. Hampir terpelanting tubuh genit dia.
Mujur Fayad sempat tarik lengan dia. Pantas wajah Anna melekap di dada Fayad yang hanya bersalut baju T putih tanpa lengan itu. Sekejapan Anna melangut. Fayad sedang menunduk pandang dia. Tajam.
Anna senyum nipis. Dia leraikan genggaman di lengan Fayad lalu memeluk pinggang Fayad selamba.
“Ini bukan pandangan abang adik tapi suami isteri. Tapi kalau abang masih anggap Anna as your adik, melepaslah abang. Sebab Anna layan abang sebagai suami Anna,” kata Anna lembut. Separuh berbisik.
Sebelum sempat Fayad membalas, Anna melepaskan pelukannya. Perasan Fayad seolah terpaku. Dia ke belakang Fayad dan menolak tubuh lelaki itu sehingga ke depan pintu bilik air.
“Abang mandi dulu. Biar sejuk, baru boleh fikir dengan waras. Banyak lagi masa kita ada untuk abang kenal siapa Sofiana.”
Fayad tarik senyum. Anna, adik dia bukan begini. Jadi dia yakin ini Anna, isteri dia. Dia cium pipi Anna sebelum masuk ke dalam bilik air.
Anna turut senyum. Lebar. Ini Fayad, suami dia. Bukan abang.
“KAK DEE, Encik Fayad ada ke? Anna nak jumpa dia sekejap,” ujar Anna kepada Dianah. Mata dia sesekali memandang pintu bilik pejabat Fayad.
“Ada. Tapi Encik Fayad tengah ada meeting dengan wakil supplier. Ada hal penting ke Anna nak jumpa Encik Fayad?”
“Em… tak tahulah penting ke tidak, kak. Tapi Anna nak jumpa dia,” sayu betul suara Anna. Tadi masuk ofis, dia okey. Tiba-tiba selepas waktu rehat, dia teringin nak jumpa Fayad. Otak dia asyik terfikir tentang Fayad saja.
Dianah kerut dahi. “Anna okey ke ni?” Lain benar dia nampak riak wajah Anna. Mata bundar itu kelihatan bergenang air mata.
Ah, sudah. Apa yang berlaku pada Anna?
“Anna okey tapi Anna nak jumpa Fayad. Kak Dee, tolonglah Anna.”
Kalau boleh dia nak serbu saja ke dalam bilik itu tetapi dia tahu sangat dengan perangai sang suami. Tak suka diganggu jika sedang bekerja.
“Anna tunggu sekejap. Kak Dee cuba call Encik Fayad.”
Pantas dia menghubungi interkom Fayad. Selain Anna, Dianah antara staf yang boleh handle ketegasan Fayad. Dan lelaki itu sememangnya menghormati setiausahanya. Kerja tip top. Tak banyak kerenah. Lagi dia suka.
Anna ketap bibir. Dia mundar mandir di depan pintu bilik Fayad. Berdebar jantung dia menanti jawapan Dianah. Gelisahnya.
Beberapa saat, pintu terkuak dari dalam dan terjengul wajah serius Fayad di muka pintu itu. Berkerut dahi dia.
“Anna… saya tengah meeting. Awak nak apa?” tegas Fayad bersuara.
“Nak abang.”
“Hah?”
“Anna nak abang…”
Terus jatuh air mata yang dia tahan dari tadi. Perasaan dia sekarang seperti sedang ketagih dadah sudah rupanya. Haih, tiba-tiba. Tapi nampak wajah serius Fayad, kecut perut dia nak menerkam tubuh tegap itu.
Kelam kabut Fayad. Dia terpa Anna yang sedang berdiri tegak di hadapannya itu. Tetapi langsung tiada sentuhan.
“Kenapa ni? Anna sakit ke? Ada orang kacau Anna?”
Dalam kelam pandangan dia nampak Fayad hanya berdiri di hadapan dia. Tetapi lelaki itu hanya kaku saja di situ. Sekadar menyoal. Ah, adakah Fayad sedang bersikap profesional? Ketika dia sedang menangis sebegini?
“Yad, you lama lagi ke? I kena balik ofis sebelum habis office hour ni,” Muncul satu suara perempuan dari belakang Fayad.
Anna alih kepala ke kiri. Kenapa wakil supplier perempuan? Memang semua kerja perempuan sajakah yang buat? Anna hentak kaki.
“Ee… Anna benci abang!”
Pantas Anna mengorak langkah meninggalkan ruang pejabat Fayad. Bukan main kasar lagi dia tekan punat lif.
Tercengang Fayad dan Dianah melihat tindakan itu. Tanpa menghiraukan seseorang yang menyoalnya itu, Fayad pandang Dianah.
“Kenapa dengan Anna tu, Kak Dee?”
Dianah jongket bahu. “Kak Dee pun pelik, Encik Fayad. Tiba-tiba datang nak jumpa Encik Fayad. Gelisah semacam,” jawab Dianah jujur.
Fayad menekan pelipisnya.
“I’m sorry, Cik Liana. Boleh kita tangguhkan meeting? I ada hal sekejap. Nanti Dianah bagitahu you bila meeting seterusnya,” kata Fayad sebelum bergegas ke pintu lif. Laju pula Anna menghilang.
“What?”
Terjegil mata Cik Liana. Seakan tak percaya Fayad tangguhkan mesyuarat mereka. Sudahlah selepas ini dia sibuk dengan projek lain. Ini saja masa yang ada.
“Minta maaf, Cik Liana. Saya akan hubungi Cik Liana semula ya untuk selesaikan kerjasama kita,” Dianah cuba mengambil hati Cik Liana.
Cik Liana mendengus. “Saya tak ada masa tahu. I thought Fayad is very profesional. But what is this?”
“Wife comes first in every situation, Cik Liana. Once Encik Fayad ready for the next meeting, I’ll be inform you,” jelas Dianah. Dia faham orang sibuk seperti Cik Liana pasti tak suka orang membazirkan masa dia.
“Whatever,” Cik Liana pantas mengambil barang-barangnya lalu beredar meninggalkan bangunan FHS Holdings bersama hati yang mendongkol geram.
LANGKAH Fayad laju ke Department Finance. Dia menolak daun pintu bilik pejabat Anna. Kelihatan Anna sedang duduk di kerusinya dengan muka terlangkup ke meja.
“Anna…”
Tangan Fayad mengunci tombol pintu dan menurunkan penutup tingkap. Tidak mahu staf yang lain nampak apa yang berlaku. Kehadiran dia di situ juga sudah memeranjatkan beberapa orang staf. Mungkin pelik. Kerana dia jarang dia ke bahagian itu selain hal mustahak.
Dia duduk di tepi meja kerja Anna. “Kenapa dengan Anna ni? Kenapa cari abang? Ada masalah? Cuba cerita,” pujuk Fayad. Dia lipat lengan baju ke siku. Panas.
Anna diam. Bahunya saja terhenjut dek sedang galak menghamburkan tangis. Dia sentap dengan kelakuan Fayad.
“Anna, please talk to me. Anna tak cakap, macam mana abang nak faham.”
Akhirnya Anna angkat wajahnya. Lencun muka dia dengan air mata. Tersedu sedan. Merah terus mata dia.
Terkedu Fayad melihatnya. Dia seluk poket dan mengeluarkan sapu tangan kecil lalu disuakan pada Anna. “Lap muka Anna.”
Huluran itu Anna ambil dan mengesat baki air mata di mukanya. Tidak terkeluar suara dia kerana terlebih menangis. Sedih betul.
Lama mereka diam.
Fayad menanti Anna bertenang. Dia merenung saja pergerakan Anna yang sudah selesa bersandar di kerusinya. Bertaut kening Fayad melihat Anna. Entah apalah masalah gadis itu sehingga menangis sebegini rupa.
“Dah okey?”
Anna angguk perlahan.
“Bagitahu abang. Apa masalah Anna sampai menangis macam ni? Marah abang?”
“Ab… abang lupa ke abang tu suami Anna?” Ah, mengalir lagi air mata Anna. Payah pula dah nak berhenti.
“Hah? Stop crying, Anna. Waktu bekerja kan sekarang ni. Buat perangai apa ni?” rengus Fayad. Dia masih tak faham. Suara Anna kurang jelas di telinganya.
“Abanglah. Anna nak jumpa abang aje. Abang tayang muka serius. Lepas tu Anna menangis, abang tak peluk Anna pun. Tak pujuk Anna. Sekarang ni pun sama. Abang duduk aje dekat situ,” luah Anna dengan suara sedikit serak.
“Hah?”
Bertambah keliru Fayad.
Anna hela nafas kuat. Dia bingkas berdiri. Pantas dipeluk tubuh Fayad. Erat.
“Anna, buat apa ni?” Tangan Fayad cuba menolak tubuh Anna namun gagal kerana Anna memeluknya dengan erat sekali.
“Abang lupa ke? Abang kan suami Anna. Bukan salah pun Anna peluk abang. Dari tadi Anna gelisah nak jumpa abang tahu tak? Abang memang tak sayang Anna ke?”
Fayad menepuk dahinya. Ya Allah, Fayad! Kedua tangannya membalas pelukan Anna. Tangan kanannya naik ke kepala sang isteri. Diusap lembut.
“Abang minta maaf, Anna.”
Hanya itu yang terbit dari mulut Fayad. Tidak tahu mahu memujuk seperti mana. Pada pendapatnya, Anna mahukan dia. Jadi dibiarkan saja Anna memeluknya. Seberapa lama yang Anna nak.
MATA tua Ibu Soraya memandang Anna pelik. Sembab betul wajah Anna. Bengkak mata bundar itu. Pasti menangis teruk kalau dah rupa itu sembabnya.
“Kenapa dengan Anna ni, Fayad?” soal Ibu Soraya kepada Fayad.
Bukan setakat muka sembab, masuk rumah pun peluk pinggang Fayad tidak lepas. Berbulu mata dia melihat kelakuan itu.
“Tak tahulah, ibu. Tadi dia naik ofis, nak jumpa abang. Abang pula tengah meeting. Keluar aje, tengok Anna menangis, lari balik ofis dia. Lepas tu abang turun pujuk, sampai sekarang peluk abang tak nak lepas. Macam nilah ibu dari ofis tadi,” cerita Fayad.
“Ya Allah. Anna… kenapa ni?”
Anna menggeleng. “Anna nak abang aje. Bukannya pelik pun. Abang ni haaa… Anna menangis tadi dia buat tak tahu. Pegang Anna pun tak nak,” adu Anna.
Dalam dok merajuk, pelukan erat tetap tidak mahu lepas.
Ibu Soraya dan Fayad berbalas pandang. Masing-masing angkat kening.
“Dahlah. Dua-dua pergi naik atas. Mandi solat. Rehat. Lepas Maghrib nanti turun makan malam,” suruh Ibu Soraya. Tergeleng kepala dia dengan perangai Anna.
Fayad dan Anna menurut dan beriringan naik ke bilik mereka.
“Bibik rasa kan, Puan Ibu. Puan Anna lagi hamil tu,” sampuk Bibik Uya yang sedari tadi berdiri di sisi Ibu Soraya. Mereka baru lepas siap menyemai benih pokok bunga baru di mini garden.
“Iya ke?”
“Iya, Puan Ibu. Bibik perasan dua tiga hari ni Puan Anna asyik nak berkepit saja sama Tuan Fayad. Semalam pula, Puan Anna minta bibik masakkan maggi kari goreng masa semua tengah tidur.”
“Amboi. Kenapa suruh bibik masak pula? Biasanya dia masak sendiri.”
“Hah, itu kan. Saya sudah bilang, Puan Anna pasti hamil. Perempuan hamil saja Puan Ibu jadi begitu.”
Ibu Soraya termangu. Dia tiada pengalaman mengandung jadi dia tidak tahu menahu tentang itu. Dulu suami dia meninggalkan dia tanpa zuriat.
“FAYAD, ibu ada benda nak cakap sikit,” Ibu Soraya menarik bawah baju T Fayad yang baru turun dari bilik. Dia perasan mata Fayad bengkak sedikit. Haih, apa yang jadi dengan suami isteri ni?
Semalam dia tidak sempat nak tanya apa-apa. Anna hanya diam sepanjang makan malam. Fayad juga begitu. Keduanya kelihatan sangat letih.
“Ada apa, ibu?”
“Anna mana?”
“Ada dekat atas. Sambung tidur. Dia kata penat sangat subuh tadi.”
Mereka duduk di ruang tamu. Sesekali Ibu Soraya melarikan pandangan ke tangga. Risau Anna muncul tiba-tiba.
“Berapa lama dah Anna dok menangis macam semalam tu?”
Fayad garu belakang kepala. “Tak tahulah, ibu. Tapi semalam yang paling teruklah. Salah abang juga. Abang langsung tak pegang dia masa dia datang jumpa abang. Mungkin dia terasa. Dia ingat abang lupa yang abang ni suami dia,” jelas Fayad.
“Fayad memang lupa ke?”
“Eh, taklah, ibu. Masa Anna datang tu, office hour. Dia sendiri tahu kalau abang ada meeting, memang abang fokus aje. Dekat ofis pula kami mana pernah ada skinship.”
Ibu Soraya bersandar ke sofa. Relaks sedikit setelah mendengar cerita Fayad.
“Ibu rasa abang patut bawa Anna pergi check uplah. Tak pun Fayad beli aje benda tu dekat farmasi.”
Fayad kerut kening. Beli apa pula? “Check up? Nak cek apa, ibu? Abang nak beli apa?”
“Ya Allah, Fayad ni. Kenapa lambat pick up sangat ni? Ibu rasa dekat setahun dah kau orang kahwin. Takkan tak pernah cek? Kamu berdua buat planning ke, Fayad?”
Semakin berkerut kening Fayad dibuatnya. Apa ni? Ibu dia ini memang suka cakap bersimpang siur. Planning apa? Nak besarkan bisnes? Sejak bila ibu tahu pasal bisnes dia pula ni?
“Nah, ibu,” Muncul Anna menghulurkan bungkusan plastik jernih kepada Ibu Soraya.
Hampir terloncat keduanya dengan kehadiran Anna di situ. Mana tidaknya, tuan badan yang menjadi motif perbualan mereka muncul tiba-tiba.
Anna selamba duduk di sebelah Fayad sambil menopang dagu di arm rest sofa. Dia silang kaki sambil mengerling sang suami, bukan main berkerut muka Fayad.
“Betul ke ni?” tanya Ibu Soraya ceria. Senyum lebar betul wanita itu. Tidak boleh nak sembunyi lagi dah. Hilang terus aura Profesor Soraya tadi.
“Apa tu?” Polos betul Fayad menyoal. “Ibu, Anna… boleh tak bagitahu abang sesuatu yang abang boleh faham?” Dia bersuara keras.
Anna tarik senyum. Innocentnya muka suami dia. Dia kepit pipi Fayad dengan kedua belah tapak tangannya. “You’re going to be a father, abang,” beritahu Anna dengan jelas dan terang.
“Hah?”
“Dah boleh dah kurangkan sibuk tu sikit, Fayad. Ini baru sikit Anna buat perangai. Ke depan ni ibu tak tahulah apa lagi akan jadi,” kata Ibu Soraya.
Terjegil mata Anna melihat reaksi Fayad. Dia lepaskan pegangannya di pipi si suami yang masih blur itu. Ini penyakit pembawakan budak ke macam mana? Setahunya Fayad cepat pick up.
“Abang, Anna pregnant. Abang bakal jadi baba,” beritahu Anna sekali lagi. Dah terang lagi bersuluh ayat dia ni. Tidak faham lagi entahlah dia nak kata apa.
Fayad tukar riak wajahnya. Dia tersenyum. Terus memeluk Anna. “Abang tahu… saja nak kenakan Anna,” Dia kenyit mata pada Ibu Soraya.
“Banyak mainlah, Fayad. Ibu pergi dapurlah. Penat layan kerenah kamu berdua. Haih, dari kecil sampai ke besar, ada aje perangainya,” leter Ibu Soraya seraya menghilang ke dapur.
Baik teman Bibik Uya sediakan sarapan lagi bagus. Penat melayan drama anak-anak. Buatnya dapat cucu perangai sama, lunyai dia.
“Abang ni… suka usik Anna,” Anna tampar belakang Fayad. Kuat. Biar padan muka.
Fayad usap belakang Anna lembut.
“Abang sentiasa ingat, Anna ni isteri abang. Mana boleh lupa. Macam mana Anna boleh faham abang tanpa abang bagitahu apa-apa, sama juga dengan abang. Semua pasal Anna, abang tahu.”
“Jadi… abang memang tahu yang Anna mengandung?”
“Tahu tapi abang agak je. Dah sebulan lebih kita solat jemaah sama-sama. Anna tak sedar ke? Semalam beriya nak jumpa abang, menangis bagai. Tak ke pelik. But still… thank you for the pregnancy test. Jadi, Anna pun tahu keadaan diri Anna.”
Anna senyum.
“Anna memang kuat berdrama kan? Sorry, abang. Sebab Anna, abang cancel meeting dengan supplier kita.”
“It’s okay. Benda boleh selesai. Tak bankraplah kalau setakat cancel meeting. Lagipun bini abang ni seorang aje. So, you’re more important than my work,” ujar Fayad lembut.
Fayad meleraikan pelukan. Sejak berkahwin, senyuman di bibir tidak pernah putus untuk Anna. Sedari dulu lagi senyuman itu milik Anna.
“Kita dah ada hadiah anniversary ni. So… Anna tak payah fikir dahlah ya nak bagi abang hadiah apa,” Terkebil-kebil mata Anna memberi isyarat pada Fayad.
“Hm? Sampai bila-bila tak bagi hadiah pun abang tak kisah, Anna. Allah dah bagi hadiah abang depan mata ni. Syukur sangat dah. Dari Anna baby lagi, teman abang. Tak pernah berpisah dari abang. Bila-bila Anna perlukan abang, Insya-Allah abang cuba ada untuk Anna.”
Berjurai air mata di pipi Anna. Lagi.
Fayad galak ketawa melihat kelajuan air mata itu. Baru sudah berhenti subuh tadi. Dah mengalir semula. Haih, teruk betul penangan Fayad-Anna Junior ini. Si ibu dah bertukar jadi cengeng.
Tanpa lengah Anna pantas memeluk kembali tubuh sang suami yang disayangi. Tanpa kata pun dia yakin Fayad mengetahui yang dia memang sayangkan lelaki itu.
Action speaks louder than words.
Walaupun tiada panggilan mesra lain selain abang-Anna, namun panggilan itu sangat istimewa buat mereka. Anna suka Fayad sebut nama dia. Lembut saja di telinga. Begitu juga Fayad. Sangka mereka hubungan abang adik sudah bahagia. Namun hubungan sebagai suami isteri berganda bahagia.