Friday, 4 July 2014

Cerpen : Macaroons Love Story Ramadhan Spesial 1



Sebelum Ramadhan...

IKLAN di televisyen menyentap ulu hati Adra. Sungguh menyentuh perasaan. Isk. Sejak punya anak sendiri ni, selalu sangat jiwa tersentuh melihat anak-anak gelandangan. Mahu sahaja dia membuka sebuah pusat asuhan untuk mereka. Biarpun, sudah banyak pusat-pusat yang ditubuhkan sesetengah pihak, masih juga anak-anak terbiar kelihatan di sekitar kawasan-kawasan bandar. Hmmm.

“Beratnya mengeluh. Fikir apa?” Altaf melabuhkan punggung di sofa, bersebelahan dengan Adra. Peha mereka berlaga, memang rapatlah tu. Sangat rapat.

“Entahlah, abang. Lagi beberapa hari aje lagi kita nak sambut puasa. Adra tengok iklan dekat tv tu, hah. Selalu kan bulan-bulan puasa ada rancangan yang salurkan bantuan untuk anak-anak terbiar kat bandar sana, Adra kesianlah kat dia orang,” adu Adra.

Altaf senyum. Sementara Anaqi lena ni, bolehlah mereka berbual panjang. Jika tidak, pening kepala mereka dok memujuk Anaqi. Sudah pandai buat perangai. Asyik nak berkepit dengan baba dan ummi dia ni, hah. Patut pun Adra manja kemain ketika mengandungkan Anaqi dulu.

“Adra, masalah ni takkan pernah habis. Selagi dunia tidak kiamat, semua ni masih ada. Cuma, kita sebagai manusia normal… punya didikan, harta yang perlu berbakti pada dia orang. Manusia diberi pilihan, bukannya hidup tanpa tujuan. Jika baik dipilihnya, baiklah jadinya. Dan, sebaliknya. Baru sorang anak, dah matang isteri abang ni,” Tangan Altaf dibawa ke bahu Adra.

Adra sengih. Mother’s instinct, okay.

“Adra matang ni pun sebab Adra ada suami yang ganteng lagi menawan ni. Iya idak?”

Altaf kerut hidung.

“Petang-petang aje tengok cerita indon eh, habis sayang ajar Anaqi cakap indon pulak nanti. Cubit bibir ni baru tahu,” Adra memuncungkan bibirnya.

“Janganlah cubit, kiss kan dapat pahala…”

Altaf ketap bibir. Mahu tidak mahu, dia kucup bibir muncung Adra. Senyum lebar isterinya itu. Haish, gatal.

Good boy. Abang…”

“Hmmm…” Adra sudah selamat menjatuhkan kepala ke dada Altaf. Seperti biasalah ummi comel itu. Anak tidur, dia punya giliran pula mahu bermanja dengan suami terchenta.

“Tahun ni, tahun kedua kita puasa sama. Lain sikitlah sebab ada Anaqi. Tahun lepas, Anaqi dalam perut lagi kita sambut puasa dengan raya. Macam tak sabar pulak nak cari baju raya untuk Anaqi. Mesti comel-comel kan, abang?”

“Ha’ah. Anaqi tu lelaki, tak susahlah nak cari baju. Cumanya, ada ke saiz untuk badan debab dia tu?”

Mata Adra membulat. Betul juga tu.

“Alah, ada tu. Kalau nak tempah baju melayu dah nak dekat puasa ni, orang nak ambil lagi ke? Macam tak aje,” kata Adra, lebih kepada diri sendiri.

“Sayang ni, jangan risaulah. Lambat lagi nak raya tu, nanti fikir lain. Sehari sebelum puasa, kita keluar shopping barang-barang dapur. Perut abang ni demand time puasa tahu, macam-macam benda nak makan. Tapi, hari pertama puasa macam biasalah… Kita berbuka dengan terawih di rumah ibu. Boleh?” Altaf melingkarkan tangannya ke pinggang Adra.

“Boleh. Adra tak kisah. Puasa tahun ni spesial sikit. Kita punya jam loceng dah upgrade, abang. Jam loceng bernyawa,” balas Adra. Altaf ketawa lepas.

Sungguhlah. Anaqi punya kerja, setiap pagi sebelum subuh kedua-duanya sudah celik mata. Tiada isu letih ke apa, dua-dua bangun melayan kerenah Anaqi. Untung sungguh, tak payah set alarm di telefon bimbit lagi dah. Elok sahaja azan subuh, terus Anaqi lena balik sampailah pukul lapan pagi… baru bangun.

“Jam loceng kita paling comel kan, sayang. Besar gedabak hah…”

Baba dan ummi Anaqi ni, kalau sudah masuk bab Anaqi… sampai ke esok belum tentu habis. Anaqi bukanlah besar mana pun, cumanya tembam. Kata Hajah Maryam, Altaf kecil-kecil dulu begitulah. Dah besar panjang, kacak bergaya dengan jayanya. Tinggi kemain.

“Ya. Loceng Adra dan Aqhar,” Adra mendongak.

Dipandang ke anak mata Altaf. Altaf angkat kening. Sudah kenapa dengan puan isteri ni? Lain macam saja renungan tu.

“Sayang…”

Adra senyum.

“Malam ni abang punya handsome lebihlah. Geramlah Adra tengok,” Kedua belah telapak tangan Adra sudah menekap pipi Altaf.

Berani dah Adra sekarang ni. Malu di awal-awal perkahwinan dulu, hilang terus.

“Haih, nak dapat anak kedua ke apa ni, sayang? Perangai ni abang nampak awal-awal sayang mengandungkan Anaqi dulu,” teka Altaf.

Takkanlah betul kot. Uish, Anaqi baru masuk empat bulan. Mustahil.

“Eh, nampak sangat abang ni tak perasan. Masa abang koma dulu, Adra pandang abang macam nilah. Kalau boleh, nak aje Adra minta doktor lepaskan abang balik rumah. Nasib baik, abang sedar cepat. Tak adalah Adra sakit hati, tahan rindu,” ujar Adra.

Altaf menarik Adra ke dalam dakapannya.

“Abang pun rindu. Allah dah alihkan apa yang Adra rasa masa abang koma tu pada abang bila Adra tak sedarkan diri seminggu selepas pembedahan tu. Ibu dan mama bagitahu abang, macam mana abang tunggu Adra macam tu jugaklah Adra tunggu abang. Fair and square. Hmmm, menunggu tu memang satu penyeksaan. Kan, sayang?”

Adra cebik.

“Tahu pun. Abang, jomlah tidur, mengantuk dah ni. Awal pagi esok, Anaqi dah kejutkan kita…” Ditenyeh matanya yang sudah mula rasa kantuk.

Altaf kenyit mata. Nakal.

“Eh, mana boleh tidur terus. Dah seksi hati abang, senang-senang nak lepaskan diri. Oh, tidak,” Punat ‘OFF’ di remote control televisyen dia tekan.

Tubuh Adra melayang di udara dek dicempung Altaf. Hilang terus rasa mengantuk Adra. Dia ketawa. Kelakar sungguh wajah tampan Altaf ketika itu. Dia bagi isyarat sebenarnya tu. Eheh. Gatal juga ummi Anaqi pun, sekaki saja dengan si baba tu.

*****

Troli ditolak memasuki department makanan basah. Altaf pandang isterinya, mahu Adra memilih lauk untuk sahur mereka nanti.

“Abang nak makan apa? Ayam?” Altaf melihat di sekitar makanan laut. Teringin pula mahu makan udang masak kari. Telan air liur sendiri, gulp.

“Emmm… abang rasa nak makan udanglah. Sayang buat masak kari. Boleh?”

“Boleh aje. Abang nak udang kecil ke besar? Selalu mama masak kari udang yang kecik-kecik campur kacang buncis…”

“Bolehlah. Ambil sekali udang besar pun okey jugak. Boleh goreng,” Adra pantas mencapai plastik dan memasukkan udang-udang segar ke situ.

Mudah sedikit kerja mereka. Anaqi ditinggalkan dengan Puan Najihah, senang mahu bergerak ke sana sini. Anaqi pula jenis yang tidak kisah, asalkan dia tidak mendengar suara baba dan umminya ketika ditinggalkan… semuanya akan baik. Tidak meragam.

“Assalamualaikum…”

“Waalaikumsalam,” Altaf menjawab tanpa memandang gerangan si pemberi salam. Spontan bibirnya membalas salam. “Eh, Hajar. Ingatkan siapa. Datang seorang ke?” Sebaik mendongak, raut Hajar yang sedang senyum mencuri pandangannya.

“Ha’ah. Biasalah. Beli barang-barang untuk sahur. Bos pun seorang aje ke?”

“Eh, taklah. Saya datang dengan isteri. Ada tu.”

Hajar menghalakan pandangan di kaunter penimbang. Bibirnya mengulas senyum. Tahulah dia bosnya itu tidak keseorangan.

“Oh…”

“Sayang, ini Hajar. Staf abang,” Adra senyum manis kepada Hajar.

“Maaflah, Hajar. Tangan saya kotor nak salam,” Hajar hanya tersenyum. Kerjanya tidak habis-habis senyum.

Pelik juga Altaf. Jarang sekali dia melihat Hajar tidak senyum. Tidak kiralah tekanan bagaimanapun yang datang, gadis itu tetap akan memaniskan wajahnya dengan senyuman. Memang patutlah Hajar kelihatan manis dan berseri-seri. Petuanya, senyum.

“Tak apa. Eh, dah lewat ni. Saya minta diri dululah ya. Jumpa lagi,” Altaf dan Adra angguk kecil serentak. Hajar terus sahaja bergerak ke department lain, tidak mahu mengganggu pasangan itu.

“Abang, dia staf abang yang mana? Tak pernah kenal pun,” Mereka beriringan ke bahagian minuman pula.

“Hajar ni staf abang paling komited sekali, sayang. Dia jaranglah nak join majlis staf-staf lain. Abang pun tak tahu kenapa. Tapi, kebanyakan staf-staf lelaki yang masih bujang kat ofis abang tu dok pikat Hajar. Semuanya tak berjaya,” jelas Altaf.

“Oh, dia jual mahal kot. Orang pun comel. Aurat pun terjaga, semuanya labuh-labuh belaka. Tinggal nak kenakan niqab aje. Cukup pakej. Abang tak terpikat pulak,” Adra kerling Altaf yang sedang mengambil yogurt di rak.

“Ish, sayang ni. Adra pun apa kurangnya. Cuma, sayang ni fesyen muslimah moden sikit. Asalkan abang sayang, kan dah cukup,” Pandai Altaf membalas. Soalan maut tu.

“Iyalah tu. Entah-entah, dulu pun abang dok cuba pikat dia jugak. Kan kan kan?” Altaf berdecit.

Instinct seorang isteri memang tepat dan padat ya. Tepat mengena di batang hidung mancung dia ni. Tsk.

“Kalau ya?”

Adra menjeling Altaf.

“Lupakan ajelah. Adra tak suka bermadu,” tegas Adra. Altaf gelak.

Nasib baik mereka di tempat awam. Hendak mengusik pun tidak jadi, malu dek orang nampak nanti.

“Tahu. Itu benda lamalah, sayang. Nak beli apa lagi ni?”

“Kita pergi department baby, abang. Adra nak beli stoking dengan kasut Anaqi. Yang ada tu dah kecik,” Tangannya dilingkarkan ke lengan sasa Altaf.

Orang kata, lelaki ni apabila sudah berkahwin… berat mesti naik punya. Tetapi, lain pula Altaf. Maintain. Tetap menjadi pengunjung gim.


Hajar memerhatikan Altaf dan Adra dari jauh. Bernanah hatinya melihat kemesraan suami isteri itu. Sudah dia kuatkan hati agar tidak sesekali melayan perasaannya terhadap Altaf. Namun, semakin dia menjauh semakin rasa itu kuat. Setiap malam dia bangkit, beristikharah. Dia mahukan jawapan untuk perasaannya itu. Kerap kali jawapannya menunjukkan Altaf adalah orang yang tepat. Dia mengeluh kecil. Masakan dia mahu merampas suami orang? Huhhh.

to be continued...

p/s : MLS Ramadhan Spesial! CIA buat part by part eh. :D. SELAMAT MEMBACA! :D.

4 comments:

  1. TQ Cik writer...suka2... ;)...MLS Ramdhan.....sambung lg....plzzz....jgnla bermadu....sian adra ....

    ReplyDelete
  2. Huish Hajar. Dgan jawapan istikharah tu lagi. Seram

    ReplyDelete
  3. aduh duh duh duh!!! jgn la biarkan si Adra tu bermadu dengan Hajar... kesian Adra dengan baby dia... huhuhuuu.. sedih la kalau Adra bermadu... menangis lagu dandut karang...

    ReplyDelete